Posting mengikut label

Thursday, August 18, 2016

2 faktor jejas usaha pelbagai ekonomi


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Kerajaan Negara Brunei Darussalam menerusi dasar yang kuat, berusaha gigih untuk mempelbagaikan ekonominya bagi mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mapan serta untuk menerajui ekonomi ke arah Wawasan 2035, kata Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Strategi pembangunan visi jangka panjang itu berusaha untuk mencapai beberapa matlamat termasuk mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran dan berpendidikan, mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi, ekonomi yang mapan dan dinamik dengan pendapatan per kapita yang tinggi dalam kalangan 10 buah negara teratas dalam dunia, kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Namun begitu, Brunei sedang menghadapi cabaran yang besar dalam mencapai matlamat berkenaan disebabkan oleh dua perkara iaitu secara dalaman, pada 2015, Brunei mengalami defisit perdagangan sebanyak $2 bilion, kadar pengangguran yang tinggi iaitu sebanyak 6.9 peratus dan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah daripada negara-negara ASEAN yang lain.

“Kesemua faktor dalaman ini telah membawa kepada kepelbagaian ekonomi Brunei yang perlahan,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan International Finance and Banking Society (IFABS) Asia Brunei 2016 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Yang Berhormat Pehin berkata, secara luaran, lebihan minyak dalam pasaran minyak antarabangsa telah menurunkan lagi harga minyak dan Brexit juga telah memberikan kejutan kewangan kecil kepada sektor kewangan Brunei serta menurunkan harapan bagi negara ini untuk menggunakan United Kingdom bagi menembusi pasaran Kesatuan Eropah (EU).


Yang Berhormat Pehin menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan

Bagaimanapun, integrasi serantau ASEAN telah meningkatkan peluang bagi Brunei untuk mempelbagaikan ekonominya dari segi pasaran yang lebih besar untuk eksport dan pelaburan-pelaburan negara.

Di samping itu, tambahnya, Brunei juga telah meningkatkan kerjasamanya dengan Bank Pembangunan Islam untuk mengukuhkan lagi sektor perbankan dan kewangan Islamnya.

Semua itu, kata Yang Berhormat Pehin, menunjukkan bahawa kepelbagaian ekonomi negara terletak pada sektor perbankan dan kewangannya supaya ia menjadi sebuah instrumen dan institusi yang kukuh bagi pembangunan masa depan.

Menurutnya lagi, sistem dwi kewangan Brunei merangkumi institusi kewangan konvensional dan Islam yang mempunyai asas aset sebanyak $20.7 bilion pada hujung 2015.

Sistem kewangan negara didominasi oleh institusi perbankan dengan asas aset sebanyak $17 bilion pada 2015, yang merangkumi 82 peratus daripada aset keseluruhan sistem kewangan.

“Sektor perbankan terus berdaya tahan dengan asas aset sebanyak $18.6 bilion pada 2014 dan dengan agregat kadar kecukupan kapital 21.1 peratus pada 2015.”

Yang Berhormat Pehin berkata, secara keseluruhannya petunjuk keteguhan kewangan utama dalam sektor perbankan dapat dikekalkan pada tahap yang sihat di mana kapital yang kukuh dan kadar kecairan yang tinggi bersama-sama pendapatan mapan serta pengurusan risiko kredit yang lebih baik telah memberi kesan kepada mengekalkan kestabilan sistem kewangan.

Pada masa yang sama, pendedahan bank-bank kepada risiko pasaran juga adalah kecil disebabkan portfolio perdagangan yang rendah dan pendedahan minimum kepada risiko pertukaran asing disebabkan oleh aset mata wang asing yang besar.

Menyentuh mengenai persidangan itu, keadaan semasa terutama krisis kewangan global, kata Yang Berhormat Pehin, serta isu kekuatan kewangan telah menjadi tumpuan masyarakat terutama di kalangan institusi pendidikan di mana penyelidikan dan pendidikan berkualiti tinggi terhadap sistem kewangan adalah amat penting dalam matlamat-matlamat dasar.


Sumber - Media Permata

No comments: