Posting mengikut label

Sunday, June 30, 2013

Ucapan Alu-aluan Pengerusi Panitia Kongres Agung Tahunan NDP Ke-8 Tahun 2013




Bismillahir Rahmaanir Rahim..
Alhamdulillahi Rabbil Alamin, wassolaatu wasalaamu ala saidina wanabiyina Muhammad Asyrafil Mursalin wa alaa alihi wasahbihi ajmaain
Rabbishrahli sadri wa yassirli amri wahlul 'uqdatan millisani yafqahu qauli

Asalaamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Yang Dihormati, Pengerusi Tetap, Saudara Haji Abdul Rahman bin Mohd Yusof, Tuan Yang Terutama, Presiden, Saudara Mahmud Morsidi Awang Othman, Tuan Yang Terutama Timbalan Presiden, Saudara Juned Haji Ramli, Yang Mulia Naib-naib Presiden, Yang Mulia Setiausaha Agong, Yang Berusaha Ahli-ahli Lembaga Penasihat, Yang Mulia Majlis Tertinggi, Yang Mulia Para Jemputan, Yang Mulia Para Perwakilan Kongres dan Yang Mulia Saudara-Saudari yang dihormati sekalian. 

Terlebih dahulu saya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana rahmat-Nya kita dapat bersama di majlis yang penuh bermakna ini bukan sahaja kerana NDPnmalah kepada negara yang sama-sama kita cintai ini. Ya Allah, segala puji hanya untuk-Mu Tuhan Semesta Alam dan kepada-Nya kita minta pertolongan dan perlindungan.

Selawat serta salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang telah menjadi utusan Allah untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan serta rahmat bagi umat manusia didunia ini, para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Hari ini, sekali lagi kita melangkah ke hadapan menunaikan tanggungjawab berparti dengan mengadakan Kongres Agung Tahunan Ke-8 sebagaimana tuntunan perlembagaan. Bezanya kongres hari ini jauh dari keriuhan dan kesesakan bandar. Hiruk pikuk dan kebisingan manusia dalam menjalankan tugas harian mereka.

Kita berhijrah ke pedalaman, menyusur jalan yang berliku dan sempit, melintasi sawah dan ladang padi di Wasan dan sekitarnya yang suatu masa dahulu pernah kering dan terbiar dengan dihiasi lalang dan pokok-pokok renek yang subur, seolah-olah padi yang sedang subur dari jauh.

Kampong Bebuluh antara kampong-kampong yang kita pilih untuk mengadakan kongres ini mempunyai nilai tersendiri terutama dari sudut politik kerana disebelahnya ialah Kampong Paya Karangan yang ramai didiami oleh warga Negara Brunei Darussalam; namun dari sudut geografi kawasan itu semacam bukan milik kita. Sehingga kini rakyat tidak tahu status tuntutan dan hasil rundingan antara kedua Negara sahabat Malaysia dan Brunei.

Mengimbas kembali, tujuh tahun yang lalu kita telah mengadakan Kongres Agung Tahunan di Pusat Bandar dan dikawasan Bandar Seri Begawan, tetapi hari ini dan esok insyaAllah, kita berpeluang dan memilih Dewan Serbaguna Kampong Bebuloh menjadi lokasi kita untuk berkongres. Kita berpindah kesini bukan kerana lemah semangat, pun bukan kerana kalah dengan asakan sesiapa, tetapi kita memilih kerana ingin bersama masyarakat daripada akar umbi, mempamerkan dan mendekati diri agar mereka mengenali dan memahami bahawa kita sentiasa mahu dan akan mendampingi mereka dalam susah dan senang. Memertabatkan perjuangan kita yang tidak mengenal batas kaum dan puak serta fahaman.

 Dalam hubungan ini, saya bersama semua ahli Panitia Kongres Agung Tahunan Ke-8 Tahun 2013 Parti Pembangunan Bangsa, terlebih dahulu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Ketua Ranting dan ahli-ahli Ranting Bebuloh, terutama kepada Saudara Mantar Perayam kerana usaha gigih serta kesepakatan mereka sehingga kongres ini dapat diadakan di dewan ini.

Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Ketua Kampong Bebuloh, atas kepercayaan dan kerjasama beliau memberikan kebenaran menggunakan dewan ini sebagaimana yang kita hadiri sekarang.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak semua perwakilan dan ahli parti untuk melhat kehadapan dan masa depan bangsa, negara dan agama yang kita rasakan terancam dengan keadaan yang bersangkutpaut dengan sosio-ekonomi dan politik Melayu.

Saya percaya dan penuh yakin bahawa abiskita semua sudah bersedia dengan hujah dan cadangan yang bijaksana dalam menghadirkan diri di kongres ini, untuk mencari resolusi yang akan kita persembahkan kepada bangsa dan negara, agama serta raja.

Dalam NDP, kita tidak meletakkan agama puak atau suku, politik puak atau suku. Kita juga tidak mahu membesarkan Melayu dalam semangat kebangsaan yang sempit. Kita mesti mempunyai budaya yang sesuai dengan zaman, yang sanggup menghadapi segala cabaran, yang dapat bersaing tanpa bantuan, berilmu pengetahuan, jujur dan amanah. Dalam konteks Melayu Brunei, kita kembali kepada nilai-nilai dan ajaran agama Islam, yang bertaqwa dan beramal soleh sebagai pembentukan ummah.

Negara Islam (Negara Zikir) atau MIB adalah mengamalkan kebebasan dan hak itu dijamin kepada rakyatnya. Diantara kebebasan yang dijamin oleh islam ialah:
1. Kebebasan aqidah
2. Kebebasan individu
3. Kebebasan bersuara, bepersatuan dan berpolitik
4. Kebebasan hak milik
5. Kebebasan beragama
6. Kebebasan mencari rezeki

Saudara-saudari yang dirahmati Allah, Sayidina Umar al-Khattab  pernah berkata, "Mengapa diperhambakan manusia sedangkan mereka dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan merdeka." Dari itu saudara, hatta saudara orang Bisaya, Murut, Dusun, Iban, Melayu, adalah berhak bersuara kepada negara kerana saudara-saudara semualah terwujudnya satu negara. Dalam satu negara ada sistem dan undang-undang tetapi harus di ingat, tanpa saudara-saudara, tidak akan ada undang-undang dan sistem, apalagi sebuah negara. Jadi siapa kita? Kita adalah stakeholder yang mempunyai saham dalam menentukan sistem dan undang-undang dalam bernegara.

Kalau anda tahu saudara-saudara adalah stakeholder, wajarkah kita meminta hak kita... Umpama isu kemiskinan yang terjadi di Negara Brunei Darussalam yang kita daulatkan bersama. Isu kemiskinan telah diangkat beberapa kali dan di sokong sebulat suara. Bersangkutan isu kemiskinan ini, NDP merasa cemas dan ia boleh mengugat kestabilan dan keselamatan negara, ditambah lagi dengan isu pengangguran yang tinggi sudah semestinya menjejaskan wawasan Brunei 2035. Lebih kurang 20 ribu yang terdaftar dalam asnaf fakir dan miskin.

Menjunjung dan menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam ke tahap sifar kemiskinan, "Apa kiranya royalti minyak dapat diagih-agihkan kepada rakyat yang mana dapat menyaksikan secara tuntas isu kemiskinan."

Disinilah letak saudara-saudara sebagai stakeholder memainkan peranan untuk menuntuk hak masing-masing. Maka dengan itu, lahirlah Negara Baldatun Taibatun Warabbun Ghafur, negara kebajikan.

1. Negara Islam mesti mengambil berat akan kebajikan rakyat.
2. Pemimpin akan bersedia mendengar segala masalah rakyat.
3. Pemimpin adalah khadam kepada rakyat.
4. Pemimpin bukan sahaja dipersoalkan oleh rakyat dan institusi hisbah tetapi juga akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari kiamat.

Didalam firman Allah didalam Surah Yunus ayat ke 99 yang bermaksud,
"Dan kalau dikehendaki oleh Tuhanmu, tentulah telah pun beriman manusia dimuka bumi semuanya. Oleh itu, patutkah engkau cuba memaksa manusia supaya mereka beriman belaka?"

Terakam juga didalam Surah Al-Maun,
"Tahukah engkau orang yang mendustakan ugama? Iaitu orang-orang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim. Dan tidak ada menggalakkan untuk memberi makanan kepada orang miskin, maka kecelakaan pula keatas orang-orang yang bersembahyang, yang lalai daripada sembahyang mereka, yang riya dan memberi pertolongan (kepada orang-orang yang berhak mendapatkannya.)

Dalam surah al-Baqarah, ayat 273 yang bermaksud,
"Bagi orang fakir yang dikehendaki berkhidmat pada jalan Allah sekira-kira tidak dapat mereka berusaha dimuka bumi yang mana disangkakan oleh orang yang tidak tahu - disangkakannya orang-orang itu kaya-raya sebab mereka tidak meminta, yang dapat kamu mengenalinya dengan tanda-tanda mereka, yang tidak mengulang-ulangkan permintaan kepada orang lain. Dan apa saja kebajikan yang kamu belanjakan maka sesungguhnya Allah itu adalah Maha Mengetahui."

Rasulullah SAW bersabda,
"Tidak beriman dengan ajaranku sesiapa yang lena nyenyak sedang jirannya kelaparan di sebelah rumahnya padahal ia mengetahui penderitaan jirannya."

Islam ialah syariat perikemanusiaan. Oleh itu, segala jaminan sosial adalah menjadi kewajiban bukan sekedar kebajikan dan derma sukahati sahaja. Ibu-ibu dan anak-anak serta buruh-buruh yang ditimpa musim penggangguran adalah berhak mendapat perlindungan yang istimewa daripada pemerintah Islam menurut kaedah-kaedah yang tertentu.

Hadirin hadirat yang berbahagia, akhirnya saya menyatakan bahawa kongres ini tidak akan dapat dijayakan dengan sebaiknya tanpa bantuan Setiausaha Agung dan warga Jasa yang bertungkus lumus, tanpa mengira waktu serta penat lelah dalam menyediakan keperluan kongres. Kepada semua ahli Panitia Kongres, saya juga tidak lupa mengucapkan syabas dan terima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan dan bantuan yang sentiasa diberikan sejak awal sehingga saat ini dan seterusnya. Kepada para penyumbang dalam apa jua bentuk yang mereka berikan...
Terima kasih daun keladi,
Mudahan biskita semua dimurahkan rezeki
Jika ada kesempatan nanti,
Kongres akan datang jangan lupa lagi.

Saya berdoa semoga apa jua sumbangan dan kerjasama yang dberikan akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT jua, kerana Dialah sebaik-baik Pemberi Balasan.

Sekian, wabillahitaufiqwalhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Thursday, June 27, 2013

PERLANTIKAN BAGI JAWATAN TIMBALAN PENGERUSI TETAP DILULUSKAN


BEBULOH, 16 SYAABAN 1434 / 25 JUN 2013 :  Satu Kongres Khas telah di adakan sebaik saja Kongres Agung Tahunan NDP Ke-8 selesai dirasmikan pada pagi  21 Jun 2013 yamg berlangsung di Dewan Serbaguna Kampong Bebuloh. 

Kongres Khas tersebut dilaksanakan sebelum berlagsungya Persidangan Kongres Agung Tahunan, iaitu bagi  mengisi kekosongan kerusi Timbalan Pengerusi Tetap sesuai dengan Kehendak Perlembagaan Parti, Bab Ke-8 Artikel 24 Ceraian 4.

Saudara Mahdi, Timbalan Pengerusi Tetap yang baru dilantik (berdiri ditengah) bergambar bersama Sadara Hj Sulaiman Duraman (kanan) dan Saudar Wahab Tuah (kiri)

Kongres Khas tersebut telah sebulat suara bersetuju dan mengesahkan Saudara Mahdi bin Haji Md Suhaili untuk menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Tetap bagi sesi 2012 hingga Kongres Agung Tahunan yang ada pemilihan di dalamnya yang dijangka akan diadakan pada Tahun 2015 nanti.

Monday, June 24, 2013

Merentas Waktu Ke Arah Pembaharuan Politik




BEBULOH, 13 SYAABAN 1434 / 22 JUN 2013 :  Parti Pembangunan Bangsa (NDP) sekali lagi telah mengadakan Kongres Agung Tahunannya yang ke-8 Tahun 2013 di Dewan Serbaguna Bebuloh, Mukim Pengkalan Batu, Negara Brunei Darussalam.

Hj Yunus Momin, Pengerusi Penatia Kongres NDP Ke-8 ketika menyampaikan ucapan alu-aluan

Kongres Agung Tahunan yang berlangsung selama dua hari itu telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Saudara Mahmud Morshidi Othman , Presiden NDP kelmarin dihadapan lebih 200 ahli yang hadir.

Presiden NDP ketika menyampaikan
ucapan dasar dan seterusnya merasmikan
kongres
Pada kongres tahun ini sebanyak 2 usul khas, 7 usul yang dibentang dan dibahas, 11 usul yang dibentang tanpa bahas dan 56 usul yang telah diangkat oleh Badan Perhubungan Daerah, yang menjadikan sebanyak 76 usul yang telah diluluskan dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan ke-8 Tahun 2013 ini.

Diantara ahli-ahli Majli Tertinggi yang hadhir
Kongres kali ini yang bertemakan ‘Merentas Waktu Ke Arah Pembaharuan Politik’ menyaksikan kehadiran ahli-ahli perwakilan yang begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam membentangkan usul. Ini tidak syak lagi ianya menggambarkan betapa rakyat diperingkat akarumbi khususnya perwakilan-perwakilan yang hadir merasa begitu komited dan mengharap agar isu-isu yang dibentangkan akan dapat membantu pihak kerajaan dalam menangani berbagai masaalah dari berbagai bentuk cabaran.


Sunday, June 23, 2013

UCAPAN DASAR PRESIDEN-Kongres Agung Tahunan NDP ke-8


Ucapan Dasar Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
Di Kongres Agung Tahunan Ke-8 Tahun 2013
12 Syaaban 1434 bersamaan 21 Jun 2013
Dewan Serbaguna Kampong Bebuloh
Mukim Pengkalan Batu
Negara Brunei Darussalam

KELANGSUNGAN NEGARA




1.     DIPANJATKAN segala puji dan kesyukuran kepada Allah SWT, Tuhan semesta alam. Salam dan Salawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang melaluinya diturunkan rahmat kepada sekalian alam.

2.     Yang Dihormati Tuan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap,
Yang Dihormati Ahli-Ahli Lembaga Penasihat,
Tuan Yang Terutama Timbalan Presiden,
Naib-Naib Presiden,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Yang Berusaha PenSgerusi Paitia Kongres Agung Tahunan Ke-8,
Para tetamu, para perwakilan, para pemerhati dan seluruh anggota Parti Pembangunan Bangsa (NDP).

Assalamulaikum WRB dan Salam Sejahtera.

Tuan Pengerusi Tetap,
3.   Izinkan saya dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran saudara-saudari sekalian, ke Majlis Perasmian Kongres Agung Tahunan Ke-8 Parti Pembangunan Bangsa(NDP) di Dewan Orang Ramai Kampung Bebuloh Daerah Brunei Muara.  Ahlan wa sahlan.

4.     Marilah kita sama-sama bersyukur ke hadrat Allah SWT yang dengan izinNya memberi kita kesempatan untuk berhimpun pada hari ini bagi menyempurnakan Kongres Agung Tahunan Ke-8 Parti Pembangunan Bangsa (NDP).

5.     Saya berpesan kepada diri saya dan kepada seluruh ahli parti supaya meningkatkan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dan taat kepada Junjungan Rasulullah SAW. Kepada anggota yang bukan Islam pula, berpeganglah kepada nilai-nilai murni dan kepercayaan agama masing-masing.

Saudara saudari sekalian,
6.     Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) ini adalah wadah bagi kita membaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi dan kecintaan yang setulusnya Kehadapan Majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang  Di Pertuan dan Ulil Amri bagi Negara Brunei Darussalam.

7.     Kongres ini juga adalah wadah bagi kita membaharui ikrar yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Parti iaitu untuk menyokong dan membantu Baginda dan Kerajaan Baginda dan memberikan makna sebenar kepada falsafah Negara Melayu Islam Beraja di dalam kehidupan kita bernegara.

8.  Saya ingin memberikan jaminan kepada semua, bahawa kehadiran Parti Pembangunan Bangsa (NDP) ke persada politik tanah air tidak sekali-kali berupa ancaman keselamatan kepada bangsa dan negara. Kehadiran Parti Pembangunan Bangsa (NDP) adalah untuk menunaikan tanggungjawab berbangsa, bernegara dan beraja melalui pelantar parti politik seperti yang dimaktubkan di dalam perlembagaan parti.

9. Sesungguhnya, kami berpolitik untuk berdakwah dan dalam masa yang sama berdakwah melalui pelantar parti politik. Kami tiada cita-cita langsung, walau sebesar zarah sekalipun  untuk menumbangkan Kerajaan Kebawah DYMM atau bercita-cita untuk menjadi kerajaan menunggu.

Saudara saudari sekalian
10.  Sempena dengan Kongres Agung Tahunan ke-8  ini, marilah kita bersama-sama menjunjung kasih dan merafak ucapan tahniah Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan kerajaan Baginda kerana diberi kepercayaan menjadi Pengerusi ASEAN 2013 dan  di atas kejayaan menganjurkan Sidang Puncak ASEAN ke 22 yang berlangsung pada 24-25 April yang lalu.

11.  Pada masa yang sama kita lahirkan rasa kesyukuran kehaderat Allah SWT kerana pergolakan yang berlaku di kejiranan kita iaitu peristiwa  Lahad Datu baru-baru ini berjaya ditangani oleh tetangga kita. Kita sebenarnya amat bimbang andainya peristiwa tersebut tidak ditangani dengan bijaksana ianya tidak mustahil boleh merebak dan mengancam keselamatan negara kita secara langsung.

12.  Dengan tulus ikhlas, NDP turut merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada pasukan keselamatan dan semua pihak yang telah menyumbang tenaga mengawal keselamatan Negara khususnya sepanjang tempoh acara penting itu berlangsung.
FENOMENA ANCAMAN KESELAMATAN GLOBAL
Saudara saudari sekelian,
13.  Andaian bahawa berakhirnya Perang Dingin akan menyaksikan  dunia menjadi semakin aman telah bertukar menjadi samar dengan kemunculan pelbagai konflik, isu, dan ancaman yang bersifat rentas sempadan. Diera mutakhar ini sahaja kita sedang menyaksikan ekonomi global masih berada dalam keadaan lemah akibat  pemulihan yang lemah di kalangan ekonomi ekonomi maju.  

14.  Amerika Syarikat (AS) masih mengalami pemulihan yang rapuh dan negara-negara di Euro zone tetap berhadapan dengan krisis yang berpanjangan.  Faktor-faktor lain termasuk  krisis politik yang berterusan di Timur Tengah dan Afrika Utara serta  pertumbuhan ekonomi menurun yang dialami oleh negara China dan India.
Demikian juga, krisis yang melanda negara-negara Eropah berpotensi mengheret negara lain ke kancah krisis yang lebih serius. Malah, ada beberapa institusi kewangan besar dunia runtuh disebabkan oleh kemelut ini. 

15.  Berdepan dengan situasi ini, beberapa buah negara ekonomi utama terpaksa mengambil langkah drastik melaksanakan pakej penyelamatan dan bail-out menyeluruh bagi lain-lain institusi kewangannya, di samping terpaksa melaksanakan langkah-langkah penjimatan yang mendapat respon negatif orang awam.

16.  Pasaran ekonomi global adalah dipengaruhi oleh perkembangan di beberapa buah negara utama seperti German dan negara-negara EU lainnya, China, AS, India dan negara-negara di rantau Asia Tenggara. Justeru, perkembangan ekonomi yang positif amat bergantung kepada kemampuan sistem politik negara berfungsi secara efektif sekaligus berupaya menyediakan penyelesaian terhadap masalah yang timbul secara berkesan.
17.  Dari sudut politik, dunia hari ini  diwarnai oleh pelbagai peristiwa yang boleh dilihat positif dan negatif. Tindakan pengunduran AS secara berperingkat dari bumi Afghanistan sehingga tahun 2014 adalah  antara perkembangan positif yang boleh diperhatikan sebagai isyarat pengakhiran dua tonggak utama operasi “Global War on Terror”.

18.  Impak Arab Spring yang membadai negara-negara dunia Arab dan Afrika masih belum berakhir. Mesir, Tunisia, Libya dan Yaman masih belum pulih sepenuhnya. Perkembangan konflik di Syria pula kini menjadikan kestabilan rantau berkenaan  lebih fragile apabila konflik dalaman telah bertukar menjadi konflik kepuakan (sectarian) yang kini telah merebak ke negara-negara jiran seperti di Lebanon, Iraq dan Turki. Senario semasa menunjukkan kemungkinan keadaan ini mampu mencetuskan konflik proksi yang lebih besar dengan penglibatan negara rantau dan kuasa besar seperti Iran, Israel, Russia,  AS dan sekutu-sekutunya.

19.  Dalam konteks ini, NDP menzahirkan rasa dukacita yang amat sangat diatas nasib rakyat Palestine yang sedang berjuang menuntut hak wilayah mereka yang dirampas oleh Israel. Isu perampasan bumi Palestine adalah antara punca utama kemelut peperangan demi peperangan dan konflik demi konflik yang melanda Timur Tengah  justeru membawa tempis diperingkat global.

20.  Dikesempatan ini NDP menuntut agar Israel berundur dari bumi Palestine dan mengambalikan wilayah mereka yang dirampas. Kita juga amat dukacita dan berasa kesal diatas kacau bilau yang melanda beberapa Negara umat Islam di Asia Barat dan Timur Tengah terutama sekali peperangan saudara di Syria yang sudah membunuh hampir 100 ribu nyawa.

21.  Kita juga menggesa agar Kerajaan Myanmar menghentikan kekejaman yang ditimpakan keatas umat Islam di Negara tersebut dengan sertamerta. Kepada umat Islam di Pattani dan Mindanao, dan dimana saja umat islam yang terinaya dan dizalimi diseluruh dunia,  kita berdoa semoga Allah mengangkat penderitaan mereka dan  mengurniakan kemanagan kepada mereka dan kepada. Islam.

Saudara saudari sekalian,
22.  Dalam masa yang sama ketegangan di rantau Asia Timur, antara China dan negara jirannya turut menggugat keamanan. Konflik berhubung isu nuklear juga turut berpotensi mencetus masalah yang lebih besar seperti dalam isu membabitkan Iran dan Korea Utara.

23.  Di peringkat global juga, ancaman yang selama ini lebih bersifat domestik, terbatas dan isolated telah menjadi antara fenomena serius sebagai ancaman kepada keselamatan negara dengan kesannya yang bersifat rentas sempadan. Kesan kebocoran reaktor nuklear di Fukushima, Jepun, ancaman wabak penyakit, gempa bumi, impak 'mother nature', Pemanasan Dunia, pencemaran alam sekitar seperti jerebu, ancaman keganasan, jenayah transnasional, krisis ekonomi dan ancaman sekuriti makanan adalah di antara isu-isu besar yang perlu diberi perhatian serius melalui kerjasama di setiap peringkat sama ada di dalam negara, antara Negara atau antara rantau.
FENOMENA ANCAMAN KESELAMATAN
RANTAU ASIA TENGGARA
Saudara saudari sekalian,
24.  Rantau Asia Tenggara pula masih kekal sebagai rantau yang stabil samada dari segi politik mahupun ekonomi, setelah berjaya mengharungi kegawatan krisis kewangan untuk muncul sebagai antara rantau yang paling dinamik dan berprospek positif di dunia. Dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan merangsangkan berbanding lain-lain rantau di dunia, justeru Rantau Asia Tenggara menjadi tumpuan perdagangan dan pelaburan di peringkat global.

25.  Kemunculan China sebagai kuasa rantau dan global, telah menjadi antara isu besar, dilihat cuba menggugat status quo AS dan pakatan di peringkat rantau. Justeru, tidak hairan sekiranya tindakan provokasi China membabitkan tuntutan di kepulauan Spratly contohnya, turut diberi perhatian serius oleh AS. Malah, AS juga didapati terus cuba mengukuhkan kehadirannya di rantau ini. Selain itu, isu berhubung Taiwan terus meningkatkan sentimen nasionalis di China di samping Isu nuklier Korea Utara  kekal menjadi duri dalam daging mengancam kestabilan rantau Asia.

26.  Secara umumnya, kebanyakkan negara di rantau ini mengambil jalan positif dalam hubungannya dengan China, lebih-lebih lagi China, yang mempunyai penduduk seramai 1.34 billion  tetap kekal sebagai antara negara dagangan terbesar dunia serta merupakan rakan dagangan penting bagi  negara-negara di rantau Asia Tenggara.

27.  Dengan peruntukan US 10 trilion untuk mengimpot barangan keperluan dalam negeri dan peruntukan untuk tujuan pelaburan diluar negeri bernilai US 500 bilion yang akan dibelanjakan China dalam jangka beberapa tahun mendatang  merupakan peluang terbuka untuk direbut oleh negara-negara dunia.

28.  Dalam kesempatan ini tentulah negara-negara ASEAN akan berlumba-lumba merebut peluang perdagangan dan pelaburan yang dibukakan oleh negara  China. Persoalannya disini ialah apakan bentuk perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan yang boleh ditawarkan oleh Brunei untuk meraeh peluang yang tersedia itu?.

29.  Disatu pihak ASEAN memerlukan China sebagai rakan dagangan dan pelaburannya, namun disatu pihak yang lain pula, kecenderungan dasar luar  dan ketenteraan China yang agresif serta asertif seperti   keterlibatan China dalam isu-isu keselamatan  melibatkan tuntutan wilayah bertindih  sewajarnya diberi perhatian serius oleh ASEAN. Pada umumnya ASEAN  perlu terus menerus menilai  dasar permaufakatan serantau ini terhadap China bertujuan menghalang berlakunya sebarang konflik yang merugikan semua pihak.

30.  Selain itu, rantau Asia Tenggara juga tidak sepi daripada isu-isu sedia ada membabitkan isu dalaman mahupun antara negara, seperti konflik di Selatan Thailand, isu keganasan etnik dan agama di Myanmar. Isu persempadanan wilayah, dan lain-lain lagi. Namun begitu, secara umumnya isu-isu ini berada pada tahap yang terkawal.

31.  Apa yang lebih membimbangkan ialah isu-isu keselamatan bukan tradisional (non-traditional security issues) yang turut menjadi isu besar di rantau ini, iaitu bencana alam dan epidemik, cabaran-cabaran berhubung isu hak asasi dan urus tadbir kerajaan, jenayah transnasional, isu demografi, ekonomi dan perdagangan, dan  regionalisme.

32.  Dalam hal ini, amalan pendekatan good governance,  moderation dan reconcialition berpaksikan   menghormati hak-hak asasi manusia, keselamatan manusia dan apa jua hak setiap  warga keatas negara masing-masing  janganlah sekadar rethorik, tetapi hendaklah  dijadikan agenda utama    ASEAN dan menjelmakannya sebagai suatu realiti  agar agenda besar kemaufakatan, keamanan dan kesemakmuran bersama  Komuniti ASEAN itu turut dinikmati oleh setiap negara anggota rantau dan  warganya bagi menjamin kelangsungan negara masing-masing.
KELANGSUNGAN NEGARA
Saudara saudari sekalian,
33.  Turut membimbangkan kita juga ialah, apabila kerajaan gagal memberi respon positif kepada setiap isu dan menangani sebaiknya ancaman-ancaman seperti dinyatakan yang boleh menatijahkan implikasi buruk kepada rakyat dan juga negara. Fenomena 'Arab Spring' sebagai contoh, adalah antara contoh jelas yang mengaitkan kegagalan kerajaan melaksanakan tindakan yang responsif kepada keperluan dan kemahuan rakyat. Justeru, secara tidak lansung, kegagalan  diperingkat dasar dan pembuatan keputusan yang salah akan, atau boleh mewujudkan ketidakstabilan, yang akhirnya mampu menjejaskan kelangsungan sebuah negara.

34.  Dalam menghadapi isu-isu dan persoalan  ini, NDP berpendapat,  pendekatan responsif yang bertenaga, akomoditif, robust,  flexible, dan multidimensional adalah amat perlu untuk menjamin kelangsungan sesebuah negara, atau secara khusus negara-negara kecil dan membangun.

35.  Para serjana sains politik berpendapat bahawa kelangsungan sesebuah negara boleh diperkukuhkan dengan menjamin elemen keselamatan; elemen teras sesebuah negara iaitu (i) penduduk; (ii) kedaulatan; (iii) wilayah; dan (iv) kerajaan. Dalam hal ini, sepatutnya segala dasar yang akan dilaksanakan oleh sesebuah negara seharusnya mengambilkira kepentingan survival elemen-elemen asas ini dalam persekitaran semasa global dan rantau yang tidak menentu dan telah berubah.

36.  Dalam konteks Negara kita, NDP berpandangan, tindakan kerajaan melalui formulasi dasar-dasar dan pelan tindakan yang responsif  dan proaktif terhadap perubahan persekitaran adalah amat perlu diberi perhatian. Sebagai contoh dalam isu ketidakstabilan pengeluaran makanan dunia, harus ditangani dengan rangka dasar strategik untuk menjamin bekalan secara konsisten untuk jangkamasa panjang; umpamannya, melalui usaha mewujudkan buffer stock yang secukupnya sekurang-kurangnya untuk jangka satu tahun, menyediakan peruntukan kewangan secukupnya  untuk pembangunan prasarana pertanian terutama sekali tanaman padi dan rumbia serta khidmat nasihat teknikal berterusan kepada petani, peladang dan pengusaha industri hiliran.

37.  Kita turut melihat, demi kelangsungan sebuah negara, sebuah negara dalam kerangka politik global mutakhir ini tidak dapat mengelak daripada membentuk strategi pengantarabangsaan yang akan mengukuhkan kedudukan negara di peringkat global, yang secara tidak langsung mampu menjamin kelangsungan negara dalam jangkamasa panjang. Alhamdulillah, pendekatan ini telah dilakukan oleh Kerajaan  melalui dasar luar yang mesera dan  kerjasama dengan organisasi-organisasi antarabangsa seperti PBB, OIC, ASEAN dan lain-lain.

38.  Namun demikian, partisipasi Negara Brunei samada diperingkat Kerajaan atau Swasta sebagai dialog partner dalam forum-forum antarabangsa bertujuan memacu pertumbuhan sektor-sektor tertentu yang boleh menjadi bidang niche untuk dipromosi di peringkat antarabangsa masih dilihat ditahap rendah.

39.  Demikian juga peranan parti politik dan badan-bandan bukan kerajaan (NGOs) boleh membantu memperkukuh  hubungan rakyat dengan rakyat, namun demikian, peranan dan sumbangan mereka seperti tidak diperlukan.

KOMUNITI ASEAN 2015

Saudara saudari sekalian,
40.  Berdasarkan kepada pencapaian agenda ASEAN sebelum ini, maka ASEAN maju setapak lagi apabila pada tahun 2003 yang lalu, telah ditandatangani Bali Concord II yang memutuskan bahawa Komuniti Asean akan diwujudkan pada tahun 2020.  Komuniti ASEAN adalah jenama baru bakal menggantikan jenama ASEAN. Bagaimanapun, tempoh ini dipercepatkan kepada 2015 dalam persetujuan kemuncak Asean di Cebu pada 2007. Kesatuan ini dibangunkan atas tiga tunggak yang dipersetujui iaitu, politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.

41.  Berdasarkan pelan tindakan (blueprint) yang telah digubal, pada 2015 Asean akan menjadi: (i) rantau ekonomi dengan kesatuan pasaran dan asas pengeluaran, (ii) rantau ekonomi yang berdaya saing tinggi, (iii) rantau pembangunan ekonomi yang saksama, dan (iv) rantau ekonomi yang disepadukan sepenuhnya ke dalam ekonomi global.

42.  Ini membawa kepada keterbukaan pergerakan barangan, perkhidmatan, pelaburan dan mobiliti golongan profesional yang lebih mudah di kalangan negara komuniti. Dengan senario yang sedemikian rupa, Brunei dengan secara automatik akan menjadi sebahagian daripada sebuah kesatuan yang dianggotai oleh 600 juta penduduk dan sempadan Negara Brunei seoalah-olahnya ialah sempadan seluruh rantau ASEAN.

43.  Implikasi dari kesatuan ini ialah, Brunei tidak lagi berdiri sebagai sebuah identity dan entiti yang terasing. Sebarang perubahan dan pergolakan yang berlaku dari segi politik,  keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya di dalam mana-mana negara kesatuan akan memberi impak secara langsung kepada kita.

44.  Atas premis ini, kita dapati negara-negara seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia telah menzahirkan kebimbangan menegenai tahap kesediaan mereka sendiri untuk menghadapi segala perubahan dan cabaran yang di bawa bersama oleh pembentukan Komuniti Asean itu. Pada pandangan kita, persoalan yang sama juga  harus diberikan perhatian, iaitu mengenai kesediaan dan persiapan negara kita menghadapi agenda besar Komuniti ASEAN pada tahun 2015 dan selepasnya.

45.  Disini kita menuntut ketelusan pihak kerajaan supaya  mengongsikan segala maklumat, pandangan terhadap kesan positif dan negatif, untung dan ruginya rakyat dan Negara mendukung   agenda Komuniti ASEAN ini. Langkah seumpama ini amat perlu kerana ia melibatkan kepentingan seluruh rakyat dan nasib masa depan mereka sekunyong-kunyong rakyat adalah  merupakan stake holder terbesar didalam Negara ini, apatah lagi, kejayaan agenda Komuniti ASEAN ini bergantung sepenuhnya diatas sokongan warganya.

46.  Antara lain perkataan, adakah kita telah membuat segala persediaan yang diperlukan? Kalau negara seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia yang mendepani kita dari segi saiz, jumlah penduduk, perkembangan dan kesedaran politik, serta kepelbagaian ekonomi, menampakkan kebimbangan dengan cabaran yang bakal muncul, bagaimanakah pula dipihak kita, seperti , adakah kita sudah memikirkan kebarangkalian pencemaran keatas identiti dan calak Brunei yang digarap oleh MIB yang menjadi konsep pembentukan negara?

Saudara saudari sekalian,
47.  Pihak yang bakal menghadapi cabaran atau ‘ancaman’ sebenar ialah rakyat daripada golongan usahawan, termasuklah PKS/IKS  dalam semua sektor. Ini bermakna adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi kesedaran kepada golongan tersebut mengenai persaingan dan cabaran  ‘ancaman’ yang bakal merekea hadapi. Malangnya, berdasarkan pengamatan NDP yang bergerak di peringkat akar umbi,  kita melihat kesedaran ini seolah-olah tidak wujud sama sekali.

48.  Hari ini pun rakyat biasa sudah dilanda keresahan. Perusahaan dan perniagaan yang bersekala kecil diungkayahkan rakyat biasa selama ini sudah terancam. Mengambil contoh, bengkel-bengkel kenderaan, cucian kereta, kerja-kerja senggaraan hawa dingin, kedai-kedai runcit di kampung-kampung, perusahaan dobi, jahitan, gunting rambut, restoran, gerai-gerai makan, gerai-gerai jualan dipasar-pasar  borong dan basah, perniagaan di Tamu Kianggeh,  perusahaan sajian makanan(katering), kerja nelayan, penanaman sayuran,   hatta kerja-kerja memotong rumput dan membaca meter air sekalipun kini hamper dikuasai sepenuhnya  oleh pendatang-pendatang asing.

49.  Nah! kalau dalam situasi Negara kita yang kekayaannya melimpah ruah, 10 terkaya didunia dan  regime hari ini begitu  kuat, penguatkuasaan begitu ketat, tetapi malangnya  kebanjiran warga asing yang berusaha dan berniaga meyaingi rakyat tempatan hingga lingkup tidak pula mampu dikawal sehingga hamper semua perusahaan dan perniagaan rakyat bersekalaa akecil beralih tangan kepada orang asing tanpa kawalan.

50.  Cuba bayangkan bagaimanakah nasib rakyat jelata  kelak menjelang Brunei Maju 2035 atau 25 tahun selepas kewujudan Komuniti ASEAN?. Bolehkan kita bayangkan apa akan berlaku kepada  cucu cicit kita ketika dipenghujung zaman DYTM Pengiran Muda Mahkota menjadi raja atau dizaman  DYTM Abdul Muntaqim menjadi raja mereka?

51.  Kalau berterusanlah senario ini, mampukah kita untuk berhadapan  dengan negara-negara yang selama ini telah pun jauh kehadapan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Mampukah kita merebut peluang dalam senario pasaran dan pengeluaran tanpa sempadan menjelang 2015? Rakyat dilain-lain Negara komuniti rata-rata  menikmati pertumbuhan ekonomi yang tinggi, tetapi Negara kita semakin menurun.

52.  Rakyat lain-lain Negara anggota komuniti akan bertambah maju dan makmur meraeh keuntungan besar dari kemaufakatan dan kerjasama serantau, tapi apa pula yang kita boleh  raeh untuk memakmurkan dan mensejahterakan rakyat? Pihak berkenaan hendaklah menjawab persoalan ini kerana inilah yang banyak dilontarkan oleh ahli dan bukan ahli kepada kita.

53.  Rakyat bimbamng, rakyat resah dan gelisah… wahai para penguasa, redakanlah kebimbangan dan keresahan rakyat kini. Apakah konsep “bersyukur” dan “awar galat” yang melampau masih releven lagi? 

HARAPAN RAKYAT

Saudara saudari sekalian,
54.  Satu lagi perkembangan menarik yang menjadi agenda ASEAN ialah ‘Asean Human Rights Declaration’ yang ditandatangani pada 18 November 2012 sempena sidang puncak Asean yang ke 21 di Phnom Penh.

55.  Melalui deklarasi tersebut, negara-negara ahli telah berikrar untuk mengiktiraf antara lain hak:

-       Setiap individu yang menjadi warganegara sesebuah negara mempunyai hak untuk turut serta di dalam kerajaan negaranya, sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui perwakilan yang dipilih secara demokratik, tertakluk kepada undang-undang negara.

-       Setiap warganegara mempunyai hak untuk mengundi dalam pilihanraya berkala dan sah, menerusi hak mengundi yang sejagat dan sama rata, dengan secara sulit, demi menjamin kebebasan hak memilih kepada pengundi, tertakluk kepada undang-undang negara.

56.  Jika kita amati kedua-dua klausa 25(1) dan 25(2) deklarasi tersebut, rakyat Brunei secara amnya, boleh meletakkan harapan yang besar bahawa hak mereka sebetulnya diakui. Persoalannya, bilakan pengiktirafan tersebut akan dikotakan pihak berkenaan melalui tindakan yang sewajarnya?

Saudara saudari sekalian,
57.  Dalam hubungan ini, izinkan  saya memanjangkan harapan sejumlah besar rakyat kepada pihak kerajaan supaya menyediakan pelan tindakan; bilakah masanya hak rakyat yang selama ini ternafi akan ditunaikan selaras dengan deklarasi yang telah dipersetujui. Kita tentunya tidak mahu rakyat ternanti-nanti akan janji ini ‘bak menunggu buah yang tak gugur’.

58.  Kita bimbang, jika sekiranya kerajaan tidak bersedia untuk melakukan perubahan struktur selaras dengan deklarasi yang ditandatangani, maka sikap ini dikhawatiri akan membentuk persepsi negatif rakyat dan masyarakat antarabangsa seolah-olah mengesahkan dapatan kajian bertajuk ‘Does Oil Hinder Democracy?’ oleh Michael L. Ross. Dapatan kajian tersebut telah memperlihatkan hubungkait atau korelasi yang rapat di antara hasil minyak dengan tahap demokrasi di negara-negara pengeluar minyak.

59.  Senario berkenaan dapat dirumuskan seperti berikut – kerajaan menggunakan hasil minyak menerusi pelbagai kaedah termasuk penghapusan cukai, skim perlindungan sosial dan kebajikan yang bertujuan menutup ruang-ruang demokrasi dan sekaligus mengurangkan kecenderungan rakyat untuk menuntut pertanggungjawaban daripada kerajaan. Langkah ini juga berfungsi mengendurkan tuntutan rakyat untuk mempunyai perwakilan dalam kerajaan.

60.  Kajian tersebut juga menyimpulkan kerajaan seolah-olah  berpegang kepada ‘falsafah’ membelanjakan kekayaan hasil minyak dan gas negara untuk ‘membeli’ kesetiaan rakyat. Rakyat seolah-olah terhutang budi kepada kerajaan, justeru mereka tidak pernah dan malah tidak berani untuk mempersoalkan hak-hak mereka untuk terlibat didalam pembuatan keputusan secara legitimate didalam parlimen yang berwibawa.

61.  Hasilnya, ketiadaan suara rakyat ini telah dijaja sebagai menggambarkan suasana politik negara yang amat stabil. Bagaimana mungkin boleh kita istilahkan susasana tersebut sebagai ‘kestabilan’ sedangkan kesedaran politik itu tidak pun bercambah sebaliknya ialah kelesuan dan kebekuan yang menjurus kepada kejumudan politik. Dalam konteks Negara Brunei hari ini, scenario  yang terpamer  masih diterima baik oleh sebahagian rakyat ditambah pula regime  ini masih kuat. Kebimbangan ialah apabila berlaku perubahan regime daripada yang kuat kepada regime yang lemah sedang cabaran-cabaran hebat diperingkat global dan regional pasti akan menampias kearah kita..

KEPIMPINAN PERINGKAT AKAR UMBI

Saudara saudari sekalian,
62.  Pemilihan ketua-ketua kampung di Brunei telah berjalan sejak 1992. Melalui sistem ini rakyat telah terlibat secara langsung memilih pemimpin mereka secara “demokratik”. Persoalannya, mengapa  sistem pemilihan ketua kampung yang “demokratik” itu gagal menjadi pencetus atau pemangkin kepada kefahaman dan perlaksanaan demokrasi yang meluas di kalangan rakyat?

63.  Allah SWT telah membuat perbandingan di dalam surah al-A’raf, ayat 58, bermaksud:

“Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut.”

64.  Dengan meminjam maksud daripada perbandingan tersebut, apakah ‘tanah’ di Brunei ini terlalu gersang dan kontang sehingga tunas demokrasi yang disemai selama ini tidak tumbuh subur?

65.  Dalam hubungan ini, marilah kita renungi bait-bait pantun berikut:

Berguru di padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

66.  Oleh yang demikian, bertepatan sekali tindakan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHDN) untuk mengemaskan struktur Majlis-Majlis Perundingan Kampong dan Mukim maka kita harapkan supaya KHDN mengambil kira titah teguran Kebawah DYMM  terhadap pelbagai kelemahan di peringkat kepimpinan kampung. NDP sangat kesal kerana akibat kealpaan dan pengabaian pihak-pihak yang terbabit sehingga menyebabkan sesetangah  rakyat ternafi hak mereka untuk menikmati perkhidmatan yang berkesan. Justeru pada pengamatan Kebawah DYMM, sesungguhnya tiada satu pun isu yang kecil selama ianya menyangkuti kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

PRESTASI PEMBANGUNAN NEGARA

Saudara saudari sekalian,
67.  Kita turut berterima kasih kepada kerajaan KDYMM kerana sempena dengan persidangan MMN yang ke-9 pada Mac baru-baru ini telah meluluskan peruntukan sebanyak BND 6.1 bilion bagi tahun fiskal 2013/2014 yang meliputi belanja mengurus dan pembangunan.

68.  Di bawah RKN ke-9 (2007-2012), sebanyak 1,048 buah projek pembangunan telah disenaraikan dengan harga rancangan sejumlah BND 9.5 bilion. Bagaimanapun, dari jumlah 1,048 buah projek itu, hanya sebanyak 568 sahaja yang berjaya disiapkan. Ini bermakna pencapaiannya cuma 54 peratus sahaja.

69.  Tahap pencapaian yang rendah ini secara langsung sebenarnya menafikan hak rakyat sebagai ‘end user’ kerana kita percaya, apa jua projek yang dirancangkan adalah semata-mata untuk faedah rakyat. Bukan sahaja rakyat yang tidak mendapat hak mereka, tetapi golongan kontraktor dan peniaga yang sepatutnya menikmati faedah hiliran turut terlepas peluang yang diharapkan.

70.  Dari segi prestasi kewangan pula, dari jumlah BND 5.195 bilion yang telah disediakan, BND 4.031 bilion atau 77.6 peratus telah dibelanjakan. Akan tetapi jika diambil kira daripada harga rancangan BND 9.5 bilion yang telah diluluskan, prestasi perbelanjaaan tersebut merupakan 42.4 peratus sahaja. Ini menunjukkan satu prestasi yang tidak memberangsangkan.

71.  Akibat daripada prestasi RKN ke-9 yang lembab itu, sejumlah 480 buah projek terpaksa ditunda kepada RKN ke-10 (2012-2017). Sedangkan di bawah RKN ke-10 itu cuma 202 buah projek baru sahaja yang diwujudkan. Ini bermakna 60 peratus daripada peruntukan projek RKN ke-10 terpaksa digunakan untuk menampung projek-projek yang terbengkalai di bawah RKN sebelumnya.

72.  Statistik ini memperlihatkan tahap ketidakcekapan perlaksanaan projek yang amat mengecewakan. Dari segi logik, sepatutnya jumlah projek terbengkalai yang dibawa kehadapan itu lebih kecil daripada jumlah projek-projek baru. Tetapi dalam kes ini, ianya adalah sebaliknya.

Saudara saudari sekalian,
73.  Di bawah RKN ke-10 telah ditetapkan bahawa projek-projek yang tertunda dari RKN ke-9 mestilah disiapkan dalam tempoh RKN ke-10 dan tidak akan dibawa ke RKN ke-11. Kenyataan ini menimbulkan dua tafsiran:

74.  Pertama, bahawa sebelum ini adalah menjadi suatu kelaziman bagi mana-mana projek ditunda sehingga menjangkau tiga RKN;

75.  Kedua, oleh kerana keutamaan (priority) untuk menyiapkan projek-projek yang tertunda di bawah RKN ke-10, terdapat kemungkinan bahawa projek-projek baru akan menjadi ‘mangsa’ lalu terbengkalai dan ditunda ke RKN ke-11.

76.  Pada pendapat banyak kalangan, Ini berlaku akibat sikap dan budaya kerja yang selama ini tidak memiliki tahap pemedulian yang tinggi. Apatah lagi, mereka yang diamanahkan melaksanakan projek-projek tersebut mungkin saja tidak mempunyai rasa tanggung jawab kepada rakyat. Kedudukan mereka tetap terjamin meskipun prestasi mereka mengecewakan.

77.  Inilah manifestasi daripada kepincangan sistem semasa yang menafikan hak rakyat untuk bersuara. Hanya dengan penglibatan rakyat dalam erti kata yang sebenarnya, barulah kita  dapat melahirkan golongan teknokrat dan pelaksana projek yang benar-benar memikul amanah dan aspirasi rakyat.

URUS TADBIR YANG BAIK DAN SISTEM PENYAMPAIAN

Saudara saudari sekalian,
78.  Di mana-mana negara sekalipun, peranan dan fungsi perkhidmatan awam adalah kritikal. Adalah menjadi tugas utama sektor perkhidmatan awam untuk menterjemahkan semua polisi yang digubal kerajaan. Pembentukan dasar oleh kerajaan lazimnya melalui proses perancangan yang teliti sehingga membuahkan sebuah polisi yang sempurna dari segi teorinya.

79.  Namun begitu, seandainya sektor perkhidmatan awam tidak berupaya menterjemahkan polisi tersebut kepada gerak kerja dan perlaksanaan, maka polisi tersebut hanya akan kekal sebagai satu idea yang tidak ‘operational’, lalu tidak memberi manfaat kepada kumpulan sasaran yang dihasratkan.

80.  Perkhidmatan awam yang berada di barisan hadapan, berfungsi membentuk imej sesebuah kerajaan dan negara. Perkhidmatan awam yang berkualiti akan mempamerkan imej positif bagi kerajaan melalui sistem penyampaian yang cekap, telus dan amanah. Sebaliknya, sektor perkhidmatan awam yang tidak cekap, dicemari dengan korupsi, nepostime dan mengamalkan budaya kerja yang tidak mesra pelanggan, akan hanya memaparkan imej negatif bagi sebuah kerajaan.

81.  Penampilan imej kerajaan boleh dilihat dari dua perspektif, iaitu:

82.  Pertama, perspektif bahawa seluruh lapisan rakyat adalah pelanggan kepada perkhidmatan awam. Jika sektor perkhidmatan awam mampu memikat hati dan nurani rakyat, pastinya rakyat yang berpuas hati akan terus berdiri teguh di belakang kerajaan.

83.  Begitu juga sebaliknya, andainya rakyat berterusan dihadapkan dengan pelbagai karenah birokrasi yang menjejaskan kelicinan penyampaian perkhidmatan awam, maka tidak heran sekiranya rakyat kecewa dengan kerajaan.

84.  Kedua, perspektif bahawa masyarakat antarabangsa juga adalah pelanggan kepada sektor perkhidmatan awam. Sebagai contoh, kualiti layanan yang diberikan kepada pemodal, entiti korporat dan pelancong asing. Sekiranya prestasi perkhidmatan awam itu cekap dan memuaskan hati, sudah pasti limpahan ekonomi dari mereka akan memberi manfaat yang berterusan dikecapi oleh negara dan rakyat di negara ini.

85.  Sebaliknya, jika pelanggan terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah birokrasi, ini akan menjejaskan reputasi negara. Imej negatif ini akan menjadi buah mulut di peringkat antarabangsa dan menghambat kemasukan dana dari luar sehingga menjejaskan usaha-usaha kerajaan selama ini bagi mempelbagaikan sumber pendapatan negara.

Saudara saudari sekalian,
86.  Mungkin kita boleh mengambil iktibar dari tetangga kita. Malaysia memastikan pelan transformasi kerajaan serta pelan  ekonominya yang diformulasi berdasarkan input dari berbagai lapisan masyarakat, dipantau melalui satu badan yang ditubuhkan khas. PEMANDU, atau Performance Management Delivery Unit, dibawah Jabatan Perdana Menteri. Ia ditubuhkan pada bulan Sept 2009 untuk memantau serta menilai pembangunan prgramme tersebut  demi memastikan ia dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

87.  Ketiadaan wadah yang berintergeriti berperanan sebagai pemantau dan pengkritik kepada prestasi dan kualiti perkhidmatan awam, yakni satu instrumen ‘check and balance’, seolah-olah memberi gambaran bahawa mutu perkhidmatan awam itu begitu cemerlang. Keadaan ini ditokok pula dengan ketiadaan Parlimen yang efektif, organisasi politik yang  kuat, NGOs yang focus, dan media arus perdana atau alternatif yang tanpa takut, dari masa kesemasa membangkitkan permasalahan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan. Akibat persekitaran yang tidak kondusif ini, wujudlah sindrom ‘malas tah ku ingau’, kerana bimbang dilihat sebagai menongkah arus malah mungkin sahaja dianggap sebagai golongan anti kerajaan yang bakal menerima hukuman.

88.  Namun begitu, kita amat menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah DYMM. Hanya melalui keprihatinan yang dizahirkan melalui titah-titah baginda, yang menyingkap beberapa aspek kelemahan dalam perkhidmatan awam, barulah rakyat mengetahui tahap prestasi dan keberkesanan sistem penyampaian. Nampaknya, harapan untuk sebarang penambahbaikan dan peningkatan mutu perkhidmatan awam amat bergantung kepada teguran yang dititahkan oleh Kebawah DYMM yang setentunya amat meletihkan Baginda.

89.  NDP juga menjujung tinggi titah Kebawah DYMM yang menggesa sektor perkidmatan awam menjana gagasan baru, meningkatkan kapasiti dan mempertemukan kaedah-kaedah bukan-konvensional untuk menangani keperluan negara yang kian kompleks dan mencabar di abad ke-21 ini. Baginda juga menitahkan supaya mengutamakan produktiviti dan efisiensi, tanpa membebankan diri dengan perkara-perkara yang sepatutnya tidak perlu dibuat.

90.  Dalam hubungan ini, NDP sangat bersetuju dengan cetusan Baginda supaya mencuba kaedah-kaedah baru yang lebih mesra. Anggota-anggota perkhidmatan awam tidak perlu takut untuk membuat pembaharuan dan perubahan walaupun ada kemungkinan berdepan dengan kesilapan. Kesilapan yang tidak disengajakan dalam gagasan meneroka pembaharuan dan perubahan itu jauh lebih baik dan terhormat daripada sengaja tidak bergerak dari dalam zon selesa atas alasan takut melakukan kesilapan.

91.  Sepatutnya seluruh anggota perkhidmatan awam berlumba-lumba menyahut seruan dan cabaran yang dilontarkan oleh Kebawah DYMM, untuk melahirkan sebuah perkhidmatan awam yang berdaya maju dan bertaraf dunia. Lebih-lebih lagi sebagai sebuah negara yang ditunjangi dengan jolokan Negara Zikir, tentunya tuntutan ini merupakan fardhu kifayah yang mempunyai ganjaran dunia dan akhirat.

MELANTIK DUA TIMBALAN PERDANA MENTERI

Saudara saudari sekalian,
92.  Sebagai langkah penambahbaikan didalam sistem pentadbiran dan pengurusan negara, dengan rendah hati, dan dengan penuh rasa tanggung jawab NDP mohon  kehadapan Majlis Kebawah DYMM Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Daraussalam menjulungkan cadangan kiranya Kerajaan Kebawah Duli dapat mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri, seorang yang mewakili golongan pembesar, dan seorang lagi mewakili rakyat jelata.

93.  Dengan langkah ini, kita berharap masalah ‘bottleneck’ dalam kelulusan projek dan penyaluran peruntukan kewangan dapat dilicinkan disamping dapat meringankan tugas Kebawah DYMM sebagai Pemerintah dan Ketua Eksekutif.

94.  Melalui pengagihan tanggungjawab tersebut, yang meletakkan setiap pelaksana dasar bukan sahaja bertanggungjawab kepada Kebawah DYMM, tetapi juga kepada rakyat, maka diharapkan akan lahir sikap dan budaya kerja yang baru yang berteraskan pemedulian dan pencapaian sesuai hasrat Kebawah DYMM sendiri..

95.  Ketika mana Brunei mempunyai sebuah Parlimen yang berwibawa, ketika mana Brunei mempunyai dua orang Timbalan Perdana Menteri, Insyaallah, akan ringanlah beban tugas Perdana Menteri, akan lenyaplah sindrome helah bela diri yang semudahnya meletakkan segala kesalahan dan kepincangan dalam pembuatan keputusan dan perlaksanaan kepada ‘orang diatas’. Insyaallah akan tercapailah hasrat Negara Brunei maju pada 2035 dengan redha Allah SWT.

KANUN SYARIAH

Saudara saudari sekalian,
96.  Falsafah MIB merupakan asas kepada pembentukan Negara Brunei Darussalam. Islam adalah tunjang kepada falsafah ini, justeru amat perlu diperkasa dan diberigakan. Kearah itu, kesepakatan dan dokongan segenap lapisan rakyat adalah paling utama.

97.  Salah satu aspek terpenting dalam gagasan sebuah negara Islam adalah perlaksanaan undang-undang syariah. Sebagai seorang  Islam yang beriman dengan Al-Quran,  kita mestilah menjunjung sepenuhnya perintah Allah SWT. Selaras dengan peringatan Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud:

98.  “Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Al-Baqarah: 208)

99.  Begitu juga pada masa yang sama, kita tidak mahu digolongkan sebagai orang yang kafir, zalim ataupun fasiq akibat tidak melaksanakan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT. Amaran ini ditegaskan melalui firmanNya yang bermaksud:

100.                 “…. dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.” (Al-Maidah: 44)

101.                 “…. dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Maidah: 45)

102.                 “…. dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Al-Maidah: 47)

Saudara saudari sekalian,
103. NDP amat bersyukur dan menjunjung kasih kepada Kebawah KDYMM, yang telah memperkenankan perlaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah di negara ini. Saya percaya perlaksanaan kanun tersebut dibuat bukannya kerana inginkan kemegahan dan kemasyhuran ataupun mencari populariti. Saya juga yakin keputusan ini adalah manifestasi dari sifat ketaqwaan Kebawah DYMM dan Ulil Amri dan sebagai ‘ubudiyyah’ terhadap Allah SWT semata-mata atas fitrah  sebagai hamba yang mentaati segala perintahNya.

104. Kesungguhan Baginda untuk melaksanakan Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah adalah suatu yang luar biasa kerana tidak ramai pemimpin  Negara umat Islam yang mempunyai komitmen setinggi kesungguhan  Baginda itu. Dalam hal ini, NDP telah menegaskan  hukum Wajib  mentaati Baginda Kebawah DYMM.

105. Dalam pada itu kita berharap kerajaan menyediakan sarana yang selengkapnya bagi menjamin perlaksanaan kanun tersebut mencapai matlamat tuntutan Islam yang sebenarnya. Kita semestinya mengakui Islam itu sempurna lengkap, dan terpelihara dari segala kekurangan. Justeru kita memohon pertolongan daripada Allah SWT, supaya perlaksanaan kanun ini tidak dicemari oleh sebarang kekurangan dan kelemahan.

106. Inilah sebabnya mengapa kita  tegaskan   perlunya ada persiapan yang sempurna dan rapi dari aspek kerangka perundangan, pengamal dan pelaksana bagi menjamin keutuhan tututan syariah itu sendiri. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga tidak mahu perlaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah tersebut dilengah-lengahkan atas alasan persediaan belum menckupi.

107. Kita amat menginsafi akan peringatan Kebawah DYMM pada Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Tahun 1432H / 2011M, yang menitahkan,

108.                 “Kerana selaku orang Islam, kita wajib melaksanakannya, sebagai memenuhi tuntutan Allah Subhanahu Wata’ala. Apabila Undang-Undang Syari’ah terlaksana, maka barulah bumi yang permai ini dapat diungkap sebagai ‘negeri yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun’. …..

109.                 ….. Kerana kita tidak boleh lagi berkata tidak atau tunggu dulu, sebab kita sudah cukup segala-galanya, ada kemampuan dan ada kuasa untuk melaksanakannya. Kalau kita masih juga berkata tidak atau tunggu dulu, ini adalah tidak kena.

110.                 Siapalah kita di hadapan Allah untuk berkata  tidak atau tunggu dulu, sedang undang-undang bukanlah baru digubal tetapi telah termaktub di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadis, semenjak dari seribu empat ratus tahun lagi. Di manakah kita dengan Al-Qur’an dan Al-Hadis itu?”

PENDIDIKAN UGAMA

Saudara saudari sekalian,
111. NDP juga amat teruja dengan keputusan kerajaan Kebawah DYMM untuk melaksanakan Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 yang mula berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013. Dengan perlaksanaan undang-undang ini, tidak akan ada lagi anak-anak orang Islam yang terabai atau tercicir dari asas pembelajaran dan pendidikan Islam. Ini juga akan mempastikan gejala buta jawi dan buta Al-Quran dihapuskan sama sekali.

112. Ini selaras dengan titah KDYMM sempena Hari Guru Ke-22 bagi Tahun 1433H / 2012M, bahawa,

113.                 “Dengan berjalannya undang-undang ini, insya-Allah, tidaklah akan ada lagi kanak-kanak Islam di negara ini yang akan tercicir dari memahami dan mengetahui ilmu asas pendidikan Islam. Tidak akan ada lagi orang yang tidak pandai sembahyang dan membaca Al-Qur'an.”

114.             Titah Baginda ini amat bertepatan sekali dengan cadangan NDP dalam Manifesto Politiknya 2006-2016 MS 30 antara lain berbunyi “memastikan atau mewajibkan setiap murid dan penuntut beragama Islam menghadiri sekolah agama selama enam tahun disamping sekolah biasa untuk memastikan mereka tahun dasar, asas dan rukun Islam…..”

115. Walaupun langkah ini pada peringkat awalnya menekankan kepada ilmu asas pendidikan Islam, tetapi kesinambungan kepada tahap yang lebih mendalam dan syumul hendaklah diteruskan. Adalah tidak memadai, untuk rakyat negara Brunei yang berpegang kepada falsafah MIB, hanya sekadar didedahkan kepada ilmu Islam setakat fardhu ain sahaja.

116. Sehubungan dengan itu juga, bagi memungkinkan falsafah MIB tumbuh mekar di dalam masyarakat, setiap rakyat yang beragama Islam dan bukan Islam hendaklah didedahkan kepada ilmu dan prinsip-prisnsip Islam yang sejagat. Ini kerana tunggak Islam di dalam falsafah MIB itu justerunya tidak terhad kepada fardhu ain semata-mata.

KONSEP AL-WAQI’IYYAH

Saudara saudari sekalian,
117. Bagi melahirkan individu-individu Islam yang berketrampilan, setiap warga Islam hendaklah diasuh dengan ilmu untuk membolehkan mereka mengaplikasikan Islam dalam kehidupan harian. Ianya meliputi seluruh sistem kehidupan dan bernegara yang merangkumi antara lain, aspek-aspek pemerintahan, politik, keadilan, hak asasi, sosial, pendidikan dan ekonomi seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

118. Dalam konteks ini, perkembangan fiqh semasa mengenengahkan konsep Al-Waqi’iyyah. Konsep Al-Waqi’iyyah boleh didefinisikan sebagai realiti dan kebenaran yang bersifat praktikal dan sesuai dijadikan amalan di dalam kehidupan manusia. Melalui pendekatan konsep ini, Islam itu Insyaallah akan dilihat sebagai relevan dalam menyelesaikan semua kemusykilan yang timbul mengikut kaedah penyelasaian Islam.

119. Konsep al-Waqi’iyyah menjadikan ibadah sebagai perkaedahan untuk pembangunan berteraskan Islam. Ini dapat dilihat daripada tiga prinsip berikut:

120.                 Pertama, Islam bersifat praktikal dan bukanlah utopia (khayalan). Islam mengambil kira realiti sebenar kehidupan manusia di dunia ini yang dipenuhi dengan unsur-unsur amar ma’ruf nahi mungkar. Justeru ajaran Islam adalah benar-benar praktikal untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

121.                 Kedua, Islam pasti dapat menyelesaikan sebarang persoalan yang bersangkutan dengan kehidupan manusia selama Islam diamalkan secara holistik. Justeru agama Allah SWT sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah dan memberi rukhsah dalam menjalani kehidupan di dunia sebagai proses persediaan hari akhirat.

122.                 Ketiga, Islam memberi ruang kepada perkembangan fikiran yang melahirkan tamadun ilmu. Islam sentiasa menggalakkan manusia meningkatkan daya fikiran yang tinggi, kreativiti dan inovasi bagi melahirkan tamadun yang gemilang. Justeru Islam memberi keistimewaan kepada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan diangkat darjat kemuliaan di sisi Allah SWT.

Saudara saudari sekalian,
123. Berdasarkan ketiga-tiga prinsip yang saya sebutkan itu, jelas sekali konsep al-Waqi’iyyah ini tidak bertentangan sama sekali dengan falsafah MIB. Sebaliknya, ia merupakan pelengkap yang mengutuhkan lagi tunggak Islam di dalam falsafah MIB.

124. Menerusi pendekatan ini, NDP yakin bahawa akan terbentuk sebuah generasi berilmu yang mampu mengimbangi tuntutan duniawi dan ukhrawi dalam kehidupan bernegara. Pastinya inilah yang kita cita-citakan melalui falsafah MIB itu sendiri.


125. Marilah kita sama-sama merenung dan menghayati apa yang dititahkan oleh KDYMM pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-7 Tahun 2012, bahawa,

126.                 Di samping sebagai keperluan asas, ia juga amat penting bagi survival masa depan kita. Cuba perhatikan sahaja kepada senario orang-orang menghina Nabi dan ugama yang tidak pernah berhenti itu, andainya kaum belia atau generasi kita lemah ugama atau miskin ilmu ugama, bagaimanakah mereka akan dapat menghadapinya kalau dada kosong atau ketandusan ilmu ugama?

KEPERLUAN KAJIAN OLEH UBD DAN IPT LAIN

Saudara saudari sekalian,
127. Semasa melancarkan Manifesto NDP pada tahun 2006, telah ditekankan supaya UBD dan IPT yang lain diperkasakan melalui kuantiti penerbitan dan penyelidikan yang berkualiti. Seperti yang dirakamkan dalam manifesto tersebut, izinkan saya memetik kembali di antara intipati gagasan yang berkenaan:

128.                 Pertama - Membangun dan memperkembangkan kegiatan penyelidikan dan pendidikan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) (dan institut pengajian tinggi yang lain)

129.                 Kedua - Melaksanakan kajian-kajian mengenai trend semasa serta pergolakan pelbagai isu yang dijangka mencorak keadaan masa hadapan yang bakal dihadapi oleh Negara Brunei Darussalam

130.                 Ketiga - Menyediakan kemudahan prasarana yang lengkap, termoden dan mencukupi kepada UBD dan IPT yang lain

131.                 Keempat - Menggunakan kemahiran dan kepakaran tenaga pengajar dari UBD dan IPT yang lain sebagai pakar runding dalam perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan negara

132.                 Kelima - Menyalurkan peruntukan yang secukupnya kepada UBD dan IPT yang lain

133. Kita dapati bahawa Kebawah DYMM acapkali membangkitkan persoalan bahawa UBD dan IPT lain perlu cemerlang di dalam bidang penyelidikan. Titah Kebawah DYMM yang terbaru mengenai persoalan ini adalah sempena Majlis Konvokesyen ke-24 Universiti Brunei Darussalam bagi tahun 2012 yang lalu.

134. Justeru persoalan yang dibangkitkan melalui titah tersebut adalah bersejajaran dengan gagasan NDP sejak 2006 lagi, maka adalah tepat sekali untuk kita mengungkayah dan menyokong penuh titah Kebawah DYMM itu.

135. Kebawah DYMM  memperlihatkan hasrat baginda untuk melihat UBD dan IPT yang lain muncul sebagai pusat kecemerlangan yang menghasilkan penerbitan dan penyelidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Pengiktirafan ini boleh diukur dengan bilangan dan kekerapan ‘citation’ oleh para sarjana atas dasar ‘authenticity’ dan ‘authority’ hasil penerbitan dan penyelidikan tersebut.

Saudara saudari sekalian,
136. Pada prinsipnya, sesebuah IPT hanya dikategorikan sebagai universiti penyelidikan setelah pencapaian universiti tersebut merentasi aspek-aspek berikut iaitu:

137.                 Pertama - modal insan; Kedua – penerbitan; Ketiga, paten dan hak harta intelek; dan Keempat, penjanaan pendapatan.

138. Selain keempat-empat aspek tersebut, universiti berkenaan mestilah mempunyai ciri-ciri bidang pengajian berfokuskan penyelidikan, kemasukan kompetitif, pensyarah berkualiti dan nisbah siswazah dan pascasiswazah 50:50.

139. Kita percaya bahawa apabila Kebawah DYMM membangkitkan soal perlunya UBD dan IPT lain cemerlang sebagai pusat penyelidikan, ianya tidak membawa konotasi bahawa UBD dan IPT lain  itu tidak berupaya mencapai sasaran yang ditetapkan. Akan tetapi, pada pengamatan saya, ia lebih merupakan gesaan dan dorongan supaya UBD dan IPT lain begerak dengan lebih tangkas setara dengan universiti-universiti penyelidikan di rantau ini sekurang-kurangnya.

Saudara saudari sekalian,
140. Perubahan sosioekonomi semasa menjurus kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (Knowledge Based Economy) sebagai enjin pertumbuhan. Pengetahuan (knowledge Based Economy) sebagai enjin pertumbuhan. Plaburan yang besar ditumpukan kepada aktiviti R&D, pelesenan dan harta intelek.

141. Di Amerika Syarikat misalnya, kayu ukur yang digunapakai untuk menentukan ‘ranking’ universiti penyelidikan ialah jumlah peruntukan kerajaan yang diterima bagi tujuan penyelidikan. Lagi besar jumlah yang diterima dan dibelanjakan, maka lagi tinggilah kedudukan universiti tersebut sebagai universiti penyelidikan.

142. Untuk mencapai negara maju selaras dengan Wawasan 2035 itu, IPT yang ada di Brunei hendaklah menyumbang sebanyak 10 peratus daripada hasil penyelidikan yang berdaya mampu untuk dikomersialkan. Di samping itu, IPT juga perlu meletakkan sasaran untuk melahirkan nisbah 100 penyelidik, saintis dan jurutera (PSJ) bagi setiap 10,000 tenaga kerja.

143. Sebagai perbandingan, di kalangan negara-negara maju seperti di Kesatuan Eropah (EU) misalnya, nisbah PSJ bagi setiap 10,000 tenaga kerja adalah 99.6. Manakala Jepun pula berada di tahap nisbah 131.5 dan Singapura sebanyak 111.3.

144. Jadi untuk mencapai tahap yang seperti saya sebutkan itu, bukanlah satu usaha yang mudah. Namun demikian cabaran ini mestilah disahut dengan pelan tindakan yang  mapan untuk mempastikan apa yang dihasratkan oleh Baginda dapat dicapai. Iltizam Kebawah DYMM untuk melihat transformasi IPT di Brunei dapat kita amati melalui penegasan baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-24 UBD Tahun 1433H / 2012M, yang menitahkan,

145.                 “….. Kerana itulah beta tidak jemu-jemu mengingatkan, supaya UBD dan penuntut-penuntutnya sama-sama meneroka program-program yang berguna sebagai sebahagian dari kegiatan akademik mereka.”

146. Ketegasan dan kesungguhan Kebawah DYMM dalam isu ini seharusnya dijadikan dorongan dan rangsangan yang menggerak seluruh tenaga dan warga IPT di negara ini ke arah mewujudkan pusat kecemerlangan yang terulung dan terbilang di rantau ini.

BANTUAN KEPADA SEKOLAH SWASTA

Saudara saudari sekalian,
147. Ketika mana kita merungkai isu memperkasakan UBD dan IPT lainnya, kita tidak lupa mengenai peranan dan sumbangan sekolah-sekolah swasta di Negara ini. Mengambil contoh, Sekolah Menengah Chong Hwa yang berusia lebih 80 tahun kini adalah antara sekolah swasta tertua dan terbesar dinegara kita tanpa menerima bantuan kewangan dari pihak Kerajaan selain membekalkan  guru-guru Agama, Bahasa Melayu dan pelajaran MIB.

148. Sukatan pelajaran digunapakai di sekolah-sekolah swasta China  adalah sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan sama seperti sekolah-sekolah Melayu yang lainnya kecuali tambahan satu mata pelajaran Bahasa China selain Bahasa Melayu dan Inggris.

149. Hari ini terdapat lapan buah sekolah China, terdiri dari lima sekolah rendah dan tiga sekolah menengah sehingga peringkat O level. Sekolah menengah Chong Hwa adalah sekolah swasta  terbesar mempunyai 3,500 pelajar dimana hampir sepertiga penuntutnya terdiri dari pelajar-pelajar Melayu.

150. Walaupun demikian, persoalan yang sering kedengaran ialah dimana hilangnya pelajar-pelajar lepasan Sekolah Swasta China yang telah menyambung dan  tamat pengajian mereka diluar Negara; sehingga timbul persepsi sebahagian mereka tidak ada jatidiri keatas Negara Brunei bumi kelahiran mereka. Justeru itu, NDP berpandangan perlunya satu kajian saksama dilakukan bagi mengenal pasti sebab-sebab masalah tersebut berlaku.

151. Seimbas lalu, kita menilai bahawa pihak kerajaan perlu memberikan ‘pengiktirafan’ keatas sumbangan sekolah-sekolah swasta ini dengan menimbangkan  pemberian grant tahunan dengan jumlah yang berpatutan bagi menampung biaya pengurusan  sekolah – sekolah swasta dinegara ini.

PEMBANGUNAN TEMBURONG

Saudara saudari sekalian,
152. NDP begitu teruja dan bersyukur dengan keputusan kerajaan Kebawah DYMM untuk membina sebuah jembatan, yang akan menghubungkan Daerah Temburong dengan Daerah Brunei dan Muara. Ini merupakan satu anugerah hari keputeraan Kebawah DYMM yang amat bermakna kepada seluruh rakyat Brunei, khasnya kepada penduduk  Temburong yang selama ini  amat menagihkan pembangunan supaya dapat bersama-sama menikmati arus kemajuan perdana.

153. Di peringkat parti, NDP telah memperjuangkan isu ini sejak tahun 2007 lagi. Ini dapat disoroti melalui usul-usul dalam Kongres Agung Tahunan yang ke-2 iaitu Usul Menaikkan Taraf Pekan Bangar Kepada Bandar Bangar. Kemudian disusuli pula dengan Usul Pembinaan Jalan Dan Jambatan Menghubungkan Daerah Temburong Dengan Bandar Seri Begawan dan Usul Menaiktaraf Dan Membangunkan Daerah Temburong pada Kongres Agung Tahunan yang ke-3 pada 2008.

154. Seperti yang pernah NDP cadangkan pada tahun 2008 itu, izinkan saya memetik kembali intipati usul yang berkenaan:

155.                 Pertama - Menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengambil pendekatan strategi pembangunan menyeluruh dalam memajukan daerah Temburong supaya tidak ada lagi kawasan yang terus tercicir dari arus pembangunan

156.                 Kedua - Mencadangkan penubuhan Lembaga Kemajuan Daerah Temburong atau Development Authority of Temburong singkatannya DART, yang akan bertanggungjawab merangka Pelan Induk Pembangunan Temburong 2035

157.                 Ketiga -  Merangka strategi kependudukan untuk memastikan Daerah Temburong mempunyai penduduk seramai sekurang-kurangnya 100,000 orang menjelang 2035

158.                 Keempat - Mencadangkan supaya Kerajaan Kebawah DYMM membina sebuah Istana Hinggap bagi melambangkan kehadiran Kebawah DYMM Sultan di daerah Temburong yang akan menambah rasa kecintaan dan jatidiri rakyat dan penduduk di daerah ini terhadap Baginda, dan bahawa kewujudan Istana ini seharusnya dijadikan pemacu kepada pembangunan yang pesat (fast track development)

159.                 Kelima - Menyegerakan penyediaan konsep dan Pelan Induk Pembangunan Temburong 2035 yang memberi ruang kepada semua pihak untuk memberi input dan pandangan ke arah penghasilan sebuah pelan pembangunan yang komprehensif dan mapan.

160. Seterusnya, sebagai mercu tanda yang menjamin kepada kemapanan pembangunan di Temburong, NDP dengan penuh takzim dan rendah hati mencadangkan kepada KDYMM supaya mempertimbangkan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Temburong dan menjadikan Bangar sebagai Kota Kampus.


PERUMAHAN RAKYAT

Saudara saudari sekalian,
161. Menyediakan kemudahan perumahan kepada rakyat adalah menjadi tanggungjawab setiap kerajaan. Perumahan adalah salah satu keperluan asasi bagi setiap rakyat. Lebih-lebih lagi sebagai sebuah kerajaan Islam, tuntutan ini adalah satu amanah yang wajib ditunaikan kepada setiap yang berhak.

162. NDP bersyukur dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis  Kebawah DYMM dan berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana kepekaan terhadap permintaan perumahan yang  menjadi isu dan kegelisahan sebahagian rakyat. Bagi tujuan penjimatan kos dan tanah, skim-skim baru perumahan telah memperkenalkan rumah jenis rumah berkembar dan “teres”.

163. Persoalan disini ialah size dan laman rumah yang terlalu kecil yang merimaskan sebuah  keluarga besar yang mendiaminya. Pembangunan taman-taman perumahan juga  tidak menyediakan kemudahan-kemudahan perlu seperti surau yang lengkap dengan bilik jenazah dan perpustakaan, taman permainan kanak-kanak, padang bola dan gerai-gerai untuk jualan runcit dan pasar segar.

164. Dalam hal ini, NDP sukacita mencadangkan agar apa jua jenis rumah yang dibina hendaklah mengambil kira ciri-ciri keperluan rumah sebuah keluarga Islam, iaitu dengan menyediakan sekurang-kurangnya empat buah bilik tidor yang selesa dan munasabah ketinggiannya bagi menempatkan katil jenis bertingkat.  Keperluan bilik-bilik tersebut ialah sebuah bilik utama untuk  ibu bapa, bilik anak lelaki, bilik anak perempuan dan bilik tetamu/pembantu rumah disamping sebuah bilik stor.

165. Sementara itu, pihak berkenaan disaran turut menyediakan rumah-rumah yang lebih besar mempunyai lima dan enam bilik tidur bagi menampung keperluan keluarga besar atau bagi memberikan peluang kepada pemilik rumah kecil yang berkemampuan untuk berpindah kerumah yang lebih besar. Semantara itu, pihak berkenaan juga disaran agar menimbang pemberian rumah kepada  pemohon biarlah pada lokasi yang hamper ditempat kerja mereka bagi menjimatkan kos perjalanan dan masa.

166. Sehubungan dengan itu NDP berseru agar  mereka yang mampu untuk membayar harga rumah yang dibeli, maka wajiblah keatas pembeli itu membayar hingga langsai. Akan tetapi dalam keadaan pemohon rumah adalah dari kalangan miskin dan dhaif, maka wajib pula keatas kerajaan memberikan rumah percuma kepada mereka. Ini bertepatan dengan konsep keadilan dalam Islam, iaitu memberikan hak kepada yang berhak.

Saudara saudari sekalian,
167. Kita amat menjunjung kasih  Kehadapan Majlis Kebawah DYMM yang telah menitahkan pelaksanaan Skim Tabungan Perumahan dan Skim Pinjaman Kewangan Perumahan. NDP amat berharap dengan wujudnya kedua-dua skim ini seluruh lapisan rakyat sama ada yang berpendapatan rendah atau sebaliknya akan berpeluang memiliki rumah sendiri.

168. NDP sememangnya mengalu-alukan dan menyokong penuh apa jua inisiatif baru yang diperkenalkan demi kebajikan rakyat. Namun dalam keterujaan ini, NDP masih pesimis dengan budaya kerja dan pola sistem penyampaian yang selama ini menunjangi agensi perumahan rakyat.

169. Menteri Pembangunan di dalam sidang MMN ke 9 baru-baru ini, menyatakan tempoh menunggu permohonan perumahan telah diunjurkan berkurangan dari 19 tahun kepada 16 tahun, dan seterusnya akan disingkatkan lagi sehingga 15 tahun sahaja. Pencapaian sebegini mungkin dianggap sebagai satu kejayaan yang memberangsangkan bagi agensi berkenaan. Tetapi bagi seluruh lapisan rakyat terutamanya golongan yang masih ternanti-nanti memiliki rumah sendiri, pastinya mereka tidak berkongsi sentimen yang sama.

Saudara saudari sekalian,
170. Pada pandangan NDP, walaupun usaha-usaha yang dibuat telah menampakkan sedikit penambahbaikan, tetapi usaha-usaha tersebut hendaklah dilaksanakan secara berterusan. Agensi pelaksana hendaklah menjurus kerangka pemikiran mereka ke arah mensasar penambahbaikan yang dijadikan sebagai ‘moving target’. Ini bermakna bahawa kita tidak sewajarnya berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. Usaha untuk meningkatkan pencapaian adalah ‘a journey without destination’, suatu perjalanan tanpa henti dan penghujung.

171. Kita tentunya berbangga dengan pencapaian di beberapa tempat yang berjaya memenuhi permohonan perumahan dalam tempoh 5 tahun sahaja. Andai kata tempoh yang memberangsangkan ini dapat dilestarikan ke seluruh negara, tentunya ini merupakan khabar gembira kepada rakyat. Perkembangan pengetahuan, pengalaman dan teknologi seharusnya menyumbang kepada pencapaian tempoh menunggu yang lebih singkat dan seterusnya memecahkan tembok budaya kerja lama yang tidak mesra rakyat.

NDP MENJELANG 2015

Saudara saudari sekelian,
172. Kini genap setahun saf pimpinan hari ini mengambil alih tugasan meneraju NDP hingga 2015. Strategi parti antaranya ialah berusaha melakukan engagement dengan pihak-pihak berkenaan. Sepanjang tempoh setahun pertama selepas Kongres Agung Tahunan  ke- 7 hingga kini, JASA telah menulis 39 surat ditujukan kepada Menteri. 11 Surat kepada ketua jabatan. Dari jumlah tersebut hanya 6 Dijawab oleh Pejabat Menteri dan 6 dijawab oleh ketua jabatan.

173. Hal ini amatlah mendukacitakan NDP yang seharusnya mendapat respon dari mereka sekurang-kurangnya memaklumkan surat sudah diterima. Kita tidak faham kenapa Kementerian-Kementerian, Jabatan Kerajaan hatta Jabatan Perdana Menteri sendiri seolah-olah tidak mempunyai Piagam Pelanggan yang meletakkan komitmen untuk respon kepada surat menyurat rakyat dalam tempoh yang singkat.

Saudara saudari sekalian,
174. Mendatang ini pula, diperingkat pusat, parti sedang mengumpul maklumat mengenai lima isu yang menyangkut masa depan rakyat dan Negara. Adalah diharapkan, apabila terkumpulnya maklumat dan data yang diperlukan, Insyaallah, kita akan merakamkannya dalam bentuk kertas konsep untuk dihadapkan  kepada Kerajaan Kebawah DYMM sebelum berakhirnya tempoh tugasan saf pimpinan 2015. 

175. Lima isu yang dimaksudkan menyangkut pendidikan, pelaburan rakyat, pembangunan PKS/IKS, kelangsungan  MIB dan memperkasa Perlembagaan Negara sesuai Syariat.

176. Lain-lain aktiviti yang akan diungkayahkan oleh NDP Pusat melalui JASA ialah majlis-majlis keraiyan dalam kalender Islam, Sambutan Hari Kebangsaan. Sambutan  Puja Usia Kebawah DYMM dan Junjung Ziarah sempena Hari Raya Edul Fitri.

177. Selainnya, adalah terpulang kepada Badan-Badan Perhubungan dan  Biro-Biro untuk menggerakkan kegiatan masing-masing. Jika ingin dilihat aktif maka ungkayahkanlah apa-apa jua kegiatan yang bersesuaian melalui konsep merakyatkan NDP.    

178. Disamping itu, Saya menggesa Badan-Badan Perhubungan dan Ranting-Ranting supaya menganjurkan program Usrah Bulanan dan pengajian di Markas Perhubungan Masing-masing atau di rumah-rumah ahli.

PENUTUP

Saudara saudari sekalian,
179. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sukacita saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada saudara-saudari sekelian agar sentiasa membetulkan niat kita masuk NDP ini semata-mata untuk mendukung sebuah visi yang murni iaitu  Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Melayu, Islam. Beraja, yang aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah SWT kerana Allah jua.

180. Kearah niat itu perjuangan NDP tidak berhajat kepada niat-niat sampingan terutama sekali untuk meraih apa-apa jua peluang untuk kepentingan diri dan dunawi. Dengan niat yang setulusnya, bersama-samalah kita berbai’ah untuk meneruskan perjuangan NDP ini kerana Allah SWT jua.

Saudara-Saudari Sekalian,
181. Mengakhiri ucapan ini, saya mengambil  kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada TYT Timbalan Presiden Kanda Hj Juned Hj Ramli yang banyak memikul tugasan Presiden, kepada yang berusaha Panitia Kongres Ke-8 Parti Pembangunan Bangsa yang dipimpin oleh Saudara Hj. Yunos Hj. Momin dan Seluruh warga Jabatan Setiausaha Agung (JASA) dibawah pentadbiran Saudara Hj. Jefry Hj. Mohd Daud dan Penolong Setiausaha Agung Pg Nuurul Azadah Pg. Hj Abu Bakar yang berkerja keras  kerana berjaya mengendalikan Kongres ini dengan tertib dan lancar.

182. Sukacita juga saya bagi pihak Dewan Harian dan Majlis Tertinggi parti merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ranting Bebuloh dan Ketua Hal Ehwal Non Muslim Ayahanda Mantar Perayam kerana   sudi menjadi penaja utama penggunaan Dewan ini selama dua hari kita berkongres dan jamuan perasmian Kongres Agung Tahunan Ke-8 ini.

Saudara Saudari Sekalian,
183. Saya selaku Presiden dan mewakili seluruh anggota Dewan Harian dan Majlis Tertinggi parti mohon kemaafan kepada seluruh warga NDP diatas apa jua ke khilafan dan kekurangan kami selama setahun lalu kami memimpin NDP. Segala kelemahan dan kekurangan itu adalah dari kami  jua dan yang baik dan benar itu dari Allah SWT jua.

184. Akhir sekali dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim saya merasmikan Kongres Agung Ke-8 Parti Pembangunan Bangsa(NDP) pada pagi ini. Dan demi keberkatan Allah SWT, marilah kita bersama-sama membaca surah al-Asr’,


dan tasbih kaffarah,
  


Selamat bersidang.
ALLAHUAKBAR !  ALLAHUAKBAR !  ALLAHUAKBAR !

Gambar-gambar di sekitar kongres