NEW YORK, 25 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan komitmen Brunei untuk berdiri bersatu dengan komuniti antarabangsa dalam menentang keganasan dalam apa-apa jua bentuk dan menolak ekstremisme.
Tegas Baginda, Brunei menyokong semua usaha serantau dan antarabangsa dalam memerangi keganasan.
“Dan kami akan terus mengambil bahagian dalam inisiatif global seperti dialog antara agama dan dialog antara tamadun untuk menggalakkan persefahaman, toleransi dan rasa hormat di kalangan masyarakat dunia.”
Serentak dengan itu Baginda menyeru semua negara untuk mengambil tindakan bersepadu dalam menyelesaikan masalah yang meluas dan diburukkan lagi dengan kepesatan globalisasi dan saling keterkaitan.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-69 di New York. |
Baginda Sultan menekankan perkara ini semasa berkenan mengurniakan titah pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-69 di New York hari ini. Berangkat sama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menyentuh mengenai potensi peningkatan pertikaian dan ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa telah mengakibatkan tragedi-tragedi manusia yang mengerikan seperti penembakan MH17 dan situasi teruk di Gaza.
Walaupun prospek perang habis-habisan kelihatan jauh kini, kejadian-kejadian situasi memburuk, pertempuran-pertempuran kecil dan amalan menempah bahaya telah menunjukkan kita bagaimana ancaman konflik dan keganasan terus menjadi halangan kepada aspirasi jangka masa panjang bagi dunia yang lebih baik.
Mengenai Palestin, kebebasan dan keadilan telah lama lampau tempoh.
Penderitaan berpanjangan yang dialami oleh saudara-saudara Palestin adalah contoh jelas mengenai bagaimana kecilnya makna matlamat perkembangan kita jika tiada keamanan dan kestabilan.
Mereka mesti diberikan hak asasi asas untuk hidup dengan maruah dan menikmati pembangunan ekonomi.
“Kita digalakkan dengan gencatan senjata oleh pihak-pihak yang berkaitan,” titah Baginda sambil menambah,
Baginda menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh banyak negara yang membolehkannya terjadi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah Baginda turut merakamkan penghargaan kepada pegawai-pegawai PBB, pasukan pengaman dan sukarelawan di lapangan yang sering kali bekerja dalam keadaan yang sukar serta meletakkan nyawa mereka dalam risiko.
Baginda juga memberi sanjungan kepada Setiausaha Agung PBB serta pegawai-pegawainya yang tidak menghiraukan penat lelah mempromosikan matlamat badan dunia itu terutama dalam perkara-perkara penting yang menjejaskan kehidupan serta keselamatan masyarakat dunia.
Baginda berterima kasih kepada Tuan Yang Terutama Ban Ki-Moon atas sokongan peribadi beliau serta penyertaannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-5 di Brunei tahun lalu.
“Hari ini adalah hari istimewa untuk Beta secara peribadi dan juga Negara Brunei Darussalam. Ia menandakan ulang tahun ke-30 keahlian Brunei dalam pertubuhan yang dihormati ini.
“Menoleh ke belakang, kita terpisah daripada segi ideologi. Kini, kita dihubungkan oleh globalisasi dan saling-kebergantungan, dalam mencari pendekatan bersama untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi umat manusia.
“Tatkala kita berdepan dengan masalah-masalah lama dan baru, Beta percaya PBB adalah tempat terbaik untuk menanganinya secara kolektif. Inilah kekuatannya dan hari ini ia terbukti ketika kita berusaha untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG). Kita sedang hampir sampai ke sasaran MDG.”
Titah Baginda, Brunei amat gembira untuk melihat komitmen bersepadu global serta konsensus untuk membasmi kemiskinan serta menggalakkan lagi keamanan dan pembangunan mapan.
Untuk sekian lama, titah Baginda, Brunei telah secara aktif menyumbang kepada usaha serantau dan antarabangsa dalam latihan dan pembangunan kapasiti seperti menerusi “Inisiatif bagi Integrasi ASEAN” dan “Program Pengayaan Bahasa Inggeris bagi ASEAN” dengan kerjasama Amerika Syarikat.
Usaha yang serupa juga dijalankan menerusi Dana Komanwel bagi Kerjasama Teknikal. Usaha-usaha PBB dan stakeholder yang berkaitan dalam menerajui usaha ke hadapan melangkaui 2015 adalah sangat dihargai.
“Beta amat gembira bahawa kita telah mencapai banyak kejayaan dalam inisiatif-inisiatif semasa. Kita juga telah banyak menimba pengalaman yang berharga. Ini semua memberikan kita asas-asas yang hebat untuk meneruskan perjalanan dalam dekad-dekad mendatang.
“Beta gembira dimaklumkan bahawa perbincangan mendalam serta perundingan yang meluas telah pun dijalankan dalam membentuk rangka kerja universal bagi menyampai dan melaksanakan agenda-agenda pembangunan transformatif selepas 2015.
“Oleh itu, Beta amat mengalu-alukan haluan masa depan yang menekankan kepentingan pembangunan sumber manusia yang bersifat inklusif, berorientasikan rakyat serta berdaya tahan.”
Elemen-elemen ini, jelas Baginda juga merupakan sebahagian daripada Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035, yang dihasratkan untuk meningkatkan kebajikan rakyat serta menikmati kualiti hidup yang lebih tinggi.
“Beta juga gembira bahawa terdapat keyakinan yang sepadu terhadap pentingnya penjagaan alam sekitar. Dalam hubungan ini, Beta amat menghargai Sidang Kemuncak Iklim PBB dalam merangsang sokongan kepada usaha menangani impak perubahan iklim dan dalam memastikan satu agenda pembangunan pasca 2015 yang dinamik dan transformatif.”
Bagaimanapun, tambah Baginda lagi, pada masa ini dan lebih-lebih lagi pada dekad akan datang, Baginda melihat terdapat banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk merealisasikan matlamat mulia terhadap usaha bersejarah ini.
Ini kerana situasi serantau dan antarabangsa terus menjadi ancaman kepada ketidakstabilan, ketidakadilan, perbezaan sosial dan ekonomi serta bencana alam yang semakin kerap berlaku.
Walaupun terdapat keamanan dan kestabilan di dunia, perkembangan sejak beberapa tahun yang lalu telah mengingatkan kita tentang isu-isu keselamatan yang kompleks, pergolakan dan ketidakstabilan yang timbul daripada aktiviti manusia yang boleh menghalang kemajuan pembangunan jangka panjang.
“Kami amat bimbang dengan perkembangan isu keselamatan di beberapa buah tempat di dunia ini, di mana peningkatan konflik boleh melemahkan keazaman masyarakat antarabangsa dan keupayaannya untuk mencapai inisiatif seluruh dunia.
“Negara Brunei Darussalam, sebagai peranannya, telah menyertai pasukan keamanan PBB, terutama sekali UNIFIL, dan beberapa misi pemantauan keamanan antarabangsa di selatan Filipina. Kami kekal komited dalam perkara ini.”
Menurut Baginda, tinjauan keseluruhan lebih rumit disebabkan cabaran yang bersifat global seperti kesan perubahan iklim, ekstremisme dan keganasan serta kesan serius penyakit berjangkit.
Dalam memastikan aspek-aspek positif globalisasi, ia memerlukan masyarakat negara-negara untuk bekerja rapat bersama-sama.
“Kita mesti memperbaharui pendekatan kita, tadbir urus dan mengukuhkan kerjasama terutama dalam menyelesaikan isu-isu baru yang memerlukan tindakan kolektif global dengan satu matlamat.
“Beta ingin memberi penekanan kepada keperluan untuk bekerja dengan cara yang komprehensif, terutamanya dalam menjamin keamanan dan keselamatan.
“Kualiti kehidupan rakyat kita hanya boleh dipertingkatkan lagi melalui pembangunan ekonomi inklusif dan kemajuan sosial.
“Dengan aktiviti semberono manusia yang tidak reda-reda, akibat degradasi alam sekitar setentunya memberi kesan negatif ke atas pembangunan keseluruhan.
“Ini adalah bidang-bidang yang memerlukan komitmen, perkongsian dan kreativiti yang diperbaharui di dalam komuniti global kita.”
Baginda juga menekankan mengenai kepentingan mengukuhkan keupayaan dalam pengurusan bencana, ini kerana bencana alam yang kerap berulang dan bertambah kuat dalam tahun-tahun kebelakangan, dan telah menyebabkan kerosakan dan kesusahan kepada ramai orang.
Tahun lalu, Brunei Darussalam telah menganjurkan latihan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana dalam kalangan kakitangan tentera dari negara-negara besar dan kecil di Asia Pasifik, iaitu acara pertama sejenisnya di bawah proses Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Campur.
“Beta sangat kagum melihat kerjasama rapat dan perpaduan yang ditunjukkan oleh para peserta dari pelbagai latar belakang dalam usaha menyelamatkan nyawa,” titah Baginda, sambil menambah usaha serantau sedemikian hanyalah langkah sederhana.
Lebih penting lagi, tambah Baginda, prinsip saling hormat-menghormati, mempercayai dan penuh keyakinan yang
sangat penting, mengetepikan perbezaan, mendukung kedaulatan undang-undang dan keadilan, dan mempromosikan kerjasama patut menjadi asas dalam menyelesaikan konflik bagi membolehkan kita terus menikmati kedamaian dan kestabilan.
Dalam semangat yang sama, adalah penting kita bertegas dalam mengatasi perbezaan dan bergerak ke depan dalam membuka lagi perdagangan global.
Baginda juga menekankan semula bahawa usaha-usaha dalam merealisasikan MGD akan menjadi sia-sia jika, pada masa yang sama, kita tidak mengendahkan komitmen menggunakan cara aman dalam menyelesaikan pertikaian seperti yang termaktub dalam Piagam PBB.
Melihat kepada masa depan, Baginda kekal menaruh harapan, dan percayai bahawa pertubuhan ini masih diperlukan untuk memastikan bahawa generasi seterusnya akan menikmati kehidupan yang terjamin dan makmur, dan yakin bahawa PBB akan terus menjadi sumber harapan.
Jadi adalah penting semua negara melakukan sedaya upaya untuk membuat sumbangan positif kepada pertubuhan itu.
Apa yang kita putuskan dan lakukan kini akan menentukan masa depan generasi seterusnya.
“Oleh itu, mari kita terus bekerjasama supaya mereka mewarisi legasi kedamaian berpanjangan, kemakmuran dan pembangunan mapan,” titah Baginda.
Sumber - Media Permata
No comments:
Post a Comment