PROSES mematangkan politik negara dalam konteks demokrasi memerlukan budaya politik sihat lagi penuh pertanggungjawaban. Ia memungkinkan tarbiyah politik dan sosiolisasi politik bermula dengan institusi sosial seperti keluarga, agama, pendidikan, media massa, sekali gus rakan sebaya.
Tidak hairanlah jika Barisan Nasional (BN) ingin mengembalikan prestasi cemerlang 2004 pada pilihan raya umum, maka dasar proaktif mensosialisasikan sasaran pengundi dan rakyat jelata mesti disegerakan.
Agensi kerajaan seperti Kemas, Jabatan Penerangan, media massa dan sebagainya mesti memainkan peranan aktif melaksanakan kempen sosialisasi politik sesuai budaya politik memupuk kader dan kematangan politik.
Apakah golongan muda kita ditarbiyahkan dan disosialisasikan dengan pengertian memperoleh kerakyatan dan warga negara yang baik, memupuk nilai murni membina negara seperti bertanggungjawab, patriotisme dan rasa kecintaan kebanggaan negara sebagai rakyat yang setia lagi bertanggungjawab?
Apakah sumbangan kita terhadap proses membina negara dan melestarikan Misi Nasional dan pencapaian Wawasan 2020?
Siapakah perlu melaksanakan budaya politik yang bersifat terbuka dan mementingkan perkasa sosialisasi politik? Adakah sistem parti BN atau kerajaan dengan bantuan agensi pelaksana masing-masing?
Namun, pada hemat saya, sudah sampai masanya BN sebagai pemerintah merancakkan proses tarbiyah politik dalam konteks sosialisasi politik dengan bukan hanya pengajaran kursus sivik, bahkan mengasah dan mengasuh mereka bagaimana berfikir.
Pemikiran kritis mengambil kira bagaimana (kaedah berfikir) bukan apa hendak difikirkan dan sekali gus, pengalaman lebih diutamakan sebagai proses pembelajaran bukan sebaliknya.
Bahkan, kajian memperlihatkan generasi muda banyak memperoleh pengetahuan politik daripada sekolah berbanding pengalaman luar.
Nilai kewarganegaraan yang baik bermula dan dipupuk di sekolah, dalam keluarga dan kalangan rakan sebaya.
Begitu juga, rakan sebaya menerusi kelab belia dan persatuan sosial, keagamaan dan lain mampu membina modal insan dan tarbiyah politik jika program proaktif disemarakkan dengan konsisten.
Jika budaya politik yang menggalakkan pemikiran terbuka, maka sosialisasi politik adalah agenda utama BN dan perlu dilaksanakan segera.
Bagaimanapun, jika agensi kerajaan bertanggungjawab gagal melaksanakan peranan mematangkan politik dalam bentuk tarbiyah politik dan pemupukan nilai, kepercayaan, perilaku politik sesuai dengan cabaran Wawasan 2020, maka kita khuatir kestabilan politik akan terjejas.
Justeru, golongan sasaran khususnya belia dari semua kaum mesti diperkasakan budaya politik mereka dengan kempen sosialisasi politik berkesan sambil menjadi warga negara patriotik lagi menghayati cabaran Wawasan 2020, sekali gus memaparkan nilai warga negara yang toleran, matang dan demokratik bahkan lebih mementingkan negara bukan sebaliknya.
PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF, Pusat Pengajian Komunikasi, USM Pulau Pinang.
www.belia.org.my |
No comments:
Post a Comment