Posting mengikut label

Wednesday, October 29, 2014

Titah KDYMM Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1436



Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Hijrah 1436.

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Bismillahir Rahmanir Raheem

Alhamdulillaahi  Rabbil ‘Aalameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Alihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

BETA bersyukur, ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat pula menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1436 dalam keadaan penuh selesa lagi harmoni.

Menyambut dan mengalu-alukan kedatangan awal tahun Hijrah adalah merupakan tradisi kita di negara ini sebagai mengenang semula sejarah hijrah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Peristiwa hijrah adalah peristiwa penuh berkat. Ia bukan dirancang untuk melarikan diri, tetapi ia adalah berlaku dengan perintah dan izin Allah jua, untuk menyelamatkan akidah yang dibawa oleh Nabi kita Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Ia berlaku dengan cara yang amat luar biasa, penuh dengan pelbagai rintangan dan kesukaran. Sekiranyalah bukan kerana pertolongan Allah jua, maka hijrah ini pasti akan gagal di tengah jalan. Apa tidaknya, Nabi dan sahabat Baginda, Sayyidina Abu Bakar adalah nyaris-nyaris tertangkap dan mungkin juga dibunuh oleh musuh, sekiranya mereka itu tidak ditolong dan dilindungi oleh Allah dengan rumah labah-labah dan sarang burung merpati.

Jika umat Islam benar-benar menghayati sejarah ini, maka sudah tentu mereka tidak perlu lagi ke mana-mana untuk mendapatkan pengajaran dan tauladan. Sejarah hijrah sudah sedia penuh dengan pengajaran dan tauladan itu.

Dari peristiwa ini memaparkan kepada kita bagaimana keberanian itu sangat-sangat diperlukan. Begitu juga semangat rela berkorban dan kesetiaan adalah paksinya. Andainya tidak ada keberanian dan semangat rela berkorban serta kesetiaan ini, maka hijrah yang agung itu, pasti tidak akan menjadi sejarah.

Bayangkan, hijrah itu hanya dilakukan oleh dua orang sahaja, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam  dan sahabat Baginda, Sayyidina Abu Bakar, sedangkan musuh sentiasa berkeliaran dan tidak jemu-jemu memburu dan mencari di mana Nabi berada. Tetapi berkat keberanian dan keimanan rela berkorban, maka Allah telah melepaskan mereka daripada bahaya musuh itu.

Nabi dan para sahabat tidak pernah mengenal erti takut dalam menjalani misi mereka. Kerana mereka yakin bahawa Allah adalah tetap bersama-sama dengan mereka.

Konsep ini sangat mustahak dicontohi oleh umat Islam hari ini, berdasarkan banyak sebab yang menguji ketegasan kita dalam kehidupan berugama.

Jika kita tidak memiliki pendirian yang hebat sebagaimana pendirian tokoh-tokoh dalam sejarah hijrah, maka dikhuatiri umat Islam ini akan menjadi umat yang lemah dan terpinggir, sedangkan Allah telah mengiktiraf kita sebagai sebaik-baik umat disebabkan sikap kita yang sentiasa mengajak dan menyuruh orang lain berbuat baik serta melarang daripada melakukan perkara-perkara buruk.

Manakala kita ini berkeadaan lemah dan sentiasa takut untuk menonjolkan kebaikan-kebaikan Islam dan ajaran-ajarannya yang suci, maka bermakna kita adalah sedang meletakkan diri kita bukan lagi sebagai sebaik-baik umat itu.

Ini perlu disedari dalam usaha kita meneladani ajaran-ajaran hijrah. Pada tahun ini, tema sambutan kita adalah berbunyi: “Bersatu Mendokong Undang-Undang Allah”.

Perkataan “Bersatu” itu sangatlah bagus diucapkan. Begitulah juga dengan ungkapan: “Bersatu Mendokong Undang-Undang Allah” adalah satu ungkapan yang cukup bertenaga lagi luhur. Ia perlu disambut dengan sikap berani dan jujur.

Yang dimaksudkan dengan berani itu di sini ialah berani kerana Allah, bukan berani kerana yang lain-lain.

Apapun perkara jika ia disandarkan semata-mata kerana Allah, maka perkara itu amatlah suci di sisi-Nya.

Apa yang penting untuk kita ingat ialah, sebarang niat janganlah kerana yang lain-lain, tetapi bulatkan ia untuk menolong dan memelihara ugama-Nya semata-mata. Nanti akan kita dapati, Allah itu pasti akan menolong kita pula.

Ini adalah janji-Nya. Sesungguhnya janji Allah itu amatlah tepat dan tidak pernah dimungkiri.

Untuk mengakhiri perutusan ini, beta mengucapkan Selamat Menyambut Awal Tahun Hijrah 1436, dengan harapan, semoga Allah akan meletakkan kita dan negara ini dalam ‘inayah dan pemeliharaan-Nya, dengan melimpahkan rahmat berupa keamanan, kesejahteraan dan hidup bersatu padu dalam kemakmuran. Amin Ya Rabbal ‘Alameen.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments: