Posting mengikut label

Tuesday, November 1, 2016

Kedudukan Brunei meningkat


Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Laporan Bank Dunia Doing Business 2017 yang dikeluarkan hari ini telah meletakkan Negara Brunei Darussalam sebagai ekonomi paling meningkat untuk tempoh dua tahun berturut-turut dalam usaha untuk memudahkan aktiviti menjalankan perniagaan di negara ini.

Laporan Doing Business 2017 mengukur tahap kecekapan dan pengawalseliaan perniagaan domestik, telah merekodkan lonjakan Negara Brunei Darussalam ke kedudukan ke-72 di kalangan 190 negara-negara di seluruh dunia, dengan peningkatan skor pada enam petunjuk dan skor Distance to Frontier sebanyak 65. 51 daripada 100.

Peningkatan tersebut sekali gus menunjukkan pengurangan jurang di antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara berprestasi tinggi, kata Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business.

Bercakap pada satu sidang media di Bangunan JPM hari ini, beliau menjelaskan, laporan terkini menunjukkan Negara Brunei Darussalam masih lagi mengekalkan kedudukannya di tangga ke-4 di rantau ASEAN, di bawah Singapura (tangga ke-2), Malaysia (23) dan Thailand (46) dan diikuti oleh Vietnam (82), Indonesia (91), Filipina (99), Kemboja (121), Myanmar (170) dan Laos (139).

“Kejayaan-kejayaan yang dicapai ini adalah hasil daripada pengenalan proses-proses baru, peraturan dan perubahan sistem bagi memudahkan perniagaan khususnya dalam menyokong perkembangan para pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin berkata kejayaan-kejayaan yang dicapai ini adalah hasil daripada
pengenalan proses-proses baru, peraturan dan perubahan sistem bagi memudahkan perniagaan khususnya
dalam menyokong perkembangan para pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Di samping itu, pertambahan penglibatan dan kerjasama secara berterusan daripada peniaga-peniaga tempatan melalui program-program kesedaran dan maklum balas daripada komuniti peniaga juga turut memberikan impak positif dalam meningkatkan keupayaan kerajaan dalam menangani isu-isu on-the-ground,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Katanya, menurut laporan tersebut, beberapa petunjuk juga telah menunjukkan penurunan daripada kedudukan sebelumnya dengan mengambil kira usaha pembaharuan yang turut dilaksanakan oleh negara-negara lain yang mana antaranya adalah petunjuk Starting a Business dan Dealing with Construction Permits.

“Ini menandakan Negara Brunei Darussalam perlu terus giat untuk meningkatkan kecekapan, di samping terus mengenalkan inisiatif pembaharuan terhadap dasar-dasar dan peraturan bagi mengurangkan jurang skor DTF Negara Brunei Darussalam.

“Peningkatan ketara dalam kedudukan Doing Business dalam tempoh dua tahun yang lalu adalah mencerminkan terhadap serius pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memudahkan suasana perniagaan, sejajar dengan titah Baginda Sultan semasa Hari Perkhidmatan Awam ke-23 menekankan keperluan bagi Negara Brunei Darussalam untuk menanda-aras prestasi dengan peringkat global.

“Sebahagian besar daripada agenda pembaharuan Negara Brunei Darussalam telah dikemudikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah selaku pengerusi Jawatankuasa Pandu Penggerak.

“Setiap kemajuan ke arah ini sentiasa dipantau melalui Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business dipengerusikan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri dan diterajui oleh Champion Groups dari jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawah JPM, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perhubungan dan Autoriti Monetori Brunei Darussalam,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Dengan ini Negara Brunei Darussalam mencatatkan kenaikan skor DTF sebanyak 5.28 markah iaitu tertinggi di antara ekonomi yang meningkat termasuk negara-negara di rantau ASEAN diikuti dengan Indonesia dengan kenaikan sebanyak 2.95 markah dan Vietnam dengan kenaikan sebanyak 2.72 markah.

Manakala di rantau Asia Pasifik, Negara Brunei Darussalam menduduki kedudukan ke-13, di bawah negara-negara Asia Utara seperti Republik Korea menduduki kedudukan ke-4, Taiwan ke-5, dan Jepun ke-8, dan mendahului beberapa negara “Asian Powerhouse” seperti China berada di kedudukan ke-16, dan India berada di kedudukan ke-23.

Manakala 10 negara menduduki tangga teratas dalam laporan Doing Business 2017, mengikut kedudukan adalah New Zealand, Singapura, Denmark, Hong Kong, Republik Korea, Norway, United Kingdom, Amerika Syarikat, Sweden dan Macedonia.

Laporan Doing Business 2017 tahun ini membawa tema “Equal Opportunity for All”, memberi penekanan akan kesamaanrataan gender (Gender Equality) dalam peraturan perniagaan dan buat kali pertama mengetengahkan isu gender dalam tiga petunjuk iaitu Starting a Business, Registering Porperty dan Enforcing Contracts di mana kajian menunjukkan bahawa peraturan mengehadkan penglibatan wanita dalam bidang ekonomi akan melihat sumbangan wanita lebih rendah di sektor swasta, sama ada menjadi pekerja ataupun usahawan.

Walaupun Brunei mencatatkan penurunan dengan semakan kedudukan, pencapaian negara adalah dikira sangat memberangsangkan dan direkodkan sebagai salah sebuah ekonomi dari hanya 10 ekonomi di dunia telah mencatatkan peningkatan sebanyak tiga atau lebih petunjuk di dalam laporan tersebut.

Petunjuk mencatatkan peningkatan terbesar pada tahun ini ialah mendapatkan kuasa tenaga (Getting Electricity), melonjak sebanyak 55 anak tangga ke kedudukan 21 berbanding tangga ke-76 pada tahun lalu; petunjuk Enforcing Contracts tangga ke-93 daripada 115 dalam laporan 2016, petunjuk Getting Credit di tangga ke-62 daripada 78 dalam laporan 2016, petunjuk Protecting Minority Investors di tangga ke-102 daripada 96 dalam laporan 2016, Trading Across Borders di tangga ke-142 daripada 143 dalam laporan 2016 dan petunjuk Registering Property di tangga ke-134 daripada 135 dalam laporan 2016.

Di sebaliknya kejayaan pada dua tahun lalu, kerajaan telah menyatakan masih banyak pembaikan perlu dilakukan bagi negara mencapai sasaran 20 tangga teratas dalam indeks Doing Business dan juga memastikan persekitaran makmur bagi menyokong Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035, menyeru kepada kerjasama yang lebih erat, penglibatan dan komitmen berterusan dari kedua-dua sektor awam dan swasta, bagi menangani isu-isu dihadapi on-the ground dan juga meningkatkan daya saing negara.


Sumber - Media Permata

No comments: