Posting mengikut label

Sunday, June 15, 2008

BELIA PERLU LIMA TONGGAK UTAMA

Belia Perlu Lima Tonggak Utama
Belia perlu memiliki lima tonggak utama bagi membentuk diri dan generasi yang cemerlang untuk merealisasikan cita-cita menjadikan Malaysia negara gemilang.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kesemua tonggak itu pula mestilah digerak secara tersusun oleh setiap belia itu sendiri.

Salah satu daripada lima tonggak berkenaan katanya, remaja mesti memiliki kekuatan seperti legenda Badang yang merangkumi fizikal dan mental.
“Melalui tubuh badan yang sihat dan mental yang cergas, kita mampu mengharungi apa jua cabaran,” tegasnya.


Beliau mengutarakan perkara itu ketika berucap merasmikan Konvensyen Belia Kebangsaan 2008 sempena Hari dan Minggu Belia Negara 2008, di Hotel Pearl International Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tonggak kedua pula, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Perak itu ialah menuntut belia berusaha secara berkesan untuk menjana kemajuan ke arah melahirkan negara terbilang.

“Tonggak ketiga pula ialah, golongan muda wajar memiliki pemikiran berpengetahuan luas. Mereka yang luas pengetahuannya tidak mudah melatah terutama apabila berdepan dengan cabaran semasa,” ujarnya.

Presiden MBM juga menyatakan, integriti terbaik pula menjadi tonggak keempat yang mesti dimiliki oleh belia.

“Tonggak kelima pula ialah setiap belia perlu memiliki pegangan yang kukuh terhadap agama dan nilai-nilai murni, ujarnya.

Presiden MBM menegaskan, belia perlu sedar bahawa mereka merupakan tonggak utama negara kerana kumpulan ini akan memimpin generasi akan datang.

Justeru, keupayaan dan kebijaksanaan kita dalam menggembeling tenaga belia akan menentukan hala tuju pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.

“Ketahuilah bahawa generasi belia merupakan sumber modal insan terbesar dalam negara ini dan mereka berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya.

Shamsul Anuar juga turut mengingatkan golongan muda bahawa generasi belia yang cemerlang adalah generasi belia yang kreatif dan serba boleh.

Di samping itu katanya, MBM mahu belia negara tergolong sebagai generasi yang subur bakatnya dalam pelbagai bidang dan juga generasi yang mantap daripada segi emosi, intelek, jasmani dan rohani.

“Pelbagai program yang telah dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MBM selama ini terbukti berkesan.

“Ini termasuklah usaha memupuk nilai-nilai murni buat belia khususnya dengan menyediakan peluang secukupnya dalam bidang ekonomi,” jelasnya.

No comments: