Posting mengikut label

Thursday, September 18, 2014

Malaysia Sambut Baik Pengesahan Indonesia Kepada Perjanjian Jerebu Asean


Oleh Chandravathani Sathasivam

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Malaysia menyambut baik langkah positif Indonesia dalam mengesahkan Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel dan pakar alam sekitar melihat perkara itu sebagai Indonesia serius mahu menangani jerebu merentasi sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan.

Mereka percaya Indonesia bersedia untuk menangani masalah jerebu secara berkesan, yang sekali gus dapat memperkukuh hubungan dengan negara jirannya seperti Malaysia dan Singapura yang turut terjejas teruk oleh fenomena jerebu.

Palanivel berkata Malaysia telah menunggu pengesahan Indonesia agar usaha menangani jerebu yang berlaku setiap tahun di rantau ini dapat dilakukan bersama.

"Ini menunjukkan komitmen dan keazaman kuat Indonesia untuk mengurangkan pencemaran jerebu merentasi sempadan; kerjasama antara negara adalah konkrit dan boleh dilakukan," katanya kepada Bernama.

Parlimen Indonesia pada Selasa mengundi untuk mengesahkan perjanjian serantau itu, 12 tahun selepas kerajaan Indonesia menandatanganinya.

Perjanjian dirangka selepas berlaku jerebu paling teruk pada 1997, yang pencemarannya berpunca dari proses menebang dan membakar hutan di Indonesia untuk penanaman tanaman terutama kelapa sawit.

Sembilan negara anggota Asean yang lain telah mengesahkan perjanjian tersebut pada Jun 2013. Mereka menandatanganinya pada Jun 2012 di Kuala Lumpur.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo turut mengalu-alukan pengesahan Indonesia dengan berkata tanggungjawab bersama dalam kalangan negara Asean adalah perlu untuk menangani pencemaran jerebu merentasi sempadan secara berkesan.

Pengesahan itu memberi harapan kepada negara jiran terutama Malaysia dan Singapura, katanya.

"Ia akan membantu Malaysia menerusi jalinan kerjasama dan kolaborasi lebih baik antara profesional yang terlibat dalam mencari penyelesian. Adalah lebih baik lambat daripada tidak mempunyai kesedaran langsung mengenai alam sekitar," katanya.

Pada 1997, kerajaan Malaysia menghantar ratusan anggota bomba dan penyelamat untuk membantu Indonesia memadam jerebu.

Ibrahim yang menerajui Kluster Sumber Asli dan Alam Skitar, Majlis Profesor Negara turut menyangkal pengesahan Indonesia itu bermotifkan politik.

Beliau berkata langkah bersejarah itu memaparkan hasrat murni Indonesia untuk menangani dan menyelesai masalah jerebu.

"Saya berharap ia akan memperkukuh hubungan dua hala dan diplomatik dengan Malaysia dan Singapura yang terjejas teruk akibat jerebu daripada Sumatera (pada Jun) tahun lepas," katanya.

Indonesia sebelum ini mendakwa syarikat Malaysia dan Singapura yang memiliki ladang di Sumatera dan Kalimantan adalah antara yang memulakan kebakaran semasa membersihkan ladang mereka.

Kebakaran yang berlaku menyebabkan asap melebihi tahap bahaya dan Presiden Indonesia ketika itu Susilo Bambang Yudhoyono memohon maaf kepada Maalaysia dan Indonesia.

Prof Madya Dr Mohd Talib Latif dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata perjanjian tersebut akan membantu mengurangkan pencemaran udara akibat pembakaran biomass semasa monsun barat daya antara Jun dan September setiap tahun.

"Pembakaran biomass di tanah gambut di Sumatera dan Kalimantan telah dikenal pasti sebagai faktor utama jerebu di Semenanjung Malaysia dan Sarawak setiap tahun," kata Mohd Talib dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi.

"Pengesahan kepada perjanjian ini menunjukkan komitmen Indonesia untuk menangani masalah jerebu di Asia Tenggara," katanya.

Mohd Talin berkata adalah sukar untuk mengurangkan pembakaran biomass terutama semasa musim kering berikutan paras air yang rendah dan tanah gambut.

"Kita hanya mengalami masalah pencemaran udara semasa monsun barat daya, apabila angin bertiup ke arah kita (Malaysia). Indonesia mengalami masalah ini setiap tahun semasa musim kering.

"Mereka turut menghadapi masalah daripada letupan gunung berapi yang lebih berbahaya daripada pembakaran biomass," katanya.

Pakar ini berkata perlu lebih banyak komitmen dan penguatkuasaan dari agensi kerajaan Asean bagi mengurangkan pencemaran jerebu di Asia Tenggara.


Sumber - BERNAMA

No comments: