Posting mengikut label

Wednesday, February 18, 2015

64 kes denggi dilaporkan


BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Sejumlah 64 kes penyakit demam denggi talah dilaporkan sejak Januari hingga 13 Februari.

Jumlah tersebut adalah tinggi berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas di mana hanya 16 kes sahaja yang dilaporkan. Bagaimanapun situasi ini adalah masih terkawal.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan di sini berkata, dalam pada itu, jumlah kes demam denggi di sepanjang tahun 2014 ialah 436 kes, berbanding dengan 416 kes bagi tahun 2013.

Penyakit demam denggi adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk Aedes yang mudah membiak di dalam takungan air sama ada di dalam atau di luar rumah.

Antara tempat takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes ialah pasu-pasu bunga, longkang-longkang yang tersumbat dan botol-botol plastik dan bekas-bekas tayar yang digunakan sebagai gubahan landskap; di dalam tempat-tempat takungan air yang tidak tertutup rapat seperti tangki air, baldi, tajau dan sebagainya serta sampah sarap yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong, bekas-bekas tayar yang terbiar, botol-botol kosong dan bekas kotak makanan.

Kenyataan itu berkata, antara tanda-tanda jangkitan penyakit denggi termasuklah demam panas, sakit kepala, ruam kulit, sakit otot dan sendi serta sakit di bahagian belakang kelopak mata.

Ada kalanya pesakit boleh juga mengalami tanda-tanda yang lebih teruk seperti sakit perut, mual dan muntah serta masalah pendarahan.

Bagi mencegah dan mengawal penyakit ini, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memeriksa dan menjaga persekitaran kebersihan rumah dan bangunan masing-masing untuk memastikan tidak ada tempat atau bekas yang boleh menakung air dan menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes.

Menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan membuang takungan air dan mencuci bekas-bekas tersebut dengan bersih untuk memusnahkan sisa-sisa telur nyamuk. Ini adalah kerana telur-telur nyamuk boleh bertahan di tempat yang kering selama enam bulan dan sebaik sahaja telur-telur tersebut terdedah kepada air, telur-telur nyamuk boleh menetas dalam masa tujuh hari.

Membuang sampah sarap secara kerap dan teratur terutama sekali sampah sarap yang boleh menakung air, sentiasa menjaga dan memastikan kebersihan persekitaran dan segera mendapatkan rawatan di pusat-pusat atau klinik-klinik kesihatan yang berdekatan jika mengalami tanda-tanda penyakit seperti yang nyatakan itu.


Sumber - Media Permata

No comments: