Posting mengikut label

Tuesday, October 6, 2015

Kenyataan Presiden NDP mengenai Pindaan Akta Rasuah


Kenyataan Media Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
Mengenai Pindaan Akta Rasuah (Pindaan 2015)


1. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan Perintah Akta Pencegahan Rasuah (Pindaan) 2015 yang berkuatkuasa pada 8 Zulhijjah 1436H bersamaan 22 September 2015M.

2. Tujuan utama pindaan ini adalah untuk menangani kebimbangan Kebawah DYMM melalui titah Baginda semasa lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Gadong pada 31 Mac 2015 berkenaan dengan ‘rasuah dalam bentuk penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi’.

3. NDP turut membangkitkan isu ini di dalam Ucapan Dasar Presiden NDP semasa Kongres Agung Tahunan pada 31 Ogos 2015 baru-baru ini, sebagai tanda sokongan ke atas titah Baginda itu.

4. Pindaan ini membenarkan bagi tindakan undang-undang diambil terhadap pegawai-pegawai atau kakitangan kerajaan yang tidak menjalankan fungsi mereka pada aras taraf etika yang tinggi, dan jika kegagalan mereka disabitkan sebagai salah laku dalam perkhidmatan awam.

5. NDP menyambut baik keprihatinan dan kerjasama kedua pihak, Biro Mencegah Rasuah dan Pejabat Peguam Negara dalam usaha mengatasi unsur rasuah dalam perkhidmatan awam. Tindakan proaktif pihak berkenaan yang pantas, tegas, tepat dan menyeluruh, serta menepati aspirasi rakyat itu harus diberi pujian dan dicontohi agensi-agensi lain.

6. Dengan setulusnya NDP mengalungkan ucapan tahniah kepada Biro Pencegah Rasuah dan Pejabat Peguam Negara di atas usaha tersebut.

7. Tempoh hampir enam bulan yang diambil untuk menggubal dan meminda akta rasuah yang berkenaan adalah suatu tempoh yang wajar. Dalam hubungan ini, NDP mencadangkan supaya mana-mana agensi yang dalam proses melaksanakan sesuatu langkah, lebih-lebih lagi yang menyangkut isu yang dititahkan oleh Kebawah DYMM, supaya membuat pemakluman kepada awam dari masa ke semasa.

8. Melalui pendekatan ini: (1) rakyat akan sentiasa memperolehi maklumat terkini mengenai tindakan susulan yang sedang diambil; (2) rakyat benar-benar merasakan bahawa apa jua yang dititahkan oleh Kebawah DYMM atau yang diharapkan oleh mereka mendapat perhatian pihak berkenaan; (3) agensi yang bertanggungjawab akan lebih prihatin dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya demi kepentingan rakyat; dan (4) rakyat sentiasa mendapat maklumat yang sahih dari kerajaan dan dengan ini mereka terhindar dari bergantung kepada berita yang tidak tepat yang boleh menjejaskan imej dan kewibawaaan pihak berkuasa.

9. Rakyat yang bermaklumat dengan sendirinya akan merangsang percambahan pemikiran dan pandangan yang kritis. Dan ini boleh menjadi sumber alternatif kepada pihak berkenaan dalam penggubalan sesuatu dasar dan peraturan. Stakeholders yang demikian akan menjamin keberkesanan sebarang perlaksanaan dasar dan peraturan justeru akses kepada maklumat dan kebebasan rakyat untuk bersuara hendaklah dijamin sebaiknya.

10. NDP amat teruja dan menjunjung kasih di atas titah perintah Kebawah DYMM tersebut kerana, pewartaan dan penguatkuasaan undang-undang ini adalah memenuhi sebahagian daripada saranan di dalam Manifesto NDP 2006-2016 sejak sembilan tahun lalu. Antara mekanisme untuk membendung gejala rasuah yang dicadangkan NDP di dalam Manifesto tersebut, ialah supaya pihak berkenaan:

- menstruktur semula badan hisbah dan pemantauan yang bertanggungjawab terus Kehadapan Majlis Kebawah DYMM sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Perdana Menteri, supaya lebih efisien dan efektif, sebagai kaedah membantu Kerajaan Baginda di dalam amalan urus tadbir yang baik dan telus, membendung gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa;

- mempertingkatkan dan memperkembangkan pengurusan pembangunan ekonomi negara untuk memastikan tiada berleluasanya amalan negatif seperti penipuan, monopoli, rasuah, kronisme dan nepotisme kerana amalan-amalan ini jika tidak dibendung secara berkesan, boleh menghancurkan negara justeru amalan-amalan tersebut bertentangan sama sekali dengan kehendak Syariat Islam;

- mewujudkan suasana yang kondusif kepada pelabur seperti undang-undang dan peraturan yang menarik pelabur, jaminan keselamatan modal, peluang perniagaan yang terbuka, pendemokrasian dalam ekonomi, dasar cukai yang menarik, bebas rasuah, anti-monopoli dan kronisme sifar;

11. Selain itu, NDP juga telah mencadangkan beberapa langkah kehadapan berkaitan dengan isu perundangan, integriti dan tahap penyampaian di sektor awam dan GLC di dalam Manifesto NDP 2006-2016 tersebut. Antara lain NDP mencadangkan supaya pihak kerajaan:

- menubuhkan Jawatankuasa Tetap (Kehakiman dan Undang-undang) di dalam Majlis Mesyuarat Negara yang bertindak memantau sistem kehakiman dan keadilan di Negara Brunei Darussalam, serta memantau penerapan kesaksamaan di dalam keadilan dan kesaksamaan di bawah undang-undang, dan pengukuhan serta pelaksanaan peraturan undang-undang (rule of law) dengan penuh ketelusan yang berteraskan sistem keadilan Islam.

- memastikan yang Perkhidmatan Awam bertindak sebagai sebuah institusi yang dianggotai oleh para pegawai dan kakitangan Kerajaan Kebawah DYMM yang berkecuali, bersih, cekap, amanah, memiliki integriti dan hemah yang tinggi, mengutamakan meritokrasi dan tidak melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan Syariat Islam dan undang-undang negara;

- mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan awam melalui inovasi dan latihan bagi mewujudkan sistem penyampaian (delivery system) yang benar-benar cekap demi pembangunan;

- menubuhkan Tribunal Perkhidmatan Awam yang mempunyai kuasa melampaui mana-mana kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang sedia ada bagi mengadili kes-kes pelanggaran tatatertib yang dilakukan oleh kakitangan Perkhidmatan Awam seperti membelakangkan tugas-tugas awam, tidak bertanggungjawab, cuai, mencemarkan nama baik Perkhidmatan Awam, tidak jujur, kurang cekap, ingkar perintah dan seumpamannya. Hukuman yang sewajarnya hendaklah dikenakan terhadap mereka yang didapati sabit melakukan kesalahan, mengikut Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang berkuatkuasa. Sementara itu bagi kes-kes yang menyebabkan kerugian dalam bentuk kewangan (monetary loss) kepada pengadu awam, maka Tribunal ini bolehlah menentukan kuantum ganti rugi yang munasabah yang perlu dibayar oleh Kerajaan Kebawah DYMM dan atau pihak yang sabit menyebabkan kerugian kepada mana-mana pihak yang sabit aduan kerugiannya dalam kes-kes yang diputuskan oleh Tribunal tersebut;

12. Adalah menjadi harapan NDP supaya akta yang dipinda ini menepati tuntutan Islam secara umumnya dan selari dengan Kanun Jenayah Syariah secara khususnya. Kita berharap agar usaha ini menjadi instrument terpenting dalam usaha untuk membendung jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Bersama kita menjunjung titah menuju Brunei Korupsi Sifar.

13. Rakyat seluruhnya hendaklah diberi kesedaran bahawa, segala bentuk rasuah adalah ditegah dengan jelas oleh Islam, antaranya menerusi dalil-dalil berikut:

- Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)

- Rasulullah saw telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Hadith riwayat Imam at-Tirmizi)

14. Disebabkan oleh persepsi dan tanggapan yang salah, amalan rasuah mungkin sahaja dianggap sebagai sesuatu perkara yang biasa dan tidak menghairankan. Malah, sebahagian menerimanya sebagai ‘just a cost of doing business.’ Pendapat sedemikian selain bertentangan dengan syariat, juga amat merbahaya kepada kerajaan dan negara secara amnya.

15. Walau bagaimanapun dalam konteks yang lain, terdapat pandangan bahawa masalah rasuah juga ada korelasinya dengan isu ketidakcukupan pendapatan dan gaji. Dalam usaha membanteras gejala rasuah, kerajaan hendaklah juga mengambil kira isu ketidakseimbangan pendapatan berbanding kos sara hidup yang semakin meningkat. Oleh itu NDP merayu agar pihak berkenaan mengambil perhatian terhadap masalah ketidakseimbangan ini.

16. Sebagai langkah awal pencegahan, pihak berkuasa dipohon agar memastikan mereka yang terlibat dalam bahagian penguatkuasaan, terutamanya yang berpendapatan rendah, mendapat gaji dan imbuhan yang berpatutan.

17. Dalam masa yang sama NDP berpandangan agar penjawat di sektor awam di setiap peringkat hendaklah secara berterusan diberikan kursus kesedaran yang memberi penekanan sewajarnya terhadap soal integriti, amanah, tanggungjawab, kecekapan dan prestasi, di samping konsep halal-haram.

18. Untuk membentuk persepsi masyarakat bahawa rasuah itu sebagai jenayah besar, maka ianya perlu ditangani bukan sahaja dengan sistem perundangan, tetapi secara lebih komprehensif, menerusi tarbiyyah dan pendidikan sejak peringkat sekolah lagi.

19. Seperti yang dihasratkan oleh Kebawah DYMM melalui objektif pindaan tersebut, NDP turut menggesa setiap agensi kerajaan supaya benar-benar berpegang kepada taraf etika yang tinggi. Bagi NDP, taraf etika yang tinggi ini seharusnya juga merangkumi elemen prestasi dan kecekapan sistem penyampaian dan bukan hanya terhad kepada persoalan rasuah sahaja. Ini amat relevan kerana didapati sebahagian besar agensi menunjukkan prestasi dan tahap penyampaian yang rendah. Akibat daripada kelemahan tersebut, rakyat ternafi hak mereka untuk mendapat faedah kemakmuran negara yang sepatutnya mereka nikmati.

20. Dengan segala rendah hati, dalam konteks yang lebih jauh, NDP melihat isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang diketengahkan oleh Kebawah DYMM ini serta isu-isu besar yang lainnya adalah saling berkait dengan survivabiliti Negara Bangsa. Ke arah penyelesaiannya, NDP berpandangan, rakyat selaku stakeholder terbesar di negara ini, perlu diberikan ruang seluas-luasnya untuk berpartisipasi di dalam proses pembuatan keputusan di peringkat negara dan perlaksanaannya. Justeru kerajaan sewajarnya memperkukuhkan integriti dan legitimasi Majlis Mesyuarat Negara dengan menaikkan tarafnya kepada sebuah institusi parlimen yang representatif dan diwakili oleh ahli-ahli yang dipilih oleh rakyat. Wallahu a’lam.


Mahmud Morshidi Othman
Presiden
Markas Pusat, Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
Limbaruh Hijau, Jerudong
Brunei Darussalam.
Tarikh: 6 Oktober 2015/23 Zulhijjah 1436




No comments: