Posting mengikut label

Sunday, June 30, 2013

Ucapan Alu-aluan Pengerusi Panitia Kongres Agung Tahunan NDP Ke-8 Tahun 2013




Bismillahir Rahmaanir Rahim..
Alhamdulillahi Rabbil Alamin, wassolaatu wasalaamu ala saidina wanabiyina Muhammad Asyrafil Mursalin wa alaa alihi wasahbihi ajmaain
Rabbishrahli sadri wa yassirli amri wahlul 'uqdatan millisani yafqahu qauli

Asalaamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Yang Dihormati, Pengerusi Tetap, Saudara Haji Abdul Rahman bin Mohd Yusof, Tuan Yang Terutama, Presiden, Saudara Mahmud Morsidi Awang Othman, Tuan Yang Terutama Timbalan Presiden, Saudara Juned Haji Ramli, Yang Mulia Naib-naib Presiden, Yang Mulia Setiausaha Agong, Yang Berusaha Ahli-ahli Lembaga Penasihat, Yang Mulia Majlis Tertinggi, Yang Mulia Para Jemputan, Yang Mulia Para Perwakilan Kongres dan Yang Mulia Saudara-Saudari yang dihormati sekalian. 

Terlebih dahulu saya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana rahmat-Nya kita dapat bersama di majlis yang penuh bermakna ini bukan sahaja kerana NDPnmalah kepada negara yang sama-sama kita cintai ini. Ya Allah, segala puji hanya untuk-Mu Tuhan Semesta Alam dan kepada-Nya kita minta pertolongan dan perlindungan.

Selawat serta salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang telah menjadi utusan Allah untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan serta rahmat bagi umat manusia didunia ini, para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Hari ini, sekali lagi kita melangkah ke hadapan menunaikan tanggungjawab berparti dengan mengadakan Kongres Agung Tahunan Ke-8 sebagaimana tuntunan perlembagaan. Bezanya kongres hari ini jauh dari keriuhan dan kesesakan bandar. Hiruk pikuk dan kebisingan manusia dalam menjalankan tugas harian mereka.

Kita berhijrah ke pedalaman, menyusur jalan yang berliku dan sempit, melintasi sawah dan ladang padi di Wasan dan sekitarnya yang suatu masa dahulu pernah kering dan terbiar dengan dihiasi lalang dan pokok-pokok renek yang subur, seolah-olah padi yang sedang subur dari jauh.

Kampong Bebuluh antara kampong-kampong yang kita pilih untuk mengadakan kongres ini mempunyai nilai tersendiri terutama dari sudut politik kerana disebelahnya ialah Kampong Paya Karangan yang ramai didiami oleh warga Negara Brunei Darussalam; namun dari sudut geografi kawasan itu semacam bukan milik kita. Sehingga kini rakyat tidak tahu status tuntutan dan hasil rundingan antara kedua Negara sahabat Malaysia dan Brunei.

Mengimbas kembali, tujuh tahun yang lalu kita telah mengadakan Kongres Agung Tahunan di Pusat Bandar dan dikawasan Bandar Seri Begawan, tetapi hari ini dan esok insyaAllah, kita berpeluang dan memilih Dewan Serbaguna Kampong Bebuloh menjadi lokasi kita untuk berkongres. Kita berpindah kesini bukan kerana lemah semangat, pun bukan kerana kalah dengan asakan sesiapa, tetapi kita memilih kerana ingin bersama masyarakat daripada akar umbi, mempamerkan dan mendekati diri agar mereka mengenali dan memahami bahawa kita sentiasa mahu dan akan mendampingi mereka dalam susah dan senang. Memertabatkan perjuangan kita yang tidak mengenal batas kaum dan puak serta fahaman.

 Dalam hubungan ini, saya bersama semua ahli Panitia Kongres Agung Tahunan Ke-8 Tahun 2013 Parti Pembangunan Bangsa, terlebih dahulu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Ketua Ranting dan ahli-ahli Ranting Bebuloh, terutama kepada Saudara Mantar Perayam kerana usaha gigih serta kesepakatan mereka sehingga kongres ini dapat diadakan di dewan ini.

Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Ketua Kampong Bebuloh, atas kepercayaan dan kerjasama beliau memberikan kebenaran menggunakan dewan ini sebagaimana yang kita hadiri sekarang.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak semua perwakilan dan ahli parti untuk melhat kehadapan dan masa depan bangsa, negara dan agama yang kita rasakan terancam dengan keadaan yang bersangkutpaut dengan sosio-ekonomi dan politik Melayu.

Saya percaya dan penuh yakin bahawa abiskita semua sudah bersedia dengan hujah dan cadangan yang bijaksana dalam menghadirkan diri di kongres ini, untuk mencari resolusi yang akan kita persembahkan kepada bangsa dan negara, agama serta raja.

Dalam NDP, kita tidak meletakkan agama puak atau suku, politik puak atau suku. Kita juga tidak mahu membesarkan Melayu dalam semangat kebangsaan yang sempit. Kita mesti mempunyai budaya yang sesuai dengan zaman, yang sanggup menghadapi segala cabaran, yang dapat bersaing tanpa bantuan, berilmu pengetahuan, jujur dan amanah. Dalam konteks Melayu Brunei, kita kembali kepada nilai-nilai dan ajaran agama Islam, yang bertaqwa dan beramal soleh sebagai pembentukan ummah.

Negara Islam (Negara Zikir) atau MIB adalah mengamalkan kebebasan dan hak itu dijamin kepada rakyatnya. Diantara kebebasan yang dijamin oleh islam ialah:
1. Kebebasan aqidah
2. Kebebasan individu
3. Kebebasan bersuara, bepersatuan dan berpolitik
4. Kebebasan hak milik
5. Kebebasan beragama
6. Kebebasan mencari rezeki

Saudara-saudari yang dirahmati Allah, Sayidina Umar al-Khattab  pernah berkata, "Mengapa diperhambakan manusia sedangkan mereka dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan merdeka." Dari itu saudara, hatta saudara orang Bisaya, Murut, Dusun, Iban, Melayu, adalah berhak bersuara kepada negara kerana saudara-saudara semualah terwujudnya satu negara. Dalam satu negara ada sistem dan undang-undang tetapi harus di ingat, tanpa saudara-saudara, tidak akan ada undang-undang dan sistem, apalagi sebuah negara. Jadi siapa kita? Kita adalah stakeholder yang mempunyai saham dalam menentukan sistem dan undang-undang dalam bernegara.

Kalau anda tahu saudara-saudara adalah stakeholder, wajarkah kita meminta hak kita... Umpama isu kemiskinan yang terjadi di Negara Brunei Darussalam yang kita daulatkan bersama. Isu kemiskinan telah diangkat beberapa kali dan di sokong sebulat suara. Bersangkutan isu kemiskinan ini, NDP merasa cemas dan ia boleh mengugat kestabilan dan keselamatan negara, ditambah lagi dengan isu pengangguran yang tinggi sudah semestinya menjejaskan wawasan Brunei 2035. Lebih kurang 20 ribu yang terdaftar dalam asnaf fakir dan miskin.

Menjunjung dan menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam ke tahap sifar kemiskinan, "Apa kiranya royalti minyak dapat diagih-agihkan kepada rakyat yang mana dapat menyaksikan secara tuntas isu kemiskinan."

Disinilah letak saudara-saudara sebagai stakeholder memainkan peranan untuk menuntuk hak masing-masing. Maka dengan itu, lahirlah Negara Baldatun Taibatun Warabbun Ghafur, negara kebajikan.

1. Negara Islam mesti mengambil berat akan kebajikan rakyat.
2. Pemimpin akan bersedia mendengar segala masalah rakyat.
3. Pemimpin adalah khadam kepada rakyat.
4. Pemimpin bukan sahaja dipersoalkan oleh rakyat dan institusi hisbah tetapi juga akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari kiamat.

Didalam firman Allah didalam Surah Yunus ayat ke 99 yang bermaksud,
"Dan kalau dikehendaki oleh Tuhanmu, tentulah telah pun beriman manusia dimuka bumi semuanya. Oleh itu, patutkah engkau cuba memaksa manusia supaya mereka beriman belaka?"

Terakam juga didalam Surah Al-Maun,
"Tahukah engkau orang yang mendustakan ugama? Iaitu orang-orang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim. Dan tidak ada menggalakkan untuk memberi makanan kepada orang miskin, maka kecelakaan pula keatas orang-orang yang bersembahyang, yang lalai daripada sembahyang mereka, yang riya dan memberi pertolongan (kepada orang-orang yang berhak mendapatkannya.)

Dalam surah al-Baqarah, ayat 273 yang bermaksud,
"Bagi orang fakir yang dikehendaki berkhidmat pada jalan Allah sekira-kira tidak dapat mereka berusaha dimuka bumi yang mana disangkakan oleh orang yang tidak tahu - disangkakannya orang-orang itu kaya-raya sebab mereka tidak meminta, yang dapat kamu mengenalinya dengan tanda-tanda mereka, yang tidak mengulang-ulangkan permintaan kepada orang lain. Dan apa saja kebajikan yang kamu belanjakan maka sesungguhnya Allah itu adalah Maha Mengetahui."

Rasulullah SAW bersabda,
"Tidak beriman dengan ajaranku sesiapa yang lena nyenyak sedang jirannya kelaparan di sebelah rumahnya padahal ia mengetahui penderitaan jirannya."

Islam ialah syariat perikemanusiaan. Oleh itu, segala jaminan sosial adalah menjadi kewajiban bukan sekedar kebajikan dan derma sukahati sahaja. Ibu-ibu dan anak-anak serta buruh-buruh yang ditimpa musim penggangguran adalah berhak mendapat perlindungan yang istimewa daripada pemerintah Islam menurut kaedah-kaedah yang tertentu.

Hadirin hadirat yang berbahagia, akhirnya saya menyatakan bahawa kongres ini tidak akan dapat dijayakan dengan sebaiknya tanpa bantuan Setiausaha Agung dan warga Jasa yang bertungkus lumus, tanpa mengira waktu serta penat lelah dalam menyediakan keperluan kongres. Kepada semua ahli Panitia Kongres, saya juga tidak lupa mengucapkan syabas dan terima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan dan bantuan yang sentiasa diberikan sejak awal sehingga saat ini dan seterusnya. Kepada para penyumbang dalam apa jua bentuk yang mereka berikan...
Terima kasih daun keladi,
Mudahan biskita semua dimurahkan rezeki
Jika ada kesempatan nanti,
Kongres akan datang jangan lupa lagi.

Saya berdoa semoga apa jua sumbangan dan kerjasama yang dberikan akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT jua, kerana Dialah sebaik-baik Pemberi Balasan.

Sekian, wabillahitaufiqwalhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments: