Posting mengikut label

Thursday, February 12, 2015

Dialog kupas sejarah Brunei


Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Pusat Sejarah Brunei dengan kolaborasi Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS), hari ini, telah mengadakan dialog bagi mengupas dan membincangkan beberapa topik sejarah dalam kesultanan Brunei yang menjurus kepada unsur politik, kepemimpinan dan semangat nasionalisme.

Dialog yang berlangsung di Dewan Auditorium MSPSBS di Berakas itu dihadiri oleh Pegawai Sejarah Kanan, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi Pusat Sejarah Brunei, Hajah Fatimah binti Asgar, para pegawai Pusat Sejarah dan penuntut-penuntut.

Pemangku Pengetua MSPSBS, Dayang Zabaidah binti Tuah ketika menyampaikan ucapan berkata agenda utama projek di antara Pusat Sejarah dan maktab berkenaan adalah untuk mengenalkan, mendedahkan dan menerapkan sejarah negara kepada masyarakat sebagai saranan di masa hadapan.

Menurutnya, projek seperti ini akan dapat melatih dan mendidik pelajar untuk membuat penyelidikan secara bersendirian mahupun berkumpulan dan sekali gus meningkatkan kemahiran bertutur, membuahkan idea dan keyakinan diri para peserta apabila berhadapan dengan orang ramai.

“Dengan adanya inisiatif sebegini, ia akan memberikan kesan positif kepada pelajar dan belia untuk menambahkan ilmu pengetahuan khususnya sejarah negara kita dan secara tidak langsung menanamkan semangat patriotisme dan perasaan kecintaan kepada negara di hati mereka,” ujarnya lagi.

Dialog bertajuk “Pendudukan Tentera Jepun di Brunei Darussalam 1942-1945” itu menampilkan tiga ahli panel yang terdiri daripada para pelajar maktab iaitu Dayang Aimi Iffah Radhiah binti Abdullah Zulhilmi, Dayang Nur Nadhirah Noor binti Hanizam dan Awang Arif Azhan bin Besar, serta dipengerusikan oleh Dayang Nor Amirah Aziyah binti Hasdy.

Sejurus selepas sesi dialog, majlis turut menyaksikan tayangan video Pendudukan Tentera Jepun di Brunei 1942-1945 diikuti dengan sesi soal jawab dan rumusan yang disampaikan oleh Haji Muahimin bin Haji Mohamed.

Tetamu kehormat seterusnya menyampaikan sijil kepada barisan pelajar Tingkatan 6 yang terlibat dalam projek dialog sejarah itu.

Projek dialog ini diadakan dalam tiga fasa secara berperingkat bermula fasa pertama hari ini diikuti dengan fasa kedua pada 10 Mac 2015 dengan tajuk “Perang Kastila” dan fasa ketiga pada 26 Mei 2015 dengan tajuk “Kenali sejarah kitani”.


Sumber - Media Permata

No comments: