Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Hari Perkhidmatan Awam ke-22 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas |
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda SultAn Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Hari Perkhidmatan Awam Bagi kali ke-22, tahun 1437 Hijrah / 2015 Masihi pada hari Selasa 12hb Safar 1437 / 24hb November 2015 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat pula berkumpul dalam Majlis Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-22 pada pagi ini.
Selaku tulang belakang kerajaan, warga perkhidmatan awam berperanan besar untuk memperkemas dan memperlicin urustadbir negara.
Salah satu faktor kearah itu, ialah dengan mengukuhkan kepimpinan. Dalam konteks perkhidmatan awam, kepimpinan adalah sangat penting disamping kemahiran.
Pemimpin yang berkualiti bukan saja mempunyai wawasan dan hala tuju yang jelas, tetapi juga mempunyai kerajinan dan kesungguhan untuk melakukan apa saja pembaikan atau pembaharuan yang perlu. Mereka sanggup turun padang untuk melihat apa-apa yang perlu ditangani dan diperbaiki.
Inilah sifat pemimpin atau pegawai yang bagus.
Kejayaan pemimpin atau pegawai dapat diukur dari cara mereka menangani tugas dan membimbing orang-orang dibawah mereka. Ini sangat penting, bagi memastikan segala rancangan dan matlamat dapat dicapai dengan sempurna.
Dalam aktiviti perekonomian umpamanya, warga perkhidmatan awam sangat perlu memahami keperluan orang ramai, terutama para usahawan dan pelabur. Mereka ini sentiasa berhajatkan layanan dan pimpinan terbaik, sempurna dan cepat. Jika kita gagal, bererti ini adalah kegagalan kerajaan.
Dalam kesempatan ini Beta ingin menyebut tentang Lapuran Bank Dunia keatas peningkatan kedudukan terkini negara dalam Index Ease of Doing Business. Kedudukan negara kita dikatakan meningkat daripada 105 anak tangga kepada 84 anak tangga. Ini tidak syak lagi adalah satu pencapaian yang menggalakkan.
Beta mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak yang bekerja keras dalam memperbaiki kedudukan tersebut, khususnya peneraju-peneraju dan Unit PENGGERAK Jabatan Perdana Menteri. Kita memang berhajat untuk benar-benar pro-business dan dikenali sebagai negara terbaik bagi perniagaan.
Kunci utama untuk itu ialah ‘budaya suka berubah’. Ia perlu untuk penjawat-penjawat awam. Jika budaya ini gagal diterapkan, maka agensi-agensi kerajaan tidak akan dapat memperkemas kerja masing-masing kearah yang lebih baik dan cemerlang.
Dunia kita sekarang sedang berada dalam kemelut ekonomi. Inilah masanya warga perkhidmatan awam mempelopori langkah berjimat cermat, disamping meningkatkan komitmen dan usaha memajukan negara untuk hari ini dan juga untuk masa depan anak cucu kita.
Dari aspek pelaksanaan dasar-dasar negara pula, Beta mengulangi lagi supaya kementerian-kementerian bersikap lebih pro-aktif dengan meningkatkan penyelarasan melalui pendekatan ‘whole-of-nation’ di semua peringkat.
Namun semua ini memerlukan pemantauan yang rapi, untuk mengetahui maklumat, data dan perangkaan yang lengkap dan tepat. Oleh itu, semua agensi perlu meningkatkan kapasiti masing-masing dalam pengumpulan dan penganalisaan maklumat itu.
Dalam menjalani budaya kerja, turut dipentingkan ialah prestasi dan produktiviti. Sistem penilaian prestasi adalah bertitik tolak pada pencapaian hasil kerja. Jika ia baik dan memuaskan, maka itulah prestasi yang cemerlang.
Beta berasa gembira dan mengalu-alukan usaha Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam, meneliti sistem penilaian prestasi yang baru, termasuk menyesuaikannya dengan amalan-amalan terbaik atau best-practices. Sistem penilaian ini diharapkan akan dapat membantu perubahan minda perkhidmatan awam yang lebih kompetitif dan seterusnya meningkatkan lagi produktiviti kerajaan. Beta berharap sistem baru ini akan digunapakai secepat mungkin.
Dalam hubungan ini, para penyandang Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam dan Anugerah Kumpulan Kerja Cemerlang yang kita raikan hari ini, adalah merupakan contoh terbaik untuk jadi ikutan bagi setiap penjawat awam. Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka.
Tidak lupa juga sekalung penghargaan kepada warga perkhidmatan awam yang telah bersara diatas segala khidmat bakti mereka kepada kerajaan dan negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang sebaik-baiknya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment