Posting mengikut label

Wednesday, September 10, 2014

KDYMM: Lahirkan graduan-graduan yang marketable



Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen ke-26 UBD pada hari Sabtu 11 Zulkaedah 1435 bersamaan 6 September 2014 Masehi.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

BETA bersyukur, kerana dapat pula pada pagi ini, bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-26 Universiti Brunei Darussalam.

Terlebih dahulu beta dengan sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Kejayaan ini kita sifatkan, baru sebagai anak tangga pertama untuk mendaki ke tingkat yang lebih tinggi.

Sektor pengajian tinggi adalah nadi pembangunan negara. Kerana itu beta sangat teruja untuk mengucapkan syabas kepada Universiti Brunei Darussalam yang telah mencapai kedudukan dalam QS Asia University Rankings pada tahun ini.

Kejayaan ini menunjukkan UBD adalah semakin matang dan mendapat pengiktirafan antarabangsa. Namun UBD perlu diingat, bahawa dalam pembelajaran dan pendidikan itu tidak ada titik penyudahnya, melainkan semuanya adalah dinamik dan selalu berubah.

Oleh itu beta mengingatkan agar UBD terus berlari, bukannya melangkah dengan langkah longlai, ke arah menempatkan dirinya di antara institusi-institusi tertinggi di dunia. Peringatan ini juga turut ditujukan kepada semua institusi pengajian tinggi di negara ini. Adalah sudah sampai masanya untuk kita mesti bersaing, bukannya setakat menonton orang lain bersaing.

Menyebut tentang persaingan ini, ia tidak mungkin berlangsung tanpa adanya tenaga akademik yang berkualiti tinggi. Kerana itusebagai galakan kepada tenaga akademik tempatan khasnya, beta telah pun memperkenankan Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik Bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam. Skim ini dihasratkan sebagai penghargaan kepada tenaga akademik yang berprestasi cemerlang mengikut piawaian antarabangsa.

Beta ingin menyarankan di sini, supaya hanya tenaga akademik yang benar-benar layak sahaja yang diresapkan ke dalam skim ini.

Beta adalah turut memahami, bahawa bukan semua tenaga akademik itu mempunyai status yang diharap-harapkan. Seperti golongan yang lain juga, mereka itu ada yang dedikasi dan ada juga yang tidak. Begitu juga ada yang rajin dan berwawasan di samping ada juga yang sebaliknya.

Mereka yang tidak rajin dan tidak berwawasan itu mungkin sahaja dapat dilihat sebagai cuma tahun mengajar semata-mata sebagai memenuhi jadual, tetapi selesai mengajar, tidak ada apa-apa yang dibuat. Dalam makna, pada setiap hari cuma rutin mengajar sahaja, sedang selebihnya adalah kosong dan tidak ada apa-apa.

Tenaga akademik yang seumpama ini boleh disifatkan sebagai tidak kreatif. Ia adalah jumud atau beku, tidak boleh menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan ilmu. Kerana itu tidak pelik, jika seseorang itu, walaupun telah berkhidmat berbelas-belas tahun lamanya selaku tenaga akademik namun tiada sebuah pun buku atau kajian dapat dihasilkan.

Selain tenaga akademik, para graduan juga adalah dinilai dengan penilaian yang sama. Mereka juga boleh didapati dalam kedudukan yang berbeza-beza, sekalipun mereka berada di peringkat dan bidang pengajian yang sama. Misalnya, di antara mereka itu ada yang lebih berminat kepada bidang penyelidikan, sementara yang lain pula, tidak atau kurang meminatinya. Di antara kedua-dua kategori ini, sudah pasti, kualiti mereka adalah berbeza.

Menyebut mengenai penyelidikan ini, kerajaan beta telah menyediakan satu Skim Biasiswa Lepasan Ijazah (Graduate Research Scholarship). Ia ditawarkan kepada pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa. Dan pada hari ini, penganugerahan pertama Ijazah Kedoktoran bagi graduan di bawah skim ini akan menjadi kenyataan. Kita ucapkan syabas kepada penerimanya itu.

Beta sangat ingin melihat skim ini dapat membantu perkembangan penyelidikan dan inovasi dalam bidang yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam perkara ekonomi, UBD juga patutlah merancang untuk melahirkan graduan-graduan yang marketable, yang juga mampu berdiri sendiri melalui keusahawanan. Melalui pendidikan, kita juga perlu berubah dan malah berani untuk mengubah: sikap suka menunggu-menunggu pekerjaan, menjadi budaya proakif: suka berkarih dan berbasah bekaring.

Sehubungan ini, The National Entrepreneurship Agenda dalam pendidikan telah pun bertapak di UBD dan telah berjalan dari awal tahun lagi. Ia bertujuan untuk memupuk keusahawanan dari awal pendidikan sampailah ke pengajian tinggi.

Menyebut lagi berkenaan dengan program pendidikan dan penyelidikan, beta telah pun memperkenankan penubuhan Centre for Advanced Material and Energy Sciences yang bertanggungjawab untuk melaksanakan penyelidikan saintifik inter-disciplinary dalam bidang sains material dan tenaga untuk melatih sumber manusia bagi keperluan industri berteknologi tinggi. Beta mengambil maklum, inisiatif ini adalah kerjasama rapat di antara UBD, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan industri.

Ini semua, adalah merupakan langkah ke arah membina kapasiti dan kualiti pendidikan bagi generasi masa kini dan akan datang. Dalam keghairahan ktia menuju matlamat ini, beta sedikit kecewa apabila mendengar, ada khabar-khabarnya dalam kalangan ibu bapa dan penjaga yang masih kurang memberikan perhatian terhadap kedatangan anak-anak |mereka ke sekolah. Sesungguhnya perkara ini amatlah tidak wajar untuk berlaku.

Ini baru mengenai kedatangan, belum lagi lain-lain perkara, seperti mengawal disiplin anak-anak dan memberikan perhatian atau pengawasan terhadap kegiatan-kegiatan di luar sekolah. Jika dalam perkara kedatangan anak-anak pun ibu bapa boleh terlepas pandang, betapa dengan kegiatan-kegiatan mereka yang memang susah untuk dikesan, seperti kecenderungan melayari internet secara bersembunyi-sembunyi, adakah para ibu bapa dan penjaga juga mengambil berat?

Beta secara telus berpendapat, jika para ibu bapa dan penjaga gagal untuk memberikan perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak, maka impian kita dan hasrat negara bagi melihat lahirnya generasi yang cemerlang, tidak akan tercapai.

Oleh itu, semua kita para ibu bapa dan penjaga, perlulah lekas-lekas muhasabah, sama ada ktia sudah menjalankan tanggungjawab kita dengan sempurna, demi untuk satu generasi cemerlang yang terdiri daripada anak-anak kita sendiri.

Akhir kalam, beta mengambil peluang mengingatkan para graduan, supaya mengekalkan identiti kebruneian yang berpaksikan Melayu Islam Beraja. Peliharalah ia, sampai ke generasi turun-temurun.

Beta tidak lupa merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan universiti di atas segala sumbangan dan khidmat mereka. Semoga Allah juga akan membalas mereka dengan ganjaranNya yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: