Posting mengikut label

Thursday, December 27, 2012

Pencari kerja berdaftar di agensi pekerjaan KHEDN 2,860 orang


Pg. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 24 Disember. - Jumlah pencari kerja tempatan yang berdaftar di Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) sehingga bulan Disember 2011, terdapat seramai 2,860 yang mana jumlah lelaki 1,277 orang dan perempuan ialah 1,583 orang.

Dari jumlah tersebut, bagi yang tidak ada kelulusan sehingga Tingkatan 6, terdapat seramai 1,088 orang lelaki, manakala perempuan 1,407 orang. Bagi yang lepasan teknikal, vokasional dan universiti, jumlahnya ialah 189 orang lelaki, sementara 176 orang perempuan.

KHEDN menangani perkara ini melalui penubuhan sebuah agensi pekerjaan yang pada masa ini sangat aktif melakukan usaha-usaha ini bukan saja menerima pendaftaran tetapi juga memberikan latihan-latihan kepada mereka yang ingin mendapatkan pekerjaan dan mendapatkan bimbingan perkara ini tidak hanya dilakukan secara bersendirian oleh agensi tersebut tetapi juga dilakukan bersama oleh syarikat-syarikat swasta, di samping beberapa buah agensi kerajaan yang lain.

Isu ini merupakan isu yang ditangani oleh kerajaan melalui peringkat tertinggi di bawah jawatankuasa yang menangani masalah kemiskinan, isu-isu sosial dan sebagainya termasuk isu mengenai pengangguran.

Kalau dilihat hasilnya setakat ini, sehingga September 2010, sejumlah 1,230 orang telah mendapat pekerjaan melalui agensi tersebut iaitu 650 orang di sektor swasta dan 580 orang di sektor kerajaan. Itulah salah satu dari usaha-usaha untuk mengatasi pengangguran dan perhatian daripada angka tersebut bahawa sektor swasta adalah mengatasi sektor awam.

Minggu Peluang Pekerjaan di Sektor Swasta 2012 telah berhasil memberi peluang kepada syarikat-syarikat dan pelamar-pelamar kerja untuk bertemu secara bersemuka. Masing-masing dapat mengetahui masalah berhubung dengan peluang kerja dan pengisiannya.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman dalam ucapannya pada majlis berkenaan menegaskan dalam apa pun kenyataannya, Yang Berhormat melihat memang benar banyak peluang pekerjaan terdapat di negara kita ini. Tinggal lagi anak-anak tempatan tidak dapat memenuhi jawatan-jawatan itu sepenuhnya. Ia berpunca dari bilangan mereka yang tidak ramai, atau kalau pun ramai namun mereka tidak bersedia mengisinya kerana tiada keserasian dengan latar belakang kelulusan dan pengalaman.

Dalam kedua-dua senario itu, maka adalah tepat langkah dan usaha kementerian hal ehwal dalam negeri pada masa ini mengadakan program-program menyediakan calon, mengenal pasti majikan, memberikan kursus pendedahan kerja dan seterusnya menemukan mereka dengan majikan, mengikuti latihan kerja sebelum mereka memutuskan untuk meneruskan bekerja dengan majikan berkenaan itu.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: