Posting mengikut label

Monday, December 17, 2012

Belia paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah


Nooratini Haji Abas

TEMBURONG, Ahad, 16 Disember. - Bahagian Cawangan Pendidikan dan Pencegahan Dadah, Biro Kawalan Narkotik (BKN) dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong pagi tadi menganjurkan Jerayawara Anti Dadah bagi Mukim dan Kampung di Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan jerayawara yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar di sini ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Suhara Fadzali bin Haji Yusop.

Pemangku Pegawai Daerah Temburong dalam ucapannya menjelaskan, golongan belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun menunjukkan statistik golongan yang paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Katanya, sememangnya golongan itu yang diharap untuk membangun negara tetapi malangnya golongan umur itu juga yang mudah terpengaruh dan mensia-siakan zaman belia mereka dengan terlibat dalam aktiviti yang amat merugikan bangsa dan negara.

"Ini merupakan satu fenomena yang amat membimbangkan kerana ia mampu menjadikan satu wabak dan bencana yang menakutkan kepada masyarakat dan negara," tegasnya.

Tambahnya, sesungguhnya penyalahgunaan dadah menjadi beban kepada ekonomi negara di mana perbelanjaan banyak digunakan dalam membuat pengawasan terhadap mereka yang terbabit.

Untuk mengatasi gejala ini katanya, ia memerlukan usaha gigih daripada semua pihak dalam mempelbagaikan faedah dan aktiviti yang sesuai seperti yang dilaksanakan pada jerayawara kali ini.

Menurutnya, semua lapisan masyarakat memainkan peranan masing-masing bagi menggembeleng tenaga membanteras gejala penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"Saya menaruh harapan agar jerayawara yang diadakan ini menjadi landasan untuk menggembeling tenaga yang terdapat di satu-satu tempat terutamanya para belia supaya bersama-sama mengambil daya usaha untuk membanteras dadah," ujarnya.

Pada majlis tersebut, tetamu kehormat juga menyampaikan hadiah Perlawanan Futsal Peringkat Akhir dan seterusnya membuat lawatan ke Pameran Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta Pameran Agensi Kerajaan.

Jerayawara bertemakan 'Sayangi Keluarga Jauhi Dadah' adalah untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan secara langsung mengenai bahaya-bahaya dan hukuman penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat dan juga negara.

Ia juga bertujuan memupuk semangat untuk sama-sama bertanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara dalam menghindarkan anasir-anasir negatif terutama penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah haram di negara ini.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: