Posting mengikut label

Thursday, October 10, 2013

Ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN 2015: Keazaman politik perlu lebih kukuh


KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum
Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam berkenan menyertai sesi bergambar ramai bersama para pemimpin
yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke 23, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
Oleh:  Pg. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2013 bertitah menjelaskan bahawa fokus Sidang Kemuncak ASEAN kali ini adalah perkembangan Komuniti ASEAN, hubungan luar ASEAN dan perencanaan masa depan ASEAN.

Bertitah ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-23 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyatakan bahawa pada keseluruhannya, gambaran rantau ASEAN adalah sangat menggalakkan, tetapi memandangkan hanya tinggal dua tahun sahaja lagi bagi mencapai Komuniti ASEAN 2015, rantau ASEAN masih menghadapi cabaran-cabaran dalam melaksanakan Peta Jalan Komuniti. 

Khusus mengenai komuniti ekonomi, Kebawah DYMM menambah bahawa mengambil kira realiti ekonomi global semasa, ASEAN perlu terus memastikan bahawa ianya mengekalkan kestabilan kewangan serta menjadi sebuah destinasi yang menarik dan kompetitif untuk perdagangan dan pelaburan.

Oleh itu, baginda menyarankan ASEAN untuk terus bekerjasama dalam bidang-bidang pemudah cara perdagangan dan logistik bagi memudahkan cara untuk melaksanakan perniagaan di rantau ini.

Sejak Sidang Kemuncak yang lalu, baginda mengambil maklum bahawa terdapat perkembangan di dalam bidang tersebut, termasuk pengenalan lorong imigresen ASEAN dan kad pengembara perniagaan; menggalakkan perjalanan visa bebas ASEAN; dan mendukung celik kewangan dan inisiatif-inisiatif bagi mengembangkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Baginda seterusnya menyatakan bahawa pada keseluruhannya, ASEAN perlu menunjukkan keazaman politik yang lebih kukuh dalam merealisasikan matlamat-matlamat Komuniti sebelum 2015.

Mengenai ASEAN selepas 2015, baginda bertitah mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Presiden Republik Indonesia di atas cadangan-cadangan bernas, seperti melipatgandakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN dan mengurangkan separuh dari peratus penduduk yang hidup dalam kemiskinan sebelum 2030.

Baginda juga mengucapkan terima kasih kepada TYT Perdana Menteri Republik Singapura di atas idea-idea untuk memperbaiki prosedur-prosedur kerja ASEAN seperti kajian semula institusi-institusi ASEAN dan hubungan luar.

Dalam hubungan ini, baginda mencadangkan supaya Majlis Koordinasi ASEAN menimbangkan idea-idea tersebut dalam merangka wawasan selepas 2015 (Post-2015 Vision) untuk rantau ini.

Terdahulu dari itu baginda mula-mula mengalu-alukan pemimpin-pemimpin ASEAN dan melahirkan penghargaan di atas sokongan-sokongan mereka kepada Brunei Darussalam, selaku Pengerusi ASEAN 2013.

Selepas Sesi Plenari, baginda bersama-sama dengan Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN beredar ke Ruang Diraja untuk menikmati Santap Tengah Hari.

Juga berangkat ke Santap Tengah Hari berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-23 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan bermula hari ini 9 hingga esok, 10 Oktober dengan bertemakan 'Rakyat Kita, Masa Depan Kita Bersama' (Our People, Our Future Together)' yang menekankan pentingnya peranan orang ramai dalam merealisasikan aspirasi Komuniti ASEAN dan peranan rakyat dalam negara-negara anggotanya bagi memajukan kerjasama di bidang-bidang politik, keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Sidang tersebut dihadiri oleh 10 Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN, pemimpin-pemimpin lapan Rakan Dialog termasuk China, Jepun, Republik Korea, India, Rusia, Australia, New Zealand dan perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setelah menyandang jawatan Pengerusi ASEAN dari Januari hingga Disember 2013.

Selain daripada Kemuncak ASEAN ini, terdapat Kemuncak ASEAN dan Rakan Dialog - China, Jepun, Republik Korea Ke-16 dan Kemuncak Ke-16 ASEAN + 3 diadakan 9 Oktober, manakala pada 10 Oktober diadakan Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-11, Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat; Kemuncak Asia Timur Ke-8 dan Kemuncak ASEAN-PBB Kelima dan Majlis Penutup Rasmi dan Penyerahan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN seterusnya kepada Republik Kesatuan Myanmar.

Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi Bergilir ASEAN sejak 1 Januari tahun ini. Sidang Kemuncak ASEAN Ke-23 ini amat bermakna akan memberi peluang para pemimpin untuk mengemukakan agenda ASEAN dalam mengukuhkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan mendorong pembinaan Komuniti ASEAN dan akan menetapkan pedoman bagi kerjasama antara negara-negara ASEAN.

Sidang Kemuncak pertama bulan April lepas, pemimpin negara-negara ASEAN telah membincangkan dan melaksanakan Piagam ASEAN, mempercepat proses pembinaan Komuniti ASEAN, membincangkan peranan ASEAN dalam pemulihan ekonomi dan pembangunan yang berterusan dan kaedah menangani cabaran global, seperti perubahan iklim.

Ini merupakan sidang kali keempat Negara Brunei Darussalam, selaku Pengerusi ASEAN, sebelum ini Negara Brunei Darussalam telah menghoskan Sidang Kemuncak pada 1989, 1995 dan 2001.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: