Posting mengikut label

Sunday, June 15, 2008

BELIA PERLU CEMERLANG DI PERINGKAT DUNIA

Belia perlu cemerlang di peringkat dunia
KUALA LUMPUR 31 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu belia negara ini cemerlang di dalam pelbagai bidang hingga diiktiraf di peringkat dunia.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai aspirasi itu golongan belia perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam semua bidang yang diceburi.

''Contohnya dalam bidang sukan kita mahu melahirkan juara peringkat negara dan menjadi atlet terbilang serta juara peringkat dunia,'' katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Belia Negara 2007, di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selain itu, beliau juga mahu golongan berkenaan menceburi pelbagai bidang kejuruteraan seperti elektrikal, petroleum serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

''Kita tidak lagi mahu hanya menjadi jaguh di peringkat kampung, daerah dan negeri, tetapi kita perlu jadi jaguh di peringkat antarabangsa," kata Abdullah.

Dalam pada itu beliau mengingatkan golongan belia tentang cabaran yang perlu dihadapi untuk mencapai sasaran tersebut.

Menurut beliau, hanya mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan sahaja yang dapat bertahan dan terus cemerlang ke peringkat tertinggi.

''Sebagai kerajaan kita berusaha membekalkan anak muda dengan ilmu dan kemahiran secukupnya serta menyediakan peluang yang bermutu.

''Bagaimanapun semua usaha kerajaan itu tidak akan berjaya tanpa penyertaan padu daripada golongan belia sendiri,'' katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan golongan belia supaya sentiasa menjaga diri dan menggunakan tenaga muda untuk melakukan perkara yang berfaedah.

''Belia perlu menjaga diri, jaga pekerti dan perkasakan diri kerana apabila belia perkasa, negara akan berjaya,'' katanya.

No comments: