Posting mengikut label

Wednesday, November 30, 2016

Pusat pekerjaan Brunei ditubuhkan


Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Bagi mengurangkan kadar pengangguran di Negara Brunei Darussalam, Pusat Pekerjaan Brunei (Job Centre Brunei) akan ditubuhkan sebagai pengganti Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) yang bakal ditempatkan di Kampung Beribi, Gadong, mulai Disember depan.

Penubuhan pusat berkenaan telah diumumkan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar semasa berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kerjaya Brunei 2016 di BRIDEX, Jerudong, hari ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, penubuhan pusat berkenaan merupakan tindakan dalam masa jangka pendek pihak kerajaan, di mana dengan adanya pusat tersebut, data-data yang berkaitan dengan peluang pekerjaan dan profil para pencari kerja yang telah dikumpulkan sebelum ini berserta maklumat yang baru adalah diselaraskan dalam pangkalan data Pusat Pekerjaan Brunei yang sedia ada.

Pusat itu akan menjadi ‘one-stop shop’, di mana ia akan menjadi tempat bagi pendaftaran para pencari kerja, mempamerkan pangkalan data kerja-kerja kosong dan juga membantu pencari-pencari kerja memperbaiki peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurut beliau lagi, para pencari kerja yang tidak mempunyai komputer boleh mengunjungi pusat berkenaan untuk mendaftar kursus-kursus pembangunan kapasiti bagi meningkatkan kemahiran. Pusat tersebut juga boleh diakses 24 jam, tujuh hari seminggu melalui portal dalam talian.

Para pencari kerja bolehlah meneliti peluang-peluang kerja secara online serta mendaftar bagi program-program ‘upskilling’ untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi masing-masing.

Syarikat-syarikat juga dapat mengakses calon-calon pekerja melalui portal dalam talian berkenaan.

Dalam temu bual bersama media, Yang Berhormat Pehin telah menjelaskan bahawa pangkalan data berkenaan akan memadankan peluang pekerjaan yang paling dekat untuk pencari kerja dan pada masa yang sama juga Pusat Pekerjaan Brunei akan melihat pencari kerja secara menyeluruh.

Menurut beliau, pusat berkenaan akan dikendalikan di bawah Majlis Perancangan Tenaga Manusia.

Mengulas mengenai APTK, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa agensi berkenaan telah dibubarkan dan Pusat Pekerjaan Brunei akan menguruskan semua urusan yang dibuat oleh APTK dahulu. Katanya lagi, pusat berkenaan akan beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan.


Sumber- Media Permata

No comments: