Oleh Imelda Farrah Zohre HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Dalam konteks bernegara bangsa, generasi muda perlu melihat, mencontohi dan mempelajari dari sejarah lampau negara dan bangsa Brunei, kerana sejarah silam bangsa mempunyai catatan kegemilangan, kebijaksanaan, kesilapan dan kegagalan.
“Oleh yang demikian, sikap tidak peka generasi muda kepada perkara yang berlaku di masa lampau yang dilalui oleh bangsa dan negara menjadikan mereka tidak dapat mencapai kedewasaan bernegara.”
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, menambah sejarah negara bangsa itu perlu diketahui oleh setiap orang sebagai ‘balan’ untuk melangkah ke hadapan.
Bangsa yang tidak mempunyai catatan sejarah adalah bangsa yang sudah kehilangan harga diri dan arah tujuan dalam mengharungi arus pembangunan dunia masa kini yang penuh dengan persaingan dan cabaran, tekan Yang Berhormat Pehin ketika berucap di Majlis Pelancaran Buku dan Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Cerita Bergambar Sejarah Brunei yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah, di sini, petang ini.
Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata sejarah perlu terus dicatat dan direkodkan, supaya fakta sejarah yang sahih dan benar itu dapat dimasyarakatkan, disebarkan dan diajarkan untuk kesinambungan bangsa dan tamadun Negara Brunei Darussalam, salah satu daripadanya adalah menerusi penerbitan buku sejarah seperti usaha Pusat Sejarah Brunei hari ni.
“Kita perlu terus mempergiatkan penerokaan, pencarian penyelidikan dan penulisan sejarah bangsa dan negara kerana sejarah itu sentiasa berkembang dan merupakan sebagai perjalanan bangsa, bersesuaian dengan tema majlis petang ini iaitu ‘Buku Sejarah: Menjana Masa Depan’,” ujarnya lagi.
Pusat Sejarah Brunei sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelidik, mengumpul, menyimpan, mendokumentasi dan menerbitkan persejarahan Brunei, tambah beliau, hendaklah terus mempertingkat dan menyebarluaskan persejarahan itu.
Perkara ini tidak hanya terbatas melalui media cetak sahaja malah perlu mencari medium lain yang lebih mesra dengan orang ramai sebagai satu media baru yang bersifat inovatif dan kreatif supaya ia mudah menyerap ke dalam minda setiap lapisan masyarakat di negara ini terutama sekali generasi muda yang akan menjadi peneraju masa hadapan.
“Kita ingin melihat generasi muda berwawasan di Negara Brunei Darussalam celik sejarah dengan meminati, mencintai dan menghayati sejarah bangsa dan negara,” tambahnya lagi.
Menyentuh mengenai lapan buah buku bergambar hasil daripada Menulis Cerita Bergambar Sejarah Brunei 2014, yang dilancarkan di majlis itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa penerbitan buku itu adalah satu senario yang baik dalam usaha meresapkan sejarah Brunei dengan mempelbagaikan medium dan pendekatan percetakan dan langkah-langkah itu perlu diteruskan supaya sejarah Brunei itu mudah difahami, dengan menerokai medium-medium baru yang bersifat media terkini.
“Dalam waktu yang sama Pusat Sejarah Brunei juga perlu melihat kembali atau mencari saluran dan gaya persembahan untuk menyampaikan maklumat berkenaan kepada khalayaknya dengan berkesan.
“Saya percaya ramai yang meminati sejarah Brunei ingin menatap hasil kajian dan penulisan baharu. Hasil kajian itu nanti dapat menambah kefahaman masyarakat tentang sejarah Brunei bagi mengukuhkan lagi semangat jati diri dan cintakan negara,” ujar beliau.
Sumber - Media Permata
No comments:
Post a Comment