Posting mengikut label

Wednesday, June 18, 2008

GUNA PELBAGAI PENDEKATAN DEKATI GOLONGAN MUDA

Sekretariat Peremajaan UMNO Guna Pelbagai Pendekatan Dekati Golongan Muda
Posted on Monday, June 09 @ 19:06:50 MYT

Oleh Kazman Kamal

Kuala Lumpur -- Pengerusi Sekretariat Peremajaan Pemuda UMNO, Harrison Hassan berkata pergerakan itu perlu mengenalpasti dan menggunakan pendekatan yang pelbagai bagi mendekati golongan muda untuk meyakinkan golongan ini terhadap perjuangan UMNO.

Menurutnya tidak ada pendekatan atau cara yang khusus bagi menyelesaikan perkara itu selain bertindak turun padang untuk mengetahui punca dan sebab keadaan itu berlaku.

Jelas beliau setiap kumpulan golongan muda mempunyai masalah dan pendekatan yang berbeza antara satu sama lain.

"Untuk mengetahui masalah dan pendekatan yang sesuai dengan mereka, kita mesti turun padang mendekati golongan terbabit. Masalah golongan professional muda tidak sama dengan mahasiswa misalnya. Sudah pasti pendekatan yang diambil juga berbeza.

"Sebab itu sekretariat ini mahu menjadi pemudah cara kepada golongan ini. Dengan cara ini kita akan tahu apa masalah dan apa pendekatan yang sesuai kepada mereka", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Peremajaan UMNO di sini, hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini mengumumkan penubuhan enam sekretariat khas bagi menumpukan perhatian kepada beberapa perkara yang menjadi isu dalam pilihan raya umum lalu.

Enam sekretariat itu ialah Sekretariat Pusat yang diketuai beliau sendiri, selain Sekretariat Pemuafakatan, Sekretariat Peremajaan UMNO, Sekretariat Pembelaan Rakyat, Sekretariat Pembinaan Negara/Bangsa dan Sekretariat Perhubungan Media.

Harrison yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia seterusnya berkata mesyuarat hari ini juga telah menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi membincangkan kaedah terbaik yang boleh digunakan sekretariat terbabit.

Katanya, "Kita telah membuat satu pelan tindakan yang mana fokus kita terarah kepada golongan muda".

Beliau juga menjelaskan tidak ada pertindihan sistem dalam Pemuda UMNO antara sekretariat ini dengan biro yang telah sedia ada.

"Telah dijelaskan tadi sekretariat ini mempunyai peranan yang spesifik untuk mendekati golongan muda tidak kira sama ada golongan professional, mahasiswa, belia, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.

"Ini berbeza dengan peranan Biro Putera yang hanya mendekati golongan muda antara umur 18 hingga 25 tahun. Sekretariat ini juga tidak akan membuat pengkaderan atau mendaftar keahlian seperti yang dilakukan Biro Keahlian dan Daftar Pemilih. Peranan kita spesifik untuk mendekati golongan muda", ujarnya.

Beliau turut menafikan selama ini Pemuda telah gagal memainkan peranan kerana jelasnya pendekatan yang digunakan sebelum ini mungkin kurang sesuai.

Pada masa yang sama tambahnya tiada tempoh serta sasaran tertentu sekretariat ini kerana tugas untuk mendekati golongan muda ini perlu dilakukan sepanjang masa.

Justeru beliau mengalu-alukan apa jua pandangan yang ingin diberikan pelbagai pihak berhubung sekretarat ini.

"Mereka boleh memberikan menyalurkan pandangan menerusi email kepada sekt.remaja@pemuda.com.my, telefon di talian 03-4044 1199atau fax 03-4044 2199", katanya.

No comments: