Posting mengikut label

Wednesday, October 22, 2014

KDYMM: Rapatkan jurang kemewahan dan basmi kemiskinan




Assalamualaikum WarahmatullaahiWabarakaatuh
Bismillahir Rahmanir Raheem

Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Alihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

SEKALI lagi, beta gembira kerana dapat bersama rakan-rakan akrab dan beta seterusnya mengucapkan tahniah kepada Presiden Yudhoyono dan Republik Indonesia sebagai tuan rumah kepada Forum Demokrasi Bali Ke-7.

Kejayaan menganjurkan siri Forum Demokrasi tersebut mencerminkan pandangan jauh Tuan Yang Terutama.

Dalam tempoh 10 tahun menjadi Presiden, TYT telah berjaya memimpin Indonesia ke arah pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang signifikan.

Pilihan raya yang diadakan dan telah berjalan dengan lancar pada tahun ini menunjukkan petanda baik untuk Indonesia dan rantau ini, dan ianya telah membantu meningkatkan keyakinan ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang berterusan di Asia Tenggara.

Beta yakin bahawa di bawah bimbingan bakal Presiden yang baru, Tuan Yang Terutama Joko Widodo, Indonesia akan terus menjadi lambang kemajuan bagi rantau ini, dan beta berharap untuk bekerjasama dengan TYT semata-mata untuk kebaikan rantau ini secara keseluruhannya.

Beta ingin berkongsi beberapa pemerhatian terhadap perubahan landskap serantau sejak tiga dekad yang pada dasarnya mengubah cara kerajaan melibatkan rakyat mereka masing-masing.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rantau ini dan rakyatnya telah menikmati pembangunan pesat dan peningkatan positif dalam aspek kualiti urus tadbir yang mana adalah perlu untuk memenuhi ekspektasi rakyat yang semakin meningkat.

Pada masa yang sama, dunia juga telah mencapai kemajuan yang substantif terutamanya dalam bidang sosioekonomi di mana penduduknya menikmati taraf hidup yang lebih tinggi, penjagaan kesihatan dan pendidikan yang lebih baik.

Di Asia Pasifik, termasuk Asia Tenggara, gambaran keseluruhan adalah sangat mengagumkan.

Hasil pengeluaran rantau ini menyumbang sebanyak 40 peratus daripada pertumbuhan global dan satu pertiga daripada perdagangan dunia.

Bilangan golongan kelas pertengahan yang berkemampuan di rantau ini semakin bertambah dan yang paling penting usaha pembangunan telah berjaya mengeluarkan sejumlah besar rakyat di rantau ini dari belenggu kemiskinan.

Kita telah menyaksikan kemajuan yang baik ke arah mencapai Matlamat-Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) menjelang tahun 2015, yang merupakan petanda baik bagi generasi sekarang.

Beta juga merasa gembira bahawa kerja telah dimulakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan dengan agenda pembangunan transformatif pasca-2015, yang beta percaya akan memberikan faedah kepada generasi akan datang.

Agenda tersebut benar-benar menyarankan betapa pentingnya pembangunan manusia yang inklusif, berpaksikan rakyat dan berdaya tahan.

Trend berkenaan, dalam pelbagai aspek, mencerminkan usaha yang dilaksanakan oleh ASEAN untuk merealisasikan visinya sebagai sebuah komuniti serantau pada tahun depan.

Walau bagaimanapun, Tuan Presiden, beberapa cabaran masih perlu ditangani.

Pencapaian selama 50 tahun yang lalu masih menyisihkan sejumlah besar orang-orang di merata tempat di dunia.

Di sebalik perangkaan pertumbuhan yang mengagumkan dan statistik yang positif, kemiskinan, ketidaksamaan dan ketidakadilan sosial masih wujud.
Walaupun globalisasi telah membawa kemajuan signifikan serta membentuk perkongsian baru, ramai lagi yang masih gagal menangani impak negatifnya.

Pertumbuhan dan pembangunan yang pesat di kebanyakan rantau yang lain juga mempunyai kesan negatif ke atas alam semula jadi.

Cabaran-cabaran tersebut menimbulkan risiko yang besar dan ketidaktentuan kepada kerajaan-kerajaan di rantau ini dan rakyatnya.

Dalam menangani cabaran-cabaran berkenaan, ASEAN mesti bersatu dan mengukuhkan pencapaian yang diperolehinya sejak beberapa dekad yang lalu.

ASEAN perlu menjelaskan apakah matlamat yang hendak dicapai melalui pembangunan yang berpaksikan rakyat dan menunjukkan secara jelas strategi dan program untuk masa akan datang.

Dari aspek politik, keamanan dan kestabilan seharusnya bererti menjamin keselamatan asas rakyatnya.

Dari segi ekonomi pula, pembangunan pesat bukan sekadar meraih manfaat yang berbentuk material tetapi juga merapatkan jurang kemewahan dan membasmi kemiskinan.

Globalisasi perlu menyemai pertumbuhan yang saksama di samping memelihara maruah rakyat.

Dan cabaran-cabaran Abad Ke-21, sama ada dari aspek ketidaksamaan ekonomi, bencana wabak atau jenayah-jenayah merentasi sempadan, memberi kesan secara langsung kepada semua rakyat dan penduduk di rantau ini dan memerlukan mereka melibatkan diri secara membina (constructive) dalam membentuk masa depan mereka.

Bentuk penglibatan berkenaan menghendaki pembangunan politik, ekonomi dan sosial yang menggalakkan interaksi yang lebih meluas antara kerajaan dan rakyatnya.

Ia perlu menghasilkan perkongsian yang aman damai, inklusif dan konsultatif.

Perkongsian tersebut harus mengiktiraf dan menyokong peranan dan tanggungjawab semua pihak yang berkepentingan, serta berasaskan saling percaya, dialog dan konsensus.

Pada dasarnya, perkongsian tersebut adalah sejajar dengan urus tadbir yang baik.

Pada masa ini, ASEAN secara aktif sedang mengambil langkah-langkah yang positif untuk mendekati dan melibatkan rakyatnya.

Terdapat juga penglibatan yang lebih luas bersama sektor swasta, ahli akademik, belia dan masyarakat sivil.

Dialog di antara kerajaan dan komponen-komponen penting dalam masyarakat berkenaan telah menjadi ciri tetap dalam proses ASEAN.

ASEAN memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dalam proses membuat keputusan dan beta percaya bahawa masih banyak yang perlu dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat ASEAN yang berpaksikan rakyat sepenuhnya.

Teknologi boleh digunakan untuk mendengar pandangan-pandangan rakyat dan berkongsi maklumat dengan mereka mengenai bagaimana mereka boleh mendapat manfaat daripada kerjasama serantau.

Sektor kerajaan dan bukan kerajaan perlu bersama-sama menumpukan keutamaan kerja mereka kepada isu-isu yang secara langsung memberi kesan kepada rakyat seperti pengurusan bencana, penyeludupan manusia, dadah dan impak perubahan iklim.

Lebih-lebih lagi sekarang, negara-negara di rantau ini perlu saling memberikan perhatian terhadap kekhuatiran masing-masing dan bekerja secara kolektif untuk kepentingan bersama semua rakyatnya.

Wabillahit Taufeq Wal-hidayah Wassalamu’Alaikum Waramatullaahi Wabarakaatuh.


No comments: