Posting mengikut label

Monday, August 1, 2016

KDYMM: Pertanian mesti terus diperkasa



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-70 Tahun Bagi Tahun 2016 Bertempat Di Istana Nurul Iman.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem. Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat meraikan Hari Keputeraan beta pada tahun ini, dalam keadaan aman lagi selesa.

Istiadat berlangsung pada tahun ini, ketika mana kita baru saja sempurna melaksanakan ibadat puasa dan kini sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri yang mubarak.

Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya. Beta berharap kita di negara ini akan mengamalkan sifat berhemah dan sederhana dalam meraikan apa saja sambutan perayaan selaras dengan ajaran ugama kita yang suci.

Melalui istiadat ini, beta dengan ikhlas merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada semua tetamu khas beta yang sudi hadir dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada beta serta keluarga bersempena dengan perayaan ini.

Beta mengajak semua rakyat di negara ini supaya sama-sama bersyukur kerana dapat secara berterusan menikmati keamanan dan kesejahteraan. Namun ini bukanlah tiket untuk kita melonggarkan sikap berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan yang tidak diingini. Bahkan senario hari ini meminta kita untuk lebih berwaspada lagi.

Turut lebih kita beratkan ialah membangun ekonomi. Brunei tidak boleh leka dalam keadaan ekonomi global dilihat sedang bermasalah. Brunei perlu mempelbagaikan ekonominya sambil terus meningkatkan hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kita perlu lebih aktif serta mempunyai agenda lebih terancang bagi mencapai sasaran ini.

Usaha-usaha peningkatan perlulah  menyeluruh terutama bagi bidang yang dianggap utama, seperti pertanian makanan asasi. Bidang ini mestilah terus diperkasa sehingga mampu untuk kita memenuhi sara diri. Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada pihak luar sahaja. Sayugia perkara ini dapat diambil perhatian serius oleh pihak berkenaan dalam kerajaan.

Sudah tiba masanya untuk Brunei mengaktifkan segala usaha tanpa berlengah-lengah lagi. Salah satu contoh ke arah itu, kita sekarang sedang merancang untuk  menggerakkan ekonomi negara, dengan kerajaan mengungkayahkan satu projek  membina sistem pengangkutan yang selamat dan cekap.  Projek ini ialah untuk memanjangkan Dermaga Pelabuhan Muara dan membesarkan terminal kontena Muara. Ia akan menjadi pemudahcara bagi kemasukan dan penarikan pelabur luar asing ke negara ini.

Di samping itu, secara umum kita juga menggalakkan sifat kreatif dan inovatif dalam melaksanakan semua projek pembangunan melalui kaedah Kerjasama Awam Swasta atau Public Private Partnership. Kaedah ini bertujuan sebagai pendorong ke arah  perkongsian di antara sektor awam dan swasta dalam melaksanakan projek-projek kerajaan.

Menyebut lagi permasalahan ekonomi, baru-baru ini, rakyat Britain telah memutuskan untuk keluar dari Kesatuan Eropah atau Brexit. Keputusan ini menimbulkan sedikit gusar di kalangan para pelabur kerana ia dilihat sebagai mampu untuk menjejaskan nilai pelaburan di bursa-bursa saham antarabangsa dan malah juga turut berisiko ke atas nilai mata wang negara berkenaan sendiri. Brunei sebagai negara yang juga terlibat dalam perdagangan antarabangsa tidaklah terkecuali dari turut merasakan kesan keputusan tersebut.

Namun Alhamdulillah, dengan adanya dasar kerajaan melaksanakan pelaburan seimbang, maka risiko tersebut dapat kita tangani secara terurus.

Beta penuh yakin, Kerajaan Britain dan antarabangsa adalah mampu untuk menangani pelbagai isu berpunca dari Brexit tersebut, berdasarkan pengalaman yang luas semua pihak dalam mengatasi semua permasalahan yang ada.

Brunei sendiri akan terus menghargai hubungan dengan United Kingdom, khasnya hubungan perdagangan yang telah berjalan sekian lama itu.  Kita akan tetap mengukuhkan hubungan ini untuk kebaikan bersama  kedua-dua buah negara.

Ke arah peningkatan ekonomi, kerajaan beta juga terus memacu perkembangan pendidikan. Kerana pendidikan juga adalah aset, malah 'kuasa' untuk menentukan kelangsungan bangsa.

Sebab itu kualiti pendidikan, tidaklah ia dapat dikompromi melainkan mesti terus diperkaya dan ditingkatkan. Ini adalah harapan kita kepada Kementerian-Kementerian  Pendidikan dan Hal Ehwal Ugama supaya sama-sama dapat berbincang dan bekerjasama dengan Unit PENGGERAK di Jabatan Perdana Menteri untuk mencari jalan, bagaimana prestasi Pendidikan Rendah dan Menengah khasnya, dapat ditingkatkan. Kerana dalam era mutakhir ini, beta sendiri mendapati masih ada perkara yang perlu diperbaiki.

Selaku tonggak utama Wawasan Brunei 2035, pendidikan tidak boleh berada di bawah, melainkan tempatnya ialah di atas untuk benar-benar diambil berat. Kerana pendidikan adalah pelaburan sepanjang hayat untuk menentukan maju mundurnya sesuatu bangsa.  Jika pendidikan lemah, maka tidak siapapun yang akan memandang tinggi kepada kita.

Di peringkat antarabangsa, negara kita akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan  serantau dan antarabangsa dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan lain-lain kepentingan melalui rangkaian-rangkaian pemangkin serantau dan antarabangsa.

Demikian juga kita akan sentiasa bersama-sama memainkan peranan dalam hal ehwal keselamatan serantau mahupun antarabangsa, di samping menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, selaras dengan kemampuan kita.

Akhirnya, beta dengan tulus ikhlas  merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada kerajaan beta.

Penghargaan yang setinggi-tingginya juga disampaikan kepada seluruh Ahli  Jawatankuasa Perayaan peringkat kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha yang disumbangkan untuk menjayakan perayaan ini.

Beta berdoa semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan sentiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan dengan limpah rahmat dan perlindungan oleh Allah  Subhanahu Wata'ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments: