Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Tahun 1433 Hijrah / 2012 Masihi
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Umat Islam di Negara ini patut bersyukur kerana berpeluang untuk meraikan lagi Maulidur Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi tahun 1433 Hijrah / 2012 Masihi.
Pada setiap tahun, kita menyambutnya dengan cara kita sendiri dengan mengadakan majlis berdikir di masjid-masjid di seluruh Negara selama dua belas malam berturut-turut dengan acara kemuncaknya berupa perhimpunan dan perarakan. Acara-acara ini tidak syak lagi berciri “Kebruneian Tulin” yang perlu diteruskan oleh generasi demi generasi. Sungguhpun begitu, diketika-ketika tertentu, ia mungkin saja memerlukan ubahsuai. Namun perayaan atau sambutan tetap dikekalkan.
Kepentingan sambutan atau perayaan ini ialah bagi menanamkan rasa kasih sayang kita kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Baginda wajib disanjung dan dikasihi, sebagaimana Allah dan Malaikat-Nya telah berselawat keatas Baginda, dan sekaligus telah memerintahkan juga orang-orang beriman supaya berselawat sama. Tidakkah ini dalil yang nyata, bahawa kita adalah wajib mencintai Baginda, selaras dengan perintah Allah tersebut?
Orang selalu bercakap mengenai “role model”. Apabila menyebut perkara itu, pasti akan dituding satu-satu individu yang dianggap patut menjadi role model itu.
Bagi kita umat Islam, role model itu telah pun disebut dan ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sendiri.
Siapakah dia role model itu disni?
Mari kita perhatikan ungkapan Al-Qur’an, Surah Al-Ahzab, ayat 21 mafhumnya:
‘Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu, pada diri Rasulullah itu “contoh ikutan yang baik”, bagi orang yang sentiasa mengharap (balasan baik berupa redha) Allah dan hari akhirat, serta dia pula menyembut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Ini dia role model kita. Bukan kita yang memilihnya tetapi Allah sendiri. Allahlah yang menunjuknya untuk kita. Tidak hebat macam manakah ini, jika Allah sendiri yang ampunya pilihan ini?
Pilihan Allah ini bukan bersifat semasa : untuk sepuluh atau dua puluh tahun sahaja. Tetapi bersifat abadi untuk selama-lama.
Adapun role model pilihan manusia terhad masanya. Paling lama misalnya seratus tahun, dan selepas itu datang pula role model lain untuk menggantikannya. Tetapi ini role model pilihan Allah, tidak dipadam oleh zaman dan tidak dilapis oleh sebarang tokoh lain. Sudah pasti, tidak ada wujud lagi role model lain untuk menggantikan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Maka berdasar kan ini, marilah kita memasang niat dan azam untuk terus komited dengan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dengan berpegang kuat dan beramal dengan semua ajaran yang dibawa oleh Baginda, memakai dan meniru akhlak Baginda di dalam segala segi kehidupan : dalam beribadat, berumahtangga, bergaul dan sebagainya.
Jika kita melakukan ini, tidak syak lagi, kita pasti akan mendapat “pangkat takwa” disisi Allah, dan takwa itu pula akan menjadi punca atau sebab, terbukanya pintu berkat di langit dan di bumi.
Kita patut menjadikan “pangkat takwa” itu matlamat semua, supaya sama-sama kita beroleh menfa’at. Adapun menfa’at “pangkat takwa” itu bukan sahaja terbatas kepada penyandangnya, malahan juga meliputi kepada negara atau tanahair, sebagaimana mafhum dari Ayat 96, Surah Al-A’raf, antara lain:
“Dan sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami (Allah) akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi…”
Berkat disini, boleh saja dalam bentuk kemakmuran, keamanan dan keselamatan yang akan dinikmati oleh manusia dan negara.
Demikian isyarat daripada Allah tentang takwa, semoga kita sama-sama sensitive untuk mengambil pengajaran daripadanya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment