Posting mengikut label

Wednesday, April 22, 2015

Sebar luaskan sikap pemedulian kerajaan terhadap masyarakat


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 April. - Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan hubungan dua hala di antara pihak kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini meneruskan Program Sua Muka atau 'Personal Contact' ke kediaman Ketua Kampung Perpindahan Mata-Mata, Pengiran Haji Mohd. Salleh bin Pengiran Haji Abd. Rahman.

Rombongan diketuai oleh Pegawai Penerangan sebagai Ketua Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Awang Ali Termizzi bin Haji Ramlli / Ramli serta para pegawai dan kakitangan yang lain di Jabatan Penerangan, JPM.

Dengan  dikendalikan oleh Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan jabatan berkenaan, program tersebut terus menjalinkan kolaborasi yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan yang diharap dapat membina minda kesedaran sivik masyarakat yang menjurus ke arah cintakan agama, bangsa, raja dan Negara, selaras dengan aspirasi kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, program ini berkenaan juga berhasrat untuk  menyebarluaskan sikap pemedulian pihak kerajaan terhadap masyarakat, membarigakan maklumat dan program serta perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung selaras dengan pencapaian dan perkembangan semasa yang dijalankan atau diusahakan oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) dalam sama-sama menjayakan projek atau program yang dirancangkan.

Sehubungan itu, dalam menyahut fungsi Jabatan Penerangan, selaku mata, telinga dan lidah kerajaan, menerusi program ini jua, maklumat-maklumat seperti isu-isu semasa dan dasar kerajaan dapat dikongsikan bersama di samping menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Sememangnya program yang menjurus kepada mendekati orang ramai secara bersua muka adalah masih relevan dalam zaman yang canggih ini kerana ia lebih bersifat ‘personal’  dan interaksi akan lebih berkesan serta dapat memberikan jalinan muhibah yang baik.

Oleh itu, hubungan baik yang terjalin antara warga Perkhidmatan Awam dan masyarakat akan dapat mewujudkan kemakmuran dan keharmonian masyarakat dan negara di mana ia disifatkan sangat  penting dalam  memelihara perpaduan dalam  kehidupan bermasyarakat.

Sifat integriti antara pemimpin akar umbi dan masyarakat setempat adalah penting untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Penerangan sangat prihatin terhadap apa jua perkembangan, kemajuan serta masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Kefahaman mengenai pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat juga adalah sangat penting untuk mengangkat kredibiliti kerajaan di mata masyarakat. Dengan adanya program sebegini ia akan dapat memupuk semangat kekitaan dan bertanggungjawab terhadap negara serta menyemai hubungan yang erat antara kerajaan dengan rakyat - rakyat dengan kerajaan.


Sumber - Pelita Brunei

1 comment:

marikan said...

Pada hemat saya pihak kerjaan sewajarnya turun padang dan bersuamuka denagan mesyrakat dan memeduli akan kelohan mereka.Dengan cara begini saja masyrakat merasa terpeduli dan lebeh mudah menyuarakan hasrat hati mereka