Posting mengikut label

Monday, July 22, 2013

Jana pekerjaan belia jadi tumpuan


Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman menekankan keutamaan mendalami Program Kerja Menteri-menteri Buruh ASEAN (2010-2015) dalam menangani kesan globalisasi serta perbincangan penting yang sedang berjalan di dalam ASEAN berhubungan dengan pekerjaan belia.

Penekanan dan perkongsian itu dibuat oleh Yang Berhormat Pehin dalam kenyataan yang dibuat semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pekerjaan dan Buruh G20 yang berlangsung di Moscow, Rusia pada 18 dan 19 Julai, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, hari ini.

Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin turut mengetengahkan mengenai pencapaian yang diperoleh semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-22 yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam pada April lalu, di mana beliau berkata pemimpin-pemimpin negara-negara anggota ASEAN memberikan penekanan mengenai pentingnya penjanaan pekerjaan dan jaring keselamatan sosial di dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana.

Penekanan itu adalah bermatlamat untuk mengurangkan jurang perbezaan pembangunan serantau dengan penglibatan secara langsung persatuan dan organisasi bukan kerajaan serta sektor swasta yang berkenaan.

Yang Berhormat Pehin juga menyatakan penghargaan kepada Rusia selaku presiden G20 di atas sokongan kepada ASEAN dalam proses G20.

Yang Berhormat Pehin Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin mewakili Negara Brunei Darussalam yang merupakan Pengerusi ASEAN 2013 ke mesyuarat yang dihadiri oleh menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan dari negara-negara G20.

Turut serta dalam rombongan Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato Paduka Haji Abdul Majid bin Mangarshah serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Buruh.

Semasa mesyuarat dua hari itu, menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan mengongsi pengalaman berhubungan dengan tiga bidang keutamaan iaitu penjanaan pekerjaan, pengaktifan buruh dan pemantauan pembangunan pasaran buruh.

Mesyuarat itu juga menyaksikan pembentangan kertas-kertas kerja berhubungan dengan isu-isu buruh yang dibentangkan oleh pelbagai organisasi antarabangsa termasuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), Bank Dunia dan Organisasi bagi Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD).

Dipetik dari - Media Permata

No comments: