Posting mengikut label

Tuesday, February 10, 2009

NDP sedia tingkatkan penglibatan dalam operasi membantu mangsa banjir

LIMBARUH HIJAU 10 FEBRUARI 2009 - PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) kelmarin menyeru mangsa-mangsa banjir terutama di kawasan-kawasan pendalaman yang terjejas agar terus bersabar menghadapi musibah yang sedang mereka alami.

Ayahnda Yasin Affandy dalam satu kenyataan kepada Aspirasi-NDP berharap mangsa-mangsa banjir dan penduduk-penduduk yang turut terjejas akan terus bersabar dan dalam masa sama menaruh keyakinan kepada kesungguhan pihak kerajaan membantu meringankan penderitaan yang sedang mereka alami terutama yang tinggal di kawasan-kawasan pendalaman.

Ayahnda Yasin Affandy membuat kenyataan tersebut berikutan maklumat-maklumat yang diterima NDP yang mendakwa masih terdapat sebilangan besar penduduk-penduduk pendalaman di kawasan-kawasan yang terjejas oleh kejadian banjir besar, seperti di Mukim Ukong, Penapar Tanjung Maya, Kampong Bukit, Rambai dan lain-lain hingga ke hari ini belum menerima sebarang bantuan.

Walaupun di beberapa kawasan pendalaman tersebut tidak secara langsung di landa banjir namun jalan-jalan raya utama menuju ke kawasan-kawasan terbabit telah di tenggelami air. Bekalan letrik dan air juga terputus di beberapa kawasan-kawasan terbabit.

Dengan terputusnya sistem perhubungan darat sejak kejadian banjir besar berlaku seminggu lepas menyebabkan ramai penduduk-penduduk di kawasan-kawasan terbabit susah untuk keluar mendapatkan bekalan makanan yang di perlukan.

Sebilangan penduduk yang terjejas mendakwa sejak kejadian banjir melanda hingga kelmarin mereka masih lagi menunggu bantuan untuk sampai ke kawasan-kawasan mereka.

Ada juga yang rasa tersinggung apabila mendapat tahu 'penderitaan' mereka di ambil kesempatan dijadikan bahan berita dan publisiti si penderma dan pihak-pihak tertentu, berjabat-jabat tangan di bawah sinaran lampu kamera, sedangkan mereka sudah hampir tujuh hari tujuh malam menderita tidak nyaman tidur, tidak berletrik, tidak menerima bekalan air dan kurang bekalan makanan.

Sehubungan dengan itu Presiden NDP meluahkan harapan agar penghulu-penghulu, ketua-ketua kampong, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampong dan Mukim serta Yang Berhormat-Yang Berhormat agar dapat meningkatkan usaha dengan turun padang, menyingsing lenggan membantu mereka yang sedang menghadapi musibah kejadian banjir tersebut.

"Dalam hal ini NDP akan terus bersedia menghulurkan khidmat bakti kepada agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan yang lain yang telah bertungkus lumus membantu mangsa banjir sejak kejadian banjir berlaku".

"NDP telah menyediakan 4 buah bot sumbangan dua orang ahli Majlis Tertinggi NDP dan menugaskan beberapa sukarelawan untuk membantu operasi menghantar bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir selain menolong mengangkut penduduk-penduduk untuk keluar dari kawasan-kawasan terbabit".

"Jika di perlukan NDP akan bersedia meningkatkan lagi penglibatannya dalam operasi tersebut bagi mempastikan tidak seorang pun penduduk yang perlu bantuan terpinggir", ujar Ayahnda Yasin Affandy.

No comments: