Posting mengikut label
ABDB
(18)
ADUAN
(18)
AGAMA
(127)
ALAM SEKITAR
(22)
ANTARABANGSA
(35)
ASEAN
(110)
BELIA
(37)
DEMOKRASI
(95)
EKONOMI
(200)
HAK ASASI
(89)
HALAL
(7)
HUBUNGAN LUAR
(61)
ISU LIMBANG
(4)
ISU PALESTIN
(12)
ISU ROHINGYA
(37)
ISU SELATAN THAI
(1)
ISU SPRATLY
(165)
ISU SYRIA
(1)
ISU UYGHUR
(4)
JENAYAH
(35)
KANAK-KANAK
(10)
KEBAJIKAN
(19)
KEKAYAAN
(9)
KEMALANGAN
(11)
KEMANUSIAAN
(45)
KEMISKINAN
(62)
KEPENTINGAN AWAM
(78)
KERAJAAN
(55)
KESELAMATAN AIR
(6)
KESELAMATAN MAKANAN
(70)
KESELAMATAN NASIONAL
(72)
KESELAMATAN SERANTAU
(265)
KESELAMATAN TENAGA
(10)
KESIHATAN
(45)
KETIDAKCEKAPAN
(2)
KEWANGAN
(34)
KHUTBAH
(3)
KOMUNIKASI
(4)
KONGRES
(26)
LAMAN ASPIRASI
(20)
MANIFESTO NDP
(6)
MENYUSUR DESA
(1)
MIB
(15)
MILF
(54)
MINYAK
(83)
MMN
(85)
NDP
(157)
NEGARA
(5)
NEGARA ZIKIR
(4)
PEKERJAAN
(79)
PELANCONGAN
(8)
PEMBANGUNAN
(16)
PEMBRUNEIAN
(17)
PENDAPATAN
(6)
PENDIDIKAN
(46)
PENGANGKUTAN
(5)
PERIKANAN
(9)
PERTANIAN
(25)
PERUMAHAN
(29)
PERUNDANGAN
(45)
PKS
(44)
POLITIK
(152)
RAJA
(102)
SEJARAH
(76)
SOSIAL
(61)
SWASTA
(13)
SYARIAH
(68)
TAKZIAH
(14)
TARBIAH
(22)
TAZKIRAH
(37)
TEKNOLOGI
(10)
TITAH
(120)
TPPA
(43)
UCAPAN
(16)
USUL
(10)
WANITA
(24)
WAWASAN 2035
(12)
Monday, September 8, 2014
KDYMM: Belia berperanan besar memelihara, mengangkat martabat negara
Titah KDYMM sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-9 Tahun 2014 pada hari Rabu 8 Zulkaedah 1435 bersamaan 3 September 2014 Masehi.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
ALHAMDULILLAH, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita pada hari ini bersama-sama lagi berkumpul dalam perhimpunan Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Kesembilan bagi tahun 2014. Beta sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Kebangsaan 2014 kepada semua para belia di negara ini.
Para belia mempunyai peranan yang sangat besar dalam memelihara dan mengangkat martabat negara. Mereka juga adalah golongan paling berpotensi untuk mencorakkan bangsa dengan apa jua corak yang mereka mahu. Bukankah hampir 50 peratus dari jumlah penduduk negara ini terdiri daripada kaum belia? Jumlah yang sebesar ini merupakan satu kuasa tersendiri.
Kaum belia perlu menggunakan kelebihan ini untuk membina diri mereka sendiri dan juga masyarakat. Dengan kelebihan yang ada itu, mereka adalah mampu untuk terus berkembang, dengan merebut pelbagai peluang yang sentiasa terbuka luas di hadapan mereka. Peluang-peluang tersebut turut meliputi, seperti peluang menambah kebolehan dan kemahiran.
Kaum belia juga adalah agen kepada perubahan. Namun dalam perkara perubahan ini, semua kita, lebih-lebih lagi kaum belia adalah dikehendaki supaya lebih bijak dan berhati-hati dalam menilai dan memilih perubahan itu. Kerana bukanlah semua perubahan itu baik, malah ada yang memerlukan kita supaya mengelaknya, iaitu jika perubahan itu membawa impak tidak baik atau tidak selaras dengan aspirasi bangsa.
Sebelum membawa atau melahirkan sebarang perubahan, kaum belia dikehendaki untuk memiliki jati diri yang jelas, kukuh dan mantap. Ia juga mustahak untuk diisi dengan nilai-nilai ugama dan budaya yang luhur, supaya kelak perubahan itu tidak dibayangi oleh elemen-elemen yang tidak diingini.
Jika sesuatu perubahan itu menampilkan kebatilan, maka perubahan seperti ini tidaklah dialu-alukan, kerana kemunculannya bukan membawa kebaikan tetapi sebaliknya mengundang kerosakan. Ini, sangat biasa terjadi di mana-mana, atas nama perubahan, kalau perubahan itu berunsur malapetaka, maka masyarakat yang menerimanya akan menderita jadinya.
Kita di Brunei, perlulah berhati-hati dengan perkara seumpama ini. Cari dan rancanglah perubahan yang membina, bukan perubahan yang merosak. Janganlah belajar atau mengambil dari mana-mana yang tidak bermanfaat untuk dipelajari, tetapi belajarlah dari mana dan kepada siapa yang patut dicontohi.
Inilah cara mengendalikan diri. Para belia mustahak memahami perkara ini. Mengendalikan diri itu bererti juga menguasai keadaan di mana yang perlu.
Inilah cabaran yang sangat sukar untuk dihadapi, iaitu cabaran Abad Ke-21 era globalisasi. Cabaran ini tidak pernah sunyi dari agenda memusnahkan kebenaran.
Di sinilah para belia tidak boleh memandang ringan sebarang cabaran, tetapi mustahak menghayati saranan tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini 'Bersatu Menghadapi Cabaran Abad Ke-21'.
Sesungguhnya abad ini memang penuh dengan cabaran. Tidak siapapun yang boleh terlepas dari cabaran, sama ada cabaran itu membina atau meruntuh. Jika cabaran membina, ia wajar kita sambut dengan keghairahan, sementara jika cabaran itu meruntuh, maka kita adalah berkewajipan untuk menyambutnya dengan semangat menolak atau melawan, dalam makna, kita perlu berjaya menolak atau menggagalkannya. Jika kita berjaya menolak atau menggagalkan cabaran seperti ini, bererti kita adalah penyelamat: penyelamat diri sendiri, penyelamat masyarakat dan penyelamat negara.
Para belia mesti tampil menjadi wira keadaan. Corakkanlah keadaan itu dengan kebajikan. Biar ia malar tenteram dan menyenangkan serta berhias dengan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian.
Satu contoh bagus tentang perpaduan dan persefahaman, terdapat dalam acara-acara Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah Peringkat Belia. Melalui acara-acara ini kita dapat menyaksikan kumpulan belia negara-negara ASEAN dan Timor Leste sedang beraksi merealisasikan perpaduan dan persefahaman di antara mereka. Suasana seperti ini amatlah membanggakan dan malah menghiburkan.
Kita juga gembira, kerana kejohanan ini telah turut diiktiraf oleh Asian Football Confederation (AFC) dan ASEAN Football Federation (AFF) sebagai satu kejohanan bola sepak belia yang terunggul di rantau ini.
Ini tidak syak lagi adalah merupakan satu lagi pencapaian bagi agenda dunia ‘Sukan untuk Keamanan dan Pembangunan’ atau Sports for Peace and Development.
Untuk akhirnya, beta mengambil kesempatan, untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan Tebuan Muda Negara Brunei Darussalam di atas mutu persembahan mereka yang baik, walaupun tidak dapat meneruskan sehingga ke pusingan berikutnya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment