Posting mengikut label

Monday, April 13, 2015

Jumaat 10 April 2015 Menalaudani Kehidupan Bekas Pejuang Kemerdekaan

Aktiviti Kembara Merdeka 2015 NDP diteruskan lagi dengan menyantuni salah seorang pejuang kemerdekaan yang telah menyertai pejuang-pejuang lainnya dalam menuntut kemerdekaan pada tahun 1962 dahulu. Rombongan NDP yang diketuai oleh TYT. Presiden Saudara. Mahmud Morshidi Awang Othman telah berkesempatan mengunjungi Saudara. Haji Azahari Bin Jais di gerai beliau di Tamu Kianggeh.

Beliau bersama isteri telah berniaga di gerai makanan sejak limabelas  tahun yang lalu sebagai salah satu usaha beliau bagi mencari rezeki . Selepas dibebaskan dari tahanan pada 7 Mac 1975, beliau pernah berkhidmat di Jabatan Penerangan; setelah berhenti dari situ  beliau berusaha sendiri sebagai pemandu teksi .
Meninjau usaha beliau itu, beliau mengakui pendapatan berniaga secara kecil-kecilan sepertinya itu ibarat dapat hari ini untuk modal hari esok , kerana beliau juga terpaksa membayar gaji seorang pekerja tempatan  selain untuk perbelanjaan anak beliau yang pada masa ini sedang menuntut di salah sebuah Pusat Pengajian Tinggi  dan juga menampung kehidupan harian .
"Berniaga gerai makanan di sini, memerlukan kesabaran dan ketabahan, kerana pelanggan tidak begitu ramai" kata beliau sambil menyambung "kecuali hujung minggu seperti hari Jumaat dan Ahad barulah ramai pelanggan yang datang, begitu juga pada hari-hari kelepasan umum ."

Beliau dengan ditemani isteri, seawal pagi kira-kira jam 4.00 subuh sudah  memulakan perniagaan di situ, kerana menyampati pekerja-pekarja khususnya pekerja swasta yang ramai juga datang membeli. Menurut beliau majoriti pelanggan beliau ialah pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh. Bagi menyesuaikan selera pelanggannya maka masakan mereka juga diubah mengikut selera Indonesia.
Beliau menerangkan, mengikut syarat yang dikenakan oleh pihak berkenaan, mereka hanya dibenarkan menjual secara bungkus sahaja atau dalam bahasa biasa "tapau" sahaja. Peniaga tidak dibenarkan menyediakan meja dan bangku untuk pelanggan duduk. "Jadi kadang-kadang pelanggan terpaksa makan duduk sahaja di belakang gerai atau ditepi pagar " tambah beliau.
Dalam pertemuan itu beliau mengusulkan supaya pihak yang berkenaan akan membenarkan mereka menyediakan satu atau dua buah meja dan beberapa buah kerusi walaupun hanya untuk beberapa orang sahaja bagi memudahkan pelanggan mereka makan, kerana tidak semua pelanggan mereka membawa makanan itu pulang malah ada yang terus makan di situ. Bagi menghormati mereka yang semuanya berugama Islam  adalah elok mereka itu disediakan tempat makan.
Selain itu, beliau juga merayu supaya mereka diberikan  bantuan dan sokongan selaku peniaga kecil ini dengan menyediakan dana khas untuk peniaga kecil-kecilan seperti mereka dengan memberikan bantuan kewangan sebagai modal pendahuluan  tanpa bayaran pada jumlah yang bersesuaian atau serendah-rendahnya B$5,000.00 mengikut jenis dan saiz perniagaan . Dengan adanya bantuan berkenaan dapatlah mereka gunakan untuk  membeli peralatan dan kelengkapan yang diperlukan selain sebagai modal pusingan untuk membeli bahan-bahan makanan yang harganya tidak menentu dan mahal.
Selain daripada itu, beliau juga merayu untuk dipertimbangkan supaya diberikan kouta seorang tukang masak berbangsa Indonesia, kerana ramai pelanggan beliau terdiri daripada warga Indonesia.
Dalam hal ini tambahnya, dia pernah memohon tambahan seorang pekerja sebagai tukang masak berkenaan tetapi tidak diberikan kebenaran kerana syarat gerai berkenaan khusus untuk bumiputera dan orang tempatan sahaja, namun kata beliau melihat kepada situasinya beliau sangat memerlukan seorang tukang masak yang mahir dalam masakan Indonesia.
Beliau seterusnya berharap, supaya pihak yang berkenaan akan dapat mempertimbangkan rayuan beliau yag juga turut dikongsikan oleh rakan-rakan beliau di situ. Beliau terus menambah bahawa mereka berniaga di situ bukan untuk mencari kaya tetapi hanya untuk mencari rezeki bagi meneruskan sisa-sisa umurnya selepas keluar dari tahanan. Beliau tidak pernah mengharapkan untuk meminta-minta jauh sekali mengharapkan bantuan sebagai fakir miskin kerana menurut beliau, dia masih mampu berusaha mencari rezeki.
Pada akhir pertemuan beliau sempat menyembahkan Ucapan Selamat Pengantin Diraja dan berdoa semoga kedua mempelai diraja itu bahagia berkekalan hingga ke akhir hayat mereka. Beliau juga menyembahkan menjunjung kasih kerana dikurniakan pencen warga emas.
Melihat kepada kegigihan beliau berusaha berniaga walaupun sudah menjangkau usia 75 tahun, sepatutnya menjadi contoh kepada warga emas yang lain agar berusaha mencari dan menambah rezeki masing-masing tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

No comments: