Posting mengikut label

Wednesday, October 28, 2015

Kenyataan Media Presiden NDP Mengenai Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Pelantikan Baru


Kenyataan Media Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
Mengenai Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat
Menteri-Menteri Kabinet dan Pelantikan Baru



1. Dengan segala kesyukuran, NDP amat mengalu-alukan titah rombakan keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet serta pelantikan jemaah menteri yang baru oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada hari Khamis 9 Muharram 1437/22 Oktober 2015.

2. Sehubungan itu, NDP merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan jemaah menteri dan timbalan menteri di dalam kabinet yang diumumkan oleh Kebawah DYMM tersebut.

3. NDP juga merakamkan penghargaan kepada mantan-mantan jemaah menteri yang telah tamat tempoh perkhidmatan mereka. Semoga segala khidmat yang mereka curahkan selama itu diganjari Allah SWT dengan pahala kebajikan yang setimpal jua.

4. Dalam titah pelantikan kabinet baru tersebut, Kebawah DYMM telah menekankan peri pentingnya untuk mengekalkan nikmat keamanan, perpaduan dan kemakmuran.

5. Menurut baginda kelangsungan nikmat keamanan, perpaduan dan kemakmuran hanya akan tercapai dan kekal melalui kesyukuran kepada Allah SWT. Sementara syukur itu sendiri hendaklah dizahirkan menerusi keadilan yang ditumpahkan kepada rakyat.

6. Kebawah DYMM turut menekankan bahawa keadilan itu mestilah berdasarkan neraca ugama, undang-undang dan etika, serta benar-benar demi kepentingan rakyat. Justeru para jemaah menteri hendaklah mempastikan segala tindakan mereka bermatlamatkan keadilan untuk rakyat. Sementara itu rakyat sahajalah selaku penerima, yang berhak mengukur sama ada keadilan untuk mereka itu ditunaikan atau tidak.

7. Berdasarkan matlamat keadilan tersebut, segala anasir dan amalan keji seperti rasuah, salah guna kuasa, kronisme, nepotisme, penafian akan apa jua hak rakyat dan membelakangkan kepentingan rakyat adalah satu kezaliman justeru hendaklah dihindarkan.

8. Pada pengamatan NDP, pelantikan barisan kabinet baru ini mencerminkan betapa Kebawah DYMM amat fokus terhadap misi memelihara Institusi Kesultanan Melayu Islam Beraja Brunei, menanai keamanan dan keselamatan negara.

9. Selain selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Ketua Polis Negara, baginda turut memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Menteri Hal-Ehwal Luar Negeri Dan Perdagangan.

10. Manakala Duli YTM Pengiran Muda Mahkota selaku General Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Timbalan Ketua Polis Negara, turut memegang jawatan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

11. Selain itu, pelantikan beberapa orang menteri dan timbalan menteri yang berlatarbelakangkan ketenteraan, keselamatan dan risikan menzahirkan betapa komposisi kabinet baru tersebut benar-benar berorientasikan kepada keamanan dan keselamatan.

12. Namun demikian, NDP berharap, dalam keghairahan mengutamakan agenda keamanan dan keselamatan, para menteri yang betanggungjawab janganlah terlalu taksub dan ‘ghuluw’ (melampau) dalam membawa misi mereka sehingga membelakangkan lunas-lunas keadilan yang sebenar. Kita sama sekali tidak wajar berpegang dengan falsafah ‘matlamat menghalalkan cara’ sehingga alpa dengan hasrat Kebawah DYMM untuk menegakkan dan menumpahkan keadilan kepada rakyat.

13. Pada pandangan NDP, misi menanai keamanan dan keselamatan negara hanya akan tercapai sepenuhnya dengan kerjasama dan penyertaan seluruh rakyat. Justeru tepat sekali titah baginda supaya para jemaah menteri yang baru, mempunyai kualiti kepimpinan terpenting iaitu adil dan ehsan. Hanya dengan sifat adil dan ehsan barulah dapat menambat hati dan kesetiaan rakyat yang sejati.

14. Selain itu, para menteri sebagai pelaksana dasar-dasar yang dititahkan oleh Kebawah DYMM hendaklah berpaksikan prinsip dan falsafah urustadbir yang mengutamakan pencapaian prestasi (performance oriented). NDP berharap janganlah budaya dan tradisi yang mengabaikan pencapaian prestasi seperti yang berlaku di beberapa buah kementerian sebelum ini berulang kembali.

15. Kekecewaan rakyat untuk menikmati kemakmuran negara seperti yang berlaku sebelum ini hendaklah dijadikan sempadan. Sebagai anggota kabinet yang baru, NDP berharap para jemaah menteri akan membawa aspirasi dan budaya kerja yang baru demi kesejahteraan negara dan rakyat, sesuai dengan harapan Kebawah DYMM dan rakyat pada amnya.

16. Oleh kerana sistem pemerintahan Negara Brunei tidak mempunyai sebuah parlimen yang representatif maka, jemaah menteri hendaklah memainkan peranan melangkaui tugasan sebagai penggubal atau pelaksana dasar semata-mata. Mereka hendaklah juga mudah didekati rakyat, rajin turun padang dan selanjutnya berperanan sebagai wakil yang membawa suara dan aspirasi rakyat ke dalam kabinet.

17. Rasanya rakyat tidak ingin lagi melihat pembesar-pembesar negara setakat ‘turun beraban-raban’ menunjukkan muka, apabila Kebawah DYMM berangkat mencemar duli untuk bertanya khabar dan mendengar masalah rakyat. Rakyat mahukan jemaah menteri yang bekerja dengan komited dan ikhlas kerana Allah SWT.

18. Dalam pada itu, Kebawah DYMM yang menerajui empat kementerian utama adalah pada tanggapan NDP berstatus sebagai Wazir Tafwidh. Justeru, amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh baginda itu adalah amat besar dan berat untuk digalas secara bersendirian. Menyedari hakikat inilah baginda mengibaratkan para menteri sebagai pendayung dalam sebuah perahu, yang mesti berfungsi sebagai satu pasukan dalam bekerjasama dan saling sokong-meyokong.

19. Lanjutan kepada anologi perahu itu, ‘synchronised team effort’ iaitu keserentakan usaha berpasukan merupakan teras kepada kebertanggungjawaban bersama (collective responsibility). Maknanya, apabila para ‘pendayung’ telah menunaikan hak keadilan rakyat, maka mereka layak diberi pujian. Akan tetapi sebaliknya, jika keadilan rakyat dinafikan, maka para ‘pendayung’ mestilah berlapang dada menerima luahan kekecewaan dan kritikan rakyat.

20. NDP juga berharap supaya kabinet baru ini berusaha menangani isu-isu kritikal yang dihadapi oleh negara seperti kelembapan ekonomi, jurang pendapatan yang luas, kemiskinan, pengangguran, isu PKS dan isu-isu lain yang menghambat kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat. Di samping itu, jemaah menteri juga mesti mempelopori langkah-langkah transformasi minda bagi merubah mindset rakyat yang terlalu mengharapkan bantuan kerajaan kepada lebih berdikari.

21. Di kesempatan ini juga NDP merayu kepada Kebawah DYMM selaku Menteri Hal-Ehwal Luar Negeri agar dapat menilai semula peranan dan justifikasi pembukaan pejabat perwakilan di luar negara. Ini untuk mempastikan kos pengurusan dan perbelanjaan yang optimum, disamping mengelakkan pembaziran. Keutamaan wajar diberikan kepada kemungkinan mewujudkan attache perdagangan di mana perlu.

22. Dengan perubahan kepimpinan di Kementerian Luar, NDP menaruh harapan tinggi agar kementerian tersebut bertindak lebih proaktif dalam memainkan peranan sebagai penyambung suara keadilan sejagat di arena antarbangsa seperti di PBB, NAM, ASEAN, APEC dan sebagainya.

23. Sesungguhnya isu Masjid al-Aqsa yang diceroboh oleh rejim Israel, isu umat Islam Palestin yang dizalimi, isu pelarian dan kebuluran di Asia dan Afrika, nasib malang masyarakat Islam Rohingya di Myanmar, isu hak jaminan keselamatan umat Islam di selatan Thailand, dan isu menentukan nasib masa depan sendiri umat Islam di wilayah-wilayah Selatan Filipina adalah amat dekat di hati NDP serta rakyat Brunei umumnya, dan perlu diberi perhatian khusus oleh pihak berkenaan.

24. NDP turut berharap segala isu-isu tertunggak di antara Brunei dan negara jiran dapat dirungkai dan diselesaikan dengan sebaik-baiknya dengan secepat mungkin.

25. Ke arah melahirkan sebuah pemerintahan dan pentadbiran yang benar-benar menepati konsep negara zikir, maka NDP sekali lagi mengulangi cadangan supaya ditubuhkan sebuah Majlis Syura Ulama yang dianggotai oleh ulama-ulama berwibawa tempatan mahupun luar negara. Majlis tersebut adalah badan bebas yang berfungsi sebagai rujukan tertinggi jemaah menteri, manakala segala keputusannya adalah mengikat.

26. Meskipun tidak ada seorang wanita dilantik dalam kabinet yang baru ini, NDP berharap hak-hak dan kepentingan wanita tetap akan diberi perhatian yang sewajarnya. Pandangan ini adalah dengan mengambil kira fakta bahawa 50 peratus daripada penduduk negara adalah terdiri daripada wanita.

27. NDP percaya bahawa Kebawah DYMM mempunyai hikmah dan justifikasi mengapa baginda tidak melantik seorang wanita pun sebagai menteri dalam barisan kabinet terkini. Harapan kita ialah agar isu-isu kemajuan wanita tidak akan terpinggir dengan keputusan tersebut.

28. NDP berdoa semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan segala kekuatan, taufiq dan hidayah, kesihatan dan hikmah kepada Kebawah DYMM selaku tonggak negara. Di samping itu, doa juga dipanjatkan agar jemaah menteri yang baru akan berusaha sedaya-upaya untuk menjalankan tugas dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab atas kesedaran bahawa semua amanah yang dipikul itu akan dinilai di hadapan mahkamah Allah Rabbul Jalil kelak. Wallahu a’lam.



Mahmud Morshidi Othman
Presiden
Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
Markas Pusat
Limbaruh Hijau, Jalan Jerudong
Brunei Darussalam
15 Muharram 1437/28 Oktober 2015


No comments: