Posting mengikut label

Tuesday, October 27, 2015

Titah Kebawah DYMM sempena Menyambut Awal Tahun Baru Hijrah 1437


Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Awal Tahun Baru Hijrah 1437/2015 Masihi pada Hari Selasa, 29 Zulhijjah 1436/13 Oktober 2015


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita banyak-banyak bersyukur kerana dapat pula menyambut dan memasuki tahun baru hijrah dengan segala keselesaan.

Acara utama kita pada setiap menjelangnya awal hijrah ialah membaca do’a akhir dan awal tahun di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat.

Acara ini sangat unik dan penting, kerana tidak ada yang lebih penting dari marafa’kan do’a ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala. Do’a itu adalah perkara agong, kerana apabila berdo’a, bererti kita adalah sedang berurusan dengan Allah Ta’ala, siapa yang Maha Agong.

Kita memohon di dalam tahun baru ini supaya Allah memeliharakan kita daripada syaitan.

Do’a ini adalah “do’a besar”. Jika Allah menerimanya, bermakna kita dan negara Insya Allah, akan bebas daripada segala macam pesona syaitan, pembantu-pembantu dan askar-askarnya serta bebas daripada asakan-asakan nafsu ammarah (nafsu yang jahat), yang menjerumuskan manusia kepada pelbagai kejahatan dan dosa.

Oleh itu, marilah kita bersungguh-sungguh menghayati do’a awal tahun, dengan niat semata-mata untuk mengharapkan kurnia Allah jua, siapa yang ditangan-Nya terkumpul segala kuasa dan kemurahan. Semoga kita sekalian tidak dihampakan.

Sementara do’a akhir tahun pula, kita ada menyebut perkara-perkara yang telah lalu. Kita munajat kepada Allah, sekiranya terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi tegahan-Nya, yang dilakukan di sepanjang tahun dan kita pula belum lagi bertaubat, maka dengan segala reda diri kitapun memohonkan belas kasihan-Nya supaya menerima taubat dan mengampunkan dosa-dosa kita.

Pada hemat Beta, do’a kita pada setiap tahun itu adalah benar-benar menjadi punca kepada kebajikan bersama. Dengan rahmat-Nya jua, negara ini benar-benar bebas daripada sebarang kemelut. Rakyat hidup bersatu hati, tiada pergaduhan atau pertelingkahan yang membebankan, bahkan semuanya adalah berjalan dengan baik.

Yang kita tahupun, do’a akhir dan awal tahun itu hanyalah rutin biasa saja. Tetapi Beta penuh yakin, bahawa rutin inilah satu kelebihan untuk kita, di mana impaknya adalah sangat hebat, mampu untuk menjadikan negara dan kehidupan sejahtera.

Betapa tidak, isi kedua-dua do’a tersebut, jika Allah memperkenankan-Nya, tidak diragukan lagi, semua kebaikan adalah milik kita. Di dalam do’a akhir tahun kita meminta supaya Allah mengampunkan segala dosa dan menerima taubat kita, sementara dalam do’a awal tahun pula kita memohon agar Allah melindungi kita daripada kejahatan syaitan, pembantu-pembantu dan askar-askarnya serta meminta supaya jangan dipesongkan oleh nafsu yang jahat. Andainya do’a-do’a ini diterima oleh Allah, maka tidakkah ini satu jaminan untuk kita meraih segala kebaikan berupa keselamatan, kebahagiaan, kemakmuran dan lain-lain?

Beta penuh percaya, do’a kita ini telah dimakbulkan oleh Allah. Lalu kerana itu, berlakulah apa yang patut berlaku: Negara jadi aman, rakyat dan penduduk hidup bahagia dibawah pengurusan  dan pemerintahan yang adil saksama, kerana, syaitan dan konco-konconya telah tewas, tidak dapat mencampuri segala urustadbir kehidupan di negara ini. Allahu akbar, Maha Besar Allah yang mengurniakan semua ini.

Tidak syak lagi, do’a adalah survival kita, survival negara. Makanya tradisi mengisi tahun baru hijrah dengan do’a ini adalah wajar diteruskan dan malah dikekalkan.

Akhirnya, mengambil kesempatan di sini, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1437 kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana saja mereka berada, dengan harapan semoga kita semua dapat berjumpa lagi di tahun hadapan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: