Posting mengikut label

Thursday, December 27, 2012

Ibu tunggal perlukan bantuan

 
Ibu Tunggal warga emas Dayang Hadijah, sering melinang air mata setiap kali
menemui ketua kampung untuk mengadukan tentang nasibnya yang belum terbela
Oleh Hajah Saemah Zulkefli

KUALA BELAIT, 21 Dis - Seorang ibu tunggal melahirkan rasa kecewa dan sedih kerana usahanya selama ini mengajukan beberapa permohonan kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan sebuah berek sementara kerajaan untuk tempat kediamannya sehingga kini belum menerima jawapan dan sebarang tindak balas.

Dayang Hadijah binti Abdullah, 60-an, masih terpaksa menyara dua orang anaknya yang sudah dewasa tetapi belum mempunyai sebarang pekerjaan, dan sumber pendapatan wanita warga emas itu hanyalah pencen gaji tua $250 setiap bulan di samping turut menerima agihan wang zakat Majlis Ugama Islam Brunei setiap tahun.

Ketua Kampung Mumong Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin memberitahu bahawa beliau juga turut berdukacita kerana telah berusaha memberikan sokongan dan menyampaikan permohonan ibu tunggal itu kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan berek sementara kerajaan untuk tempat wanita itu berserta dua orang anaknya berteduh kerana pada masa ini tidak mempunyai tempat kediaman yang tetap selain hanya menumpang di rumah anaknya yang lain di Kuala Balai yang juga mempunyai tanggungan yang ramai, tetapi sehingga kini belum menjadi kenyataan.

Menurutnya lagi, setiap kali wanita warga emas dan ibu tunggal itu menemuinya dengan linangan air mata mengadu tentang kurang perhatian dan layanan daripada anak-anak tempatnya menumpang pada masa ini, selain kedua-dua orang anak yang masih dalam tanggungannya juga tiada pernah menerima sebarang pembelaan daripada ayah mereka.

"Tapi apakan daya saya sebagai Ketua Kampung dalam menangani masalah sedemikian, selain hanya menyampaikan kepada pengetahuan pihak-pihak agensi berkenaan untuk mendapatkan bantuan sepatutnya, ke atas masyarakat seperti Dayang Hadijah yang sangat memerlukan pertolongan pada masa ini," kata Yang Berhormat Awang Haji Mohd Yusof.

Menurut Ketua Kampung, wanita ibu tunggal itu terpaksa berpindah randah di rumah dua orang lagi anaknya yang sudah berkeluarga untuk mencari keselesaan, ketenangan hidup, dan berharap akan segera ada penghujungnya apabila mendapat bantuan berek sementara Kerajaan untuk menempatkannya dengan tenang bersama dua lagi anak-anaknya yang masih bergantung sepenuhnya kepada ibunya itu.

Dayang Hadijah, merupakan seorang mualaf berbangsa Cina, pemegang kad pengenalan kuning, telah membuat banyak rayuan memohon tempat tinggal termasuk kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Ugama Islam Brunei serta bahagian Pusat Da'wah Islamiah Daerah Belait, termasuklah pernah menghadapkan permohonan kepada Pegawai Daerah Belait melalui Ketua Kampung Mumong, tempat permastautinan wanita itu.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: