Posting mengikut label

Wednesday, February 8, 2012

USUL MERAKYATKAN BENDERA KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Pada Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke 4, (2009) telah meluluskan sebulat suara Usul rekabentuk baru Bendera Kebangsaan yang diangkat oleh Badan Perhubungan Belait dan telah dipanjangkan kepada pihak berkenaan. Usul berkenaan disahkan semula pada Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa Ke 5, (2010). Usul tersebut berbunyi:

Menginsafi bahawa Bendera Negara merupakan lambang perpaduan rakyat yang bersatu di bawah naungan Raja atau Ketua Negara yang satu dan sewajarnya mesti dihormati oleh semua golongan dan lapisan rakyat sebagai tanda rasa cinta rakyat kepada Raja dan Negara,

Menyedari bahawa “Kempen Mengibarkan Bendera Negara” adalah satu program bersama bagi meningkatkan rasa cinta dan taat rakyat penduduk negara ini pada raja dan negara, secara tidak langsung menegakkan ‘survival’ negara MIB,

Menyedari bahawa masih ada kalangan rakyat yang tidak mengibarkan bendera negara di rumah-rumah kediaman dan kawasan perumahan kerajaan ketika menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Keputeraan walaupun arahan telah dihebahkan melalui radio, TV, media cetak dan sebagainya,

Mengambil maklum akan teguran daripada Pengarah Penerangan, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong pada 6 Jun 2009 yang menyatakan, “Keadaan ini membimbangkan di kalangan pemimpin negara seolah-olah satu gambaran pudar dan kurang ketaatan dan kesetiaan rakyat dan penduduk negara ini pada raja dan negara. Kerana adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan rakyat dan penduduk negara supaya mentaati perintah raja dan pemimpin mereka.”,

Mengambil iktibar daripada kisah para syuhada’ iaitu Zaid bin Haritsah, Ja'far bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah yang gugur dalam Perang Mu'tah demi mempertahankan bendera Rasulullah SAW daripada jatuh mencecah bumi yang sewajibnya dicontohi dalam menjaga, memelihara dan memberi penghormatan kepada Bendera Negara sebagai maruah bangsa dan negara,

1. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di International Convention Centre (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil persetujuan dan ketetapan mencadangkan kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar membuat perubahan kepada Bendera Negara dengan menambah beberapa elemen (berserta dengan penjelasan) dan gambar reka bentuk berikut: Warna Hijau - simbol semangat jati diri / jiwa patriotik / kecintaan rakyat kepada perpaduan, keharmonian, keamanan dan kemakmuran, sesuai dengan falsafah MIB yang sekaligus melambangkan keIslaman untuk rakyat (ummah), Warna Kuning - simbol ketulusan dan keikhlasan rakyat yang mendukung konsep Ketuanan Melayu (Kesultanan) yang berfalsafahkan Negara MIB yang aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah SWT (Baldatun Thayyiibatun Wa Rabbun Ghafuur) dan Gabungan Warna Hijau dan Warna Kuning - melambangkan falsafah MIB dan Negara Zikir, kerana kuning melambangkan Raja / Sultan selaku ‘Ulil Amri’ sebagai payung kepada rakyat.

No comments: