Posting mengikut label

Monday, August 1, 2016

Ekonomi berkembang 3.6 peratus



BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Walaupun secara keseluruhan ekonomi global mengalami ketidaktentuan dalam beberapa bulan pertama tahun 2016, pada suku pertama tahun ini, ekonomi negara meningkat sebanyak 3.6 peratus tahun-ke-tahun disebabkan peningkatan dalam sektor minyak dan gas sebanyak 7.6 peratus tahun-ke-tahun, manakala bagi sektor bukan minyak dan gas menurun 1.9 peratus tahun-ke-tahun.

Kadar inflasi negara juga dijangka kekal rendah memandangkan harga makanan dan komoditi global yang rendah serta kadar pertukaran dolar Brunei yang stabil.

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dalam kenyataan Dasar AMBD bagi separuh tahun pertama 2016 yang dikeluarkan hari ini menekankan perkara itu dan turut menyatakan beberapa perkembangan kewangan di negara ini termasuk pengenalan satu direktif kepada semua bank mengenai penggunaan Minimum Cash Balances (MCB) untuk pengurusan kecairan kewangan harian (intraday liquidity maintenance) di dalam sistem Real-Time Gross Settlement (RTGS); pemberian lesen perbankan kepada Bank of China (Hong Kong) Limited untuk menubuhkan cawangan di Negara Brunei Darussalam; dan proses penutupan operasi Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited, cawangan Negara Brunei Darussalam (HSBC Brunei) secara berfasa.

Manakala kredit menunjukkan perkembangan yang positif, di mana ia meningkat sebanyak 8.5 peratus tahun-ke-tahun. Sektor perbankan di negara ini kekal kukuh dengan Regulatory Capital Adequacy Ratio yang tinggi melebihi keperluan minimum. AMBD juga melaksanakan beberapa langkah-langkah di bawah inisiatif Ease of Doing Business, termasuk memeterai satu memorandum persefahaman berbilang hala (MMOU) mengenai perundingan dan kerjasama, dan pertukaran maklumat, yang telah diperkenalkan oleh International Organization of Securities Commissions. AMBD juga sedang melaksanakan audit syariah ke atas institusi-institusi kewangan Islam tempatan.

Antara lain perancangan perkembangan di masa hadapan, AMBD akan mempertingkatkan lagi usaha untuk menyokong reformasi struktur yang bertujuan untuk meningkatkan financial intermediation dan pinjaman kepada sektor korporat. AMBD juga akan melaksanakan satu rangka kerja.

Kenyataan Dasar AMBD 1/2016 yang lengkap boleh didapati di laman web AMBD www.ambd.gov.bn.


Sumber - Media Permata

No comments: