Posting mengikut label

Saturday, October 18, 2014

Tolak keganasan, ekstremisme


MILAN, 17 Okt – Negara Brunei Darussalam mengutuk keganasan dalam semua bentuk dan sama sekali menolak ekstremisme dan radikalisme. Brunei juga menyokong Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2170) dan (2178) baru-baru ini untuk membendung aktiviti kumpulan-kumpulan pengganas.

Pada masa yang sama, Negara Brunei Darussalam juga berpendapat bahawa punca keganasan dan ekstremisme perlu ditangani secara menyeluruh.

Ini ditegaskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah pada sesi pleno kedua Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ke-10 yang diadakan di Pusat Persidangan Milano Congressi, Milan, Itali.

Titah Baginda, cadangan Malaysia untuk menganjurkan Simposium Menangani Radikalisme akan dapat membantu memberikan peluang untuk mengetahui pelbagai aspek untuk memerangi keganasan.

Ke arah itu, Baginda berharap untuk melihat perkongsian maklumat dan peningkatan kapasiti yang lebih banyak di antara agensi-agensi penguatkuasaan serantau dan antarabangsa.

Pada masa yang sama juga, Baginda menggalakkan dialog antara agama diadakan ke arah meningkatkan toleransi dan persefahaman serta untuk menangkis pandangan dan aktiviti-aktiviti ekstremis.

Kebawah Duli Yang Maha dalam titah mula-mula mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi dan kerajaan Itali atas sambutan mesra dan layanan yang baik di mesyuarat tersebut. Baginda seterusnya mengalu-alukan rakan-rakan kongsi baru ASEM iaitu Croatia dan Kazakhstan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah mengimbas kembali bahawa Sidang Kemuncak ASEM bermula pada tahun 1996. Ianya adalah merupakan cetusan fikiran bukan sahaja bagi meningkatkan dialog mengenai hal-hal serantau dan global tetapi juga aspirasi untuk menyediakan peluang yang lebih luas bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua rantau.

Ini adalah jenis kesalinghubungan yang diharap dapat menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan prospek yang lebih baik bagi perniagaan di kedua-dua rantau. Baginda gembira bahawa ASEM terus memberi tumpuan kepada kesalinghubungan, termasuk matlamat untuk mewujudkan semula Laluan Sutera (Silk Road) yang pernah menjadi jalinan perdagangan penting di antara Asia dan Eropah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengambil maklum bahawa ASEM mempunyai pelbagai ahli di samping mempunyai keutamaan masing-masing. Tetapi semua mempunyai komitmen yang sama dalam menangani cabaran-cabaran global yang memberi impak negatif kepada ASEM.

Titah Baginda lagi, dalam ASEM menuju ke arah Agenda Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pasca-2015 dan juga mempertimbangkan satu perjanjian iklim baru tahun depan, sumbangan ASEM sedemikian adalah berharga untuk mendapatkan sokongan terhadap isu-isu tertentu. Di sinilah perkongsian dalam ASEM amat dihargai dalam mempromosikan pemindahan teknologi karbon rendah kepada negara-negara membangun untuk membolehkan ianya lebih mudah diakses oleh semua pihak. Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah melahirkan pendapat bahawa memupuk hubungan di antara rakyat (people-to-people) adalah elemen penting dalam meningkatkan relevansi ASEM kepada masyarakatnya.

Program pertukaran seperti EU Horizon 2020 menawarkan peluang-peluang praktikal dalam pembinaan kapasiti dan pemindahan teknologi yang berharga kepada pelajar-pelajar, kumpulan-kumpulan fikir dan penyelidik-penyelidik di Asia.

Interaksi sedemikian memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk menyumbang kepada perbincangan mengenai cabaran-cabaran di antara rantau dan global yang dihadapi sekarang. Dalam hal ini, Baginda amat mengalu-alukan pelajar-pelajar ASEM ke Negara Brunei Darussalam pada bulan Mei tahun depan untuk menyertai bengkel yang bertujuan untuk menggalakkan keusahawanan.

Di akhir titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa ASEM perlu mengukuhkan manfaat yang didapati daripada kepelbagaian ahli-ahli ASEM, serta memberi tumpuan kepada sinergi dan kepentingan bersama yang mana akan membantu meningkatkan kerja-kerja ASEM ke tahap yang lebih tinggi di dekad yang mendatang.


Sumber - Media Permata

No comments: