Sekapur Sireh
Teks
ini ialah transkrip ucapan TYT Presiden NDP pada majlis Sambutan Hari Raya Edul
Fitri 1434H dan Sambutan Ulang Tahun ke 8 penubuhan Parti Pembangunan
Bangsa(NDP) dianjurkan oleh Badan
Perhubungan Belait pada 1 September 2013 bersamaan 24 Syawal 1434H.
Alhamdulillah,
Biro Penerangan dan Hal Ehwal Awam telah mengambil inisiatif membukukan ucapan
ini yang telah disunting bagi
memperjelas lagi isu-isu penting yang disentuh sesuai untuk terbitan dan
tatapan pembaca.
Pada
saya, intipati ucapan Presiden ini
didengari sebagai amat penting untuk dihayati seluruh ahli-ahli parti,
dan bukan sekadar 150 orang hadirin pada malam itu. Walaupun barangkali pahit
bunyinya, namun mudah-mudahan ianya akan sedikit sebanyak menjadi ubat dan penawar kepada penyakit yang dihidapi oleh Negarabangsa yang tercinta
ini.
Disamping
itu semoga teks ini dapat mencerahkan
kesamaran isu-isu berkaitan yang disentuh disamping menyuntik semangat
ahli-ahli parti untuk terus istiqamah
didalam perjuangan menegakkan amar makruf nahi mungkar.
Sekian,
Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum WBR.
Ahmad Hj. Timpus
Ketua
Biro Penerangan Dan Hal Ehwal Awam
Parti
Pembangunan Bangsa (NDP)
Di
Limbaruh Hijau,
Simpang
323, Jalan Jerudong
Brunei
Darussalam
24
Syawal 1434H / 01 September 2013.
Transkrip
Ucapan Presiden Parti Pembangunan Bangsa(NDP), Sdra. Mahmud Morshidi Othman,
pada majlis Sambutan Hari Raya Edul Fitri 1434H dan Sambutan Ulang Tahun ke 8
penubuhan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Peringkat Daerah Belait, dianjurkan oleh Badan Perhubungan Belait pada 1 September 2013 bersamaan 24 Syawal 1434H.
BISMILLAHIR RAHMANIR
RAHIM
Alhamdulillahirabbil
‘alamin. Wassalatuwassalam Ala ashrafil mursalin, Wa'ala alihi wassahbihi
Ajmain. Fi Kulli Lamhatin Wanafasin ‘Adada Mawasi'ahu Ilmuullah.
Yang Dihormati dan
Yang Berusaha,
Kekanda Pg Hj Zainal
Pg. Talib, Naib Presiden NDP Belait, selaku Pengerusi Majlis Ramah Mesra
Aidilfitri peringkat Perhubungan Daerah,
Yang Dikasihi Ahlil
Bait kekanda Mantan Naib Presiden Belait dan Penasihat NDP, Awang Sulaiman bin Metarshad, yang berkesudian
menjadi tuan rumah pada majlis malam ini,
Yang Dikasihi kekanda
Timbalan Presiden, Haji Juned bin Haji Ramli dan adinda Naib Presiden
Temburong, Awang Hj Zaini bin Bakar,
Yang Dihormati,
kekanda Pengerusi Tetap, Haji Abdul Rahman bin Mohd. Yusof dan Timbalan
Pengerusi Tetap Ayahanda Hj Mahdi bin Hj Md Suhaili,
Yang Dihormati,
kekanda Haji Ismail bin Ibrahim, ahli Lembaga Penasihat,
Ahli-Ahli Majlis
Tertinggi,
Ahli Jawatankuasa
Badan Perhubungan Belait,
Para tetamu dan warga
NDP yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarkatuh.
Terima
kasih atas kehadiran semua, terima kasih juga atas ucapan alu-aluan Naib
Presiden NDP Belait kekanda Pg Hj Zainal
Pg. Talib dan ucapan nasihat Mantan Naib Presiden Belait yang juga ahli
Lembaga Penasihat Parti Pembangunan Bangsa (NDP), kekanda Awang Sulaiman
Metarshad yang telah menyuntik semangat
kita semua untuk terus memperkasa NDP.
Sewaktu-waktu
dikesempatan yang ada, saya berharap Naib Presiden Belait Kekanda Pg Hj Zainal
dan Kekanda Sulaiman Metarshad, akan dapat menyusun satu program lain bagi
membolehkan kitani bermuzakarah dan
sembang-sembang panjang dalam
suasana lebih selesa bertujuan bagi memberikan kesempatan kepada pimpinan dan
ahli NDP Belait mengongsikan pandangan-pandangan mengenai isu-isu semasa samada
menyangkut kepentingan parti atau negara.
Bertitik
tolak dari situ, kitani teruskan kerja
besar kitani untuk memperkasa NDP hingga berupaya menggalas misi menjadi
"power base" kepada Kebawah DYMM. InsyaAllah.
Dirgahayu NDP Ke 8
Semalam
31 Ogos 2013 adalah Ulang Tahun Ke-8 penubuhan
Parti Pembangunan Bangsa (NDP). Petang kelmarin juga Markas Pusat telah
mengadakan Majlis Doa Selamat yang diselajurkan dengan Majlis Tahlil dan Doa
Arwah, bagi mengenang kembalinya kerahmatullah ahli-ahIi parti dan
pejuang-pejuang kemerdekaan dari dahulu lagi samada dari kalangan
Kerabat Diraja atau rakyat biasa. Juga dipanjatkan doa buat seluruh kaum
keluarga kitani yang telah mendahului kita semua. Kebetulan pula, salah seorang
ahli Pro Tem NDP baru saja kembali ke
rahmatullah pada petang 18 Ogos 2013 iaitu Pg. Haji Abu Bakar bin Pg. DP. Hj.
Mohamad. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka itu semua. Amin.
31
Ogos adalah salah satu tarikh yang
nostalgik buat NDP kerana tarikh keramat 31 Ogos 2005 itu adalah tarikh
penubuhan Parti Pembangunan Bangsa (NDP). Kita bersyukur, kelulusan pendaftaran
penubuhan NDP telah melalui proses yang amat cepat iaitu hanya memakan masa
lebih kurang enam bulan termasuk lebih kurang dua bulan urusan pembetulan
perkara-perkara berkaitan teknikal, berbanding penubuhan parti-parti politik
sebelum ini.
Alhamdulillah,
ketika proses pendaftarannya, parti tidak banyak menghadapi kesulitan kecuali
menyangkut pindaan pada perkara-perkara berkaitan teknikal, umpamanya teguran dari Pendaftar
Pertubuhan (ROS) mengenai nama parti supaya diganti dengan nama baru. Dalam
perlembagaan asal nama parti itu menyebutkan "Parti Pembangunan Rakyat Brunei"
(PPRB).
Ingin
saya kongsikan kisah menarik mengenai perkara ini. Sebaik Sdra. Hj Aminorashid
Hj Ghazali (Setiausaha Pro Tem NDP) menerima arahan ROS berkaitan pindaan pada
nama parti supaya dibuang sebutan PRB dihujung singkatan namanya,
beliau terus menelefon saya. Saya minta
supaya diberikan sedikit masa untuk
memikirkan ganti namanya. Selang beberapa minit selepas saya bercakap dengan
Sdra. Hj. Aminorashid itu, saya menerima panggilan talefon pula daripada Puan Hajah Saemah Kepli Ketua Himpunan Wanita
(Pro Tem) (HAWA) memaklumkan perkara yang sama.
Ketika
saya bercakap dengan Puan Hjh Saemah itu saya berada di airport KLIA sedang
bersiap-siap untuk terbang ke Miri menemui teman-teman Pro Tem. Lalu saya
tanyakan padanya apa tah baiknya ganti nama pada PPRB tersebut. Secara spontan
Puan Hajjah Saemah menjawab "kenapa inda guna nama PARTI PEMBANGUN
BANGSA (PPB) abang aji". Saya
setuju lantas memaklumkan pada Sdra. Hj Aminorrashid supaya memaklumkannya
kepada ROS akan perubahan pada nama tersebut.
Kemudian
datang lagi isyarat ROS, bahawa initial PPB tersebut boleh pula disalah ertikan
kepada Peoples' Party Brunei. Berikutan itu, kita pun menterjemahkan ke Bahasa
Inggeris, Parti Pembangunan Bangsa
sebagai "National Development Party" ringkasnya NDP dan
terjemahan nama parti itu ke Bahasa Inggris mendapat persetujuan ROS. Bermula
dari situ diperkenalkanlah singkatan initial NDP. Maka lekatlah singkatan Parti
Pembagunan Bangsa Brunei itu dikenali sebagai NDP hingga sekarang dan
selamanya, Insya Allah.
Demikian
juga saudara saudari sekalian, berlaku
arahan supaya ditukar warna latar bendera Sang Setia dan lambang parti daripada
warna asal, iaitu merah kepada warna lain. Lalu kita memilih warna hijau pucuk pisang. Warna kuning
keliling bendera Sang Setia dan lambang parti kekal begitu. Walau bagaimana pun
taarif warna pada bendera parti, Hijau
dan Kuning tetap melambangkan semangat
juang kitani untuk menegakkan ‘amar maaruf nahi mungkar', simbol kecintaan
kitani terhadap kedamaian sejagat dan ketulusan kitani menyukung dan mendukung
Institusi Kesultan Melayu Islam Brunei. Demikian juga lambang NDP yang
membentuk huruf fa fa sebagi titisan minyak turut diluluskan ROS.
Rasional
kepada perubahan-perubahan teknikal itu ialah, bagi mengelak apa-apa jua
persamaan sama ada pada nama atau simbol pada NDP dengan parti politik yang telah diharamkan
iaitu Parti Rakyat Brunei (PRB). Larangan seumpama ini kita terima dengan
terbuka kerana ia juga adalah amalan biasa bagi kebanyakan negara. Kita akur
dengan arahan-arahan perubahan itu.
Saat-Saat Kelulusan NDP
Seterusnya
ingin saya kongsikan pada saudara saudari sekalian peristiwa disaat-saat
kelulusan pendaftaran NDP pada 31 Ogos 2005.
Kira-kira jam 3.30 petang pada tarikh tersebut, Sdra.Hj. Aminorashid telah menerima panggilan telefon dari seorang pegawai kanan ROS (Tuan
Yaakub bin Haji Jeludin) memaklumkan pendaftaran NDP telah mendapat perkenan
dan meminta Haji Aminorashid datang ke
Pejabat ROS (Police HQ, Gadong) membawa
bersama BND 200.00 bagi tujuan pendaftaran NDP.
Ketika
itu Sdra. Hj. Aminorashid berada di
Tutong dan memaklumkan bahawa mungkin beliau tidak sempat datang ke Ibu Pejabat
ROS di Gadong sebelum pejabat ditutup memandangkan beliau masih ada urusan.
Beliau memohon untuk datang pada hari lain.
Tuan Yaakub mendesak supaya beliau
datang juga pada hari tersebut "walau pun lambat, kami
menunggu" tegas Tuan Yaakub.
Apabila
sampai jam 4.00 petang Hj. Aminorashid belum dapat bergerak dari Tutong,
beliau lalu menelefon Sdra.Pg. Hamzah bin Pg Salleh
mengarahkannya bekejar ke pejabat ROS di Ibu Pejabat Polis Diraja di Gadong dan
membawa bersama BND 200.00 untuk pendaftaran NDP. Pg. Hamzah sampai di Pejabat
ROS kira-kira jam 4.20 petang dan menyelesaikan urusan pembayaran pendaftaran.
Pada resit pendaftaran NDP itu
tertulislah no resit rasmi Bilangan : D0074707 bertarikh 31 Ogos 2005 dibawah daftar pertubuhan. Sejak
saat itu, rasmilah penubuhan NDP.
Tersentuh Dengan Perkenan Kebawah DYMM
Seperti
yang saudara saudari sekalian ketahui, pimpinan top five Pro Tem NDP terdiri
daripada bekas orang-orang tahanan politik (ex
detainees) iaitu, Presiden Pak Yasin Affandy, Timbalan Pres. saya sendiri,
Naib Presiden Brunei Muara Pak Omar Tamin, Naib Presiden Belait Cikgu Sulaiman
Matarshad dan Naib Presiden Tutong Pak Hj Hanafi Daud.
Atas
perkenan Kebawah DYMM meluluskan pendaftaran NDP ini membuat kami semua begitu
tersentuh. Kami seperti antara percaya
dan tidak bahawa senarai jawatankuasa Pro Tem dari kalangan top-five itu tiada halangan sedangkan
pada mulanya kami beranggapan bahawa
halangan besar untuk kita menubuhkan NDP ialah kerana terdapatnya kalangan
bekas-bekas tahanan yang membarisi jawatankuasa Pro Tem tersebut.
Untuk
makluman saudara saudari sekalian, antara syarat pembebasan orang-orang tahanan
ketika itu ialah kami tidak boleh memasuki / menjadi ahli mana-mana pertubuhan politik, apa tah lagi menjadi ahli
pimpinannya. Makanya seperti diandaikan, diawal penubuhan NDP, jawatankuasa Pro
Tem telah melalui jalan sukar termasuklah tekanan dan
‘harrasment' yang berterusan.
Justeru
itu, berita kelulusan NDP itu diterima dengan penuh kesyukuran dan semangat
yang tinggi lebih lebih lagi kami mendapat tahu bahawa tidak semua
agensi-agensi perisikan memberikan
sokongan ke atas penubuhan NDP ini. Pada
malam 31 Ogos 2005 itu juga lebih kurang 50 orang telah berkumpul di restoran
Cikgu Hj Alinoordin bin Md Zain salah
seorang ahli Jawatankuasa Pro Tem, di Jalan Mulaut untuk mengadakan majlis doa
kesyukuran.
Masuk Bersalam Keluar Bertabik
Untuk
dijadikan cerita, sembilan hari sebelum
kami menjulungkan permohonan pendaftaran NDP secara resmi, saya telah menderaf
warkah yang ditandatangani oleh ayahanda
Yasin Affandy bertarikh 12 Februari 2005.
Warkah tersebut disembahkan Kehadapan Majlis Kebawah DYMM melalui pejabat
Istana Nurul Iman, memohon kiranya dapat Baginda memperkenankan hasrat bekas
orang-orang tahanan untuk menubuhkan
sebuah parti politik.
Antara
lain perkataan ialah, kita mohon perkenan baginda mempertimbangkan supaya
diberikan peluang kedua kepada bekas orang-orang tahanan untuk menzahirkan taat setia yang tidak
berbelah bahagi kepada Baginda dan watan melalui pelantar parti politik
berpandukan sebuah perlembagaan parti seperti apa yang ada sekarang.
Demikianlah,
sebelum kita menghadapkan permohonan resmi penubuhan NDP, kitani terlebih dahulu
memberi salam dengan menjulungkan sebuah
warkah, bertanah-tanah Kehadapan
Majlis Kebawah DYMM. Saya yakin warkah dan hasrat kami itu sampai ke
pengetahuan Kebawah DYMM. Justeru itu,
saya tetap yakin bahawa keputusan meluluskan penubuhan NDP ini adalah
keputusan Kebawah DYMM sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Inilah
iktibar, inilah pendidikan awal NDP
kepada warganya, bahawa apa-apa pun yang hendak dilakukan hendaklah dengan
santun dan berhemah, bak kata orang masuk bersalam keluar bertabik. Kalau kita
hendak masuk ke sebuah rumah hendaklah terlebih dahulu mengetuk pintu dan
memberi salam. Begitulah salam pertama kita dengan menulis surat, menyembahkan warkah perkenalan dan
diikuti dengan permohonan rasmi kepada
Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 21
Februari 2005, disisipi sebuah perlembagaan. Alhamdulillah, pada 31
Ogos 2005 pintu pagar rumah terbuka dan kitani pun masuk ke laman hingga sampai
ke anak tangga.
Brunei Ibarat Sebuah Rumah Yang Bertuan
Bab
masuk rumah ini, pernah saya bercakap dengan Mantan Naib Presiden Belait,
kanda Sulaiman Metarshad. Saya nyatakan
pada beliau, dalam konteks sosio-politik Brunei, kitani hendaklah menerima
hakikat bahawa Negara Brunei Darussalam ini adalah ibarat sebuah rumah dan
rumah ini ada tuannya, dan tuan rumah ini tidak lain dan tidak bukan ialah
Kebawah DYMM. Saya ulangi, Brunei ini
ibarat sebuah rumah dan pemilik rumah ini adalah Kebawah DYMM. Inilah hakikat
dan realitinya.
Yang
mendukacitakan kitani ialah, apabila kitani sudah berada di laman rumah yang
dituju itu dan sambil-sambil menunggu
tuan rumah membukakan pintu, ada pula di antara kitani yang bergagut sesama
sendiri, wek-wek sana, wek-wek sini dan berkelakuan yang mencurigakan tuan
rumah. Maka malanglah buat kitani semua apabila tuan rumah takut untuk membuka
pintu dan mempersilakan kitani masuk.
Orang
di atas rumah memerhatikan kitani. Hasrat tuan rumah untuk meraikan tetamunya
jadi takut lalu menutup pintu.
"apakan jadi nanti bila tetamu yang bising-bising dan bagagut sesama
sendiri masuk kedalam rumah ku". Kalau saya sendiri sebagai tuan
rumah pun, saya tidak akan membuka pintu
pada tetamu yang tidak bersopan dan berkelakuan mencurigakan. Demikian
analoginya. Natijahnya, tentulah pahit untuk ditelan kerana jalan untuk
memenangi sebuah keyakinan itu adalah suatu perjalanan yang panjang,
berliku-liku dan menuntut banyak kesabaran dan pengorbanan.
Era Engagement Dan Diplomasi
Saudara
saudari sekalian, saya faham kenapa haru biru boleh berlaku dalam parti.
Maafkan saya kalau saya katakan bahawa kitani sebenarnya masih dalam proses
pembelajaran. Kitani belum ada pengalaman berpolitik atau menguasai seni
politik apalagi memiliki keduanya. 50
tahun pergerakan politik dan pemikiran kitani dikekang oleh undang-undang
dharurat. Namun begitu ianya bukanlah alasan atau helah bela diri yang kukuh kenapa kitani
terlalu mudah dibuai mainan orang samada dari luar atau ahli yang disusupi
agenda orang luar untuk menghakis keyakinan Kebawah DYMM dan orang ramai
terhadap NDP.
Mungkin
kitani adalah orang-orang gerakan, "orang-orang revolusi" yang keras,
namun demikian, ini bukan lagi era
revolusi, era ini adalah era engagement
dan diplomasi. Bawaan keras dan
aggresif bukan lagi jaminan pada
sebuah kejayaan. Justeru itu perlunya kitani menguasai ilmu diplomasi dan seni politik yang tinggi disamping sokongan padu, kesabaran, kesetiaan dan
disiplin tinggi seluruh warganya kepada pemimpin dan parti.
Kitani
mesti belajar dari sejarah sendiri. Sejarah telah mengajar dan memberikan
iktibar pada kita semua. Dalam sejarah perjuangan bangsa kitani, apakah kaedah yang tidak pernah dicuba oleh pergerakan kemerdekaan
rakyat yang dipelopori oleh Barisan Pemuda(BARIP) dan PRB?.
Untuk
mencapai cita-cita perjuangannya
menegakkan sebuah negara Brunei merdeka dan berdaulat berpaksikan sistem
pemerintahan demokrasi berparlimen, PRB telah mencuba segala kaedah. Mereka
mengirim surat, mengirim memorandum, berunding dengan pihak penjajah, berdemonstrasi, berarak berkilometer jauhnya
disertai oleh ribuan rakyat, menggunakan forum-forum antarabangsa hingga ke
Badan Dunia dan akhirnya mereka mengangkat senjata.
Saya
katakan, semua kaedah dan strategi telah
dicuba oleh pergerakan kemerdekaan rakyat, kecuali satu kaedah belum diteroka
sepenuhnya dalam perjuangan mereka ketika itu,
iaitu engagement dan diplomasi
tinggi. Saudara saudari sekalian,
kaedah berkembar engagement dan diplomasi inilah yang kitani cuba pada hari ini.
Dengan bimbingan Allah S.W.T mudahan kitani beroleh
barokah dan redhaNya. Maka saya pohonkan
janganlah ada sesiapa yang cuba menggagalkan strategi parti ini. Rakyat sudah
letih menunggu sebuah harapan…harapan sebuah kehidupan yang baik kepada lebih
baik… rakyat resah seolah-olah perjalanan hidup mereka telah menghampiri
garisan merah-garisan penamat.
Resolusi PBB 3424 (1975) Sudah Menjadi
Milik Sejarah
Saudara
saudari sekalian, A. M Azahari telah berjaya mengemukakan petisyen di
Sub-Komiti II dari Komiti 24 PBB pada 15 Julai 1975, yang telah mengambil ketetapan "menyeru
diadakan rundingan tiga segi di antara kuasa Pentadbir, Sultan Brunei dan PRB
untuk menentukan tarikh kemerdekaan, dan seterusnya mengadakan pilihanraya umum
yang bebas dan demokratik bagi Brunei". Intipati ketetapan sub-komiti itu
kemudiannya diperakui oleh Persidangan Agung PBB pada 8 Disember 1975 dan
dokumen tersebut kemudiannya dikenali sebagai resolusi 3424 (1975). dengan
tambahan, "…..sebelum itu
membenarkan pelarian-pelarian politik kembali ke Brunei dan mengambil bahagian
di dalam pilihanraya tersebut di bawah pengamatan PBB".
Resolusi itu memangnya tepat dan wajar dikemukakan
pada zamannya - 40 tahun dahulu, hatta PBB dan masyarakat antarabangsa
memberikan sokongan padu keatas resolusi tersebut. Justeru kejayaan PRB
mengangkat isu tuntutan kemerdekaan Brunei hingga ke Perhimpunan Agung PBB
ketika itu sewajibnya disambut dengan pesta keriangan oleh seluruh rakyat yang
anti penjajahan dan cintakan kemerdekaan. Tetapi kenyataannya tidak begitu.
Resolusi PBB 3424(1975) disambut dingin oleh rakyat Brunei sendiri.
Yang
menyedihkan ialah kemuncak reaksi negatif yang ditunjukkan sebilangan rakyat termasuk sebilangan bekas orang-orang
tahanan sendiri ialah pada 18 Julai 1975, apabila mereka mengadakan
demonstrasi, berarak keliling Bandar Seri Begawan menghina dan memperkecil kemenangan
perjuangan rakyat di PBB itu.
Kain-kain
rentang menghina perjuangan rakyat
sendiri diarak dan dijulang termasuklah penghinaan ke atas A.M. Azahari sebagai
"political bastard". Bekas
pejuang-pejuang di dalam PRB sendiri termasuk ramai bekas orang-orang tahanan
terperangkap dengan mainan politik dan
perang saraf penjajah.
Agenda
setting penjajah dengan gerak gempurnya berjaya memutar kepala sebahagian
rakyat seolah-olah rakyat seluruhnya
telah menolak ketetapan Sub-Komiti II yang kemudiannya dikenali sebagai resolusi PBB 3424(1975) itu dan sebaliknya mahukan sebuah sistem
pemerintahan absolute monarchy.
Kemerdekaan milik Istana
Natijahnya,
saudara saudari sekalian, apabila British berada di satu persimpangan sama ada
hendak menyerahkan kemerdekaan ketangan rakyat atau ketangan Istana, lalu
British memilih bahawa yang layak menerima kemerdekaan itu ialah pihak Istana
dan bukannya rakyat kerana rakyat sendiri telah menolak bulat-bulat bentuk
kemerdekaan dan demokrasi yang ditawarkan PBB.
Makanya
jika rakyat baru sedar kini mengenai kepincangan pengurusan negara kerana ketiadaan perwakilan rakyat di dalam
parlimen selama ini, kekangan undang-undang dharurat yang berterusan, ketiadaan akauntabiliti, ketiadaan sekatan
dan imbangan, masa depan generasi mendatang yang tidak meyakinkan, maka kesali
dan tangisilah diri sendiri. Inilah natijah permainan zero-sum game. Yang menang dapat semua dan yang kalah hilang
semua. Demikian nukilan sejarah.
Resolusi PBB 1514 (1960) dan ASEAN (AHRD) 2012
Demikian
juga saudara saudari, resolusi PBB 1514
(1960) yang mengandungi deklarasi memberikan kemerdekaan kepada negara-negara
yang dijajah (Declaration on the Granting of Independence to Colonial Countries
and Peoples) dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) 2012.
ASEAN
(AHRD) 2012 menyatakan ikrar
negara-negara ahli untuk mengiktiraf antara lain hak setiap individu yang
menjadi warganegara sesebuah negara mempunyai hak untuk turut serta di dalam
kerajaan negaranya, sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui
perwakilan yang dipilih secara demokratik, tertakluk kepada undang-undang
Negara masing-masing.
Deklarasi
tersebut juga memperakui setiap warganegara juga mempunyai hak untuk mengundi
dalam pilihanraya berkala dan sah, menerusi hak mengundi yang sejagat dan sama
rata, dengan secara sulit, demi menjamin kebebasan hak memilih kepada pengundi,
tertakluk kepada undang-undang Negara masing-masing.
Maafkan
saya saudara saudari, deklarasi-deklarasi yang saya sebut ini rasanya tidak berupaya mempengaruhi dan
membawa perubahan besar ke dalam sistem pemerintahan Negara-negara berkaitan,
justeru saya tanggapi ianya tidak lebih dari pada pernyataan politik, rethorik
politik yang tidak mengikat dan memberi apa-apa makna kepada harapan
menuju sistem pembuatan keputusan
melibatkan perwakilan rakyat.
Saudara
saudari sekalian, saya menyedari, semua orang mengharapkan perubahan politik
yang lebih kondusif dan memihak kepada kehendak majoriti rakyat. Cikgu Sulaiman
mahu sistem demokrasi berparlimen diamalkan dalam sistem pemerintahan Brunei.
NDP mahu melihat perubahan ke arah sistem pemerintahan yang lebih baik dan berwibawa.
Demikian juga saya sendiri mahu melihat perubahan politik yang lebih mesra
rakyat.
Namun
demikian dalam konteks parti, idealisma Cikgu Sulaiman dan lain-lain ingin
melihat wujudnya keadilan politik dan keadilan sosial di negara ini seperti
dicita-citakan NDP tidak akan ke
mana-mana jika NDP, satu-satunya pelantar politik di negara ini rapuh dan tidak
memberikan keyakinan baru kepada
Kebawah DYMM yang juga mahu membawa Brunei ke arah kemajuan politik dan
juga kepada elit penguasa, pentadbir dan orang ramai.
Majlis Mesyuarat Negara (MMN)
Kalau
umpamanya kita hendak bercakap mengenai demokrasi, tentunya kitani akan
menyentuh mengenai pilihan raya. Dalam konteks ini, ramai yang melihat bahawa
memang sudah sampai masanya pembaharuan politik berlaku di Negara ini. Kebawah
DYMM juga telah lama menyedari akan hal ini seperti semangat di dalam Titah
Keputeraan Kebawah DYMM ke-58 pada 2004
yang menyebutkan. Antara lain, dipetik titah beginda:
"…Jawatankuasa
berkenaan telah meneliti semula Perlembagaan Negara Brunei Darussalam, 1959
bagi mengenal-pasti pindaan-pindaan yang perlu dibuat untuk membolehkan kita
terus melindungi negara serta terus melindungi negara serta kepentingan rakyat,
iaitu dengan mengambil kira keadaan sekarang dan juga masa akan datang…"
"…Pindaan-pindaan
ini bertujuan untuk mengukuhkan institusi-institusi beraja dan meningkatkan
keberkesanan hubungan antara Kerajaan dan rakyat…"
"…Khususnya,
Beta juga memberi keutamaan bagi meningkatkan peluang orang ramai melibatkan
diri dan memberi sumbangan membina kepada kemajuan negara…"
"…Kearah
ini, satu struktur penglibatan rakyat yang lebih formal perlulah diwujudkan.
Oleh itu, Beta telahpun membuat keputusan untuk mengadakan semula Majlis
Mesyuarat Negara yang juga dikenali sebagai "Legislative
Council"…"
"…Beta
juga mengalu-alukan pandangan dan fikiran dari semua pihak melalui peluang yang
akan disediakan oleh Majlis ini…"
"…Kepada
seluruh rakyat Beta dan penduduk negara ini, saatnya telah tiba bagi kita
sama-sama bersatu memperbaiki masa depan negara…"
Participatory Democracy
Saudara
saudara sekalian, pada pandangan saya, ‘participatory
democracy' sewajarnya kini sudah
boleh diperkenalkan lebih-lebih lagi ketikamana Brunei menjulang nama sebagai
pelaku serantau dan global yang aktif. Dalam Manifesto NDP 2006-2016 telah mencadangkan "bilangan ahli Majlis
Mesyuarat Negara yang sedia ada ditambah dengan majoriti ahli-ahlinya dipilih
terus oleh rakyat Kebawah DYMM melalui sistem pilihan raya yang bebas dan
telus".
Kebawah
DYMM sendiri juga telah membayangkan kesediaan Baginda kearah itu seperti
perkenan baginda keatas peruntukan 15 kerusi untuk dipertandingkan dalam
pilihanraya seperti terdapat dalam pindaan perlembagaan 2004 itu. Dipetik:
"Jadual
Kedua (Perkara 24(1)), Peruntukan-Peruntukan Berkenaan Dengan Majlis Mesyuarat
Negara
Keanggotaan
Majlis Mesyuarat Negara dan Ahli-Ahlinya.
1.
Majlis Mesyuarat Negara
hendaklah mengandungi tidak
lebih daripada 45 orang Ahli seperti berikut
(a) sehingga
30 orang yang
akan dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan dari kategori-kategori yang berikut -
(i) Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan yang terdiri daripada
Perdana Menteri dan semua Menteri yang dilantik di bawah Perkara 4(3) dari
Perlembagaan ini;
(ii) orang-orang bergelar;
(iii) orang-orang
yang, pada pendapat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan, telah menyumbangkan perkhidmatan awam yang cemerlang atau
mereka yang tidak termasuk dalam perenggan kecil (a)
(iv) tetapi boleh, pada
pendapat Baginda, menyumbang kepada perbahasan dalam Majlis Mesyuarat Negara;
(iv) orang-orang yang, pada pendapat Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, telah mencapai tahap
kecemerlangan dalam bidang keugamaan, pengurusan, sebarang profesion,
perniagaan, perdagangan, pertanian, aktiviti-aktiviti kebudayaan, kesenian atau
kemasyarakatan, atau yang mewakili masyarakatmasyarakat tertentu; dan
(b) sehingga 15
orang wakil, bilangan
sebenarnya hendaklah
ditentukan oleh Kebawah
Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan dan Yang
Di-Pertuan, dari Daerah
Brunei Muara, Daerah Belait,
Daerah Tutong dan
Daerah Temburong yang
akan dipilih menurut undang-undang berkenaan dengan pilihan raya yang
berkuatkuasa di dalam Negara Brunei Darussalam."
Prestasi MMN yang mengecewakan
Mengenai
MMN pula, seperti yang saudara saudari nilai sendiri, telah lebih sembilan
tahun MMN diwujudkan semula namun prestasinya tidak seperti yang diharapkan
oleh rakyat. Kebawah DYMM juga dilihat seperti turut kecewa dengan
prestasi MMN walaupun keahliannya adalah
seratus peratus dilantik oleh kebawah DYMM sendiri. Dalam Titah baginda sempena
pembukaan MMN ke-9 pada 7 Mac 2013 telah menegur ahli-ahli MMN antara lain
menyebutkan:
"...Adalah
tidak memadai setakat banyak bertanya sahaja tanpa memberikan pandangan, begitu
juga tidak memadai setakat menyebut-nyebut jumlah peruntukan yang besar tanpa
melihat apa dan bagaimana ia digunakan dengan berkesan...."
"...Jika
ada respons baik dan hangat daripada ahli-ahli mengenainya maka barulah ada
makna kita bersidang. Pada hemat beta, inilah yang ditunggu-tunggu oleh
rakyat..."
"...Adalah
tidak memadai dengan cuma menyebut RKN Kesepuluh dengan peruntukan yang begitu
besar tanpa memberikan gambaran apa dia projek-projek yang diungkayahkan itu
dan bagaimana ia berjalan..."
"...Dengan
cara ini, Ahli-Ahli MMN barulah akan dapat dianggap telah memartabatkan Majlis
ini selaku institusi yang dihormati..."
Dalam
konteks titah ini, izinkan pula saya mengambil satu contoh dari banyak contoh,
iaitu betapa kecewanya kitani semua ketika melalui jalanraya antara Muara dan
Kuala Belait. Panjang jeraya dari Muara ke Belait cuma 120 kilometer lebih sedikit, namun sudah
tiga puluh tahun Brunei merdeka lebuhraya sepanjang itu belum siap-siap lagi.
Di negara membangun yang lain tempoh 30 tahun mampu menyaksikan pembinaan satu
ribu kilometer lebuhraya yang berkualiti tinggi.
Kelemahan
ini tentu ada kaitan dengan sistem pembuatan dan perlaksanaan dasar dan
sistem penyampaiannya. Ada kaitan dengan
prestasi Kabinet dan MMN yang kurang
efektif dan gagal menjadi pemantau pembangunan negara secara berkesan.
Kedatangan Komuniti ASEAN
Lain
contoh yang amat dekat dihati saya ialah kebimbangan kitani mengenai kedatangan
ASEAN Community 2015 yang terangkum di dalamnya protokol-protokol Komuniti
Ekonomi Asean, Komuniti Sosio Budaya Asean dan Komuniti Keselamatan dan Politik
Asean.
Dari
aspek Komuniti Ekonomi (Asean Economic Community), Brunei kelak akan menjadi sebahagian
masyarakat perdagangan ASEAN yang akan menikmati berbagai kemudahan dan
kelonggaran urusdagang dan usahasama sesama anggota. Maknanya masyarakat
perdagangan dari kalangan negara-negara ASEAN akan boleh masuk ke Brunei dan orang Brunei boleh masuk
ke Malaysia, ke Indonesia, Vietnam dan lain-lain anggota ASEAN untuk berurus
niaga atau membuka usahasama tanpa
banyak sekatan malah dipermudahkan.
Dalam
hal ini, apakah bentuk perdagangan dan perusahaan yang boleh kita tawarkan
kepada negara-negara anggota ASEAN lainnya. Ketika itu kitani akan menjadi
sebahagian "warga ASEAN" yang mempunyai 600 juta penduduk. Sempadan
Negara kitani sudah sebesar sempadan wilayah ASEAN keseluruhannya. Demikian
juga sebaliknya, kira-kira apakah yang boleh diraih oleh pedagang, peniaga dan
pengusaha kitani daripada gabungan komuniti ekonomi yang besar ini? Zero ?
Hari
ini rakyat bagaikan berada dalam kegelapan, paranoid dan terbungkam mulut.
Rakyat seperti tidak berpeluang untuk mendengar dan didengari. Keadaan ini
adalah natijah daripada kitani tidak mempunyai institusi-institusi penggubal
dasar dan perlaksana yang berwibawa dan efisyen. Silap-silap perhitungan semua kitani akan
menjadi mangsa bakal ditelan oleh satu bentuk penjajahan asing yang baru.
Inilah yang membimbangkan kitani semua.
Seperti
yang saya sebutkan dalam Ucapan Dasar pada Kongres Agung Tahunan NDP ke-8 tempoh hari,
perniagaan dan usaha rakyat bersekala kecil seperti runcitan, bengkel-bengkel,
tanaman sayuran, pasar borong dan tamu, dobi, jahitan, potong rumput dan
lain-lain jenis perkhidmatan yang diusahakan oleh rakyat biasa sebelum ini habis
sudah jatuh ketangan orang asing.
Bayangkan
2015 dan selepasnya, ketika mana nanti
protocol komuniti ekonomi, protokol keselamatan - politik, dan protokol
sosio-budaya Komuniti ASEAN sudah merentasi sempadan. Dapatkah kitani
menghalang kejutan yang akan melanda negara kitani? Apakah strategi kitani
mempertahankan konsep MIB dari dicemari dan dihakis oleh kedatangan Komuniti
ASEAN ini? Apa pula strategi jangka panjang dakwah kitani? Saya khawatir akan
menjadi kenyataan satu teori sosiology yang menyebut betapa budaya kecil itu
akan semudahnya diresap dan ditelan oleh budaya yang besar.
Saya
bimbang bilamana tiba waktu itu kita lebih banyak duduk di kedai kopi berputih
mata melihat orang luar rancak membuat duit sedang kitani waktu itu duduk melangut melangui kasau merenung
nasib malang bak mat jenin dan pak kadok. Waktu itu mungkin saja politik
dalam negeri, aturan-aturan keselamatan dalam negeri, pembangunan pendidikan
dan sosio budaya kitani sudah kehilangan identiti dan jatidiri. Kerana apa?
Kerana kitani telah menjadi mangsa sistem pembuatan keputusan yang lemah,
kitani dipaksakan untuk menerima sesuatu
yang kitani sendiri tidak faham dan tidak cukup
bersedia untuk menelannya.
Kedatangan Trans Pacific Partnership
Agreement (TPPA)
Tidak
lama lagi saudara saudari sekalian,
Brunei dijangka akan turut menanda tangani sebuah deklarasi Trans
Pacific Partnership Aggrement (TPPA) melibatkan duabelas buah negara termasuk
Amerika, Chile, Mexico, Australia, New Zealand. Dari kalangan Asean
hanya empat buah negara sahaja yang terlibat iaitu Malaysia, Singapura,
Brunei dan Vietnam
Ini
lagi satu bahaya yang menunggu dihadapan
kitani, kerana TPPA ini secara langsung akan meletakkan Brunei sebagai pelaku
di dalam "the Great Game" dunia politik Abad ke 21. Inilah yang
membuatkan kita terkilan dan terkedu kerana kitani tidak pernah didedahkan apa
itu TPPA sedangkan ia menyangkut nasib
masa depan negarabangsa, sedangkan ia satu bentuk perjanjian membabitkan agenda
liberalisasi ekonomi dunia yang ditanggapi oleh banyak pihak sebagai satu
bentuk penjajahan baru.
Cuba
kitani bayangkan di antara salah satu bab daripada 29 bab di dalam deklarasi
itu memberikan hak dan kelonggaran kepada syarikat-syarikat multi nasional companies (MNCs) untuk
menyaman negara tuan rumah jika sekiranya negara tuan rumah tidak memenuhi
syarat pelaburan yang dipersetujui.
Dapatkah
kitani menolak desakan MNCs apabila mereka berhasrat untuk mengenepikan arahan
dua jam rehat "kuai libai" pada hari Jumaat? Dapatkah kitani menolak
permintaan mereka yang membawa masuk ribuan pekerja asing berlainan agama untuk
membina rumah-rumah ibadat selain masjid di tapak perusahaan mereka. Tidakkah itu ada kaitan
dengan semangat liberalisasi ekonomi dan hak asasi manusia yang menjadi agenda
utama globalisasi?
Barangkali
di antara kitani ada terbaca di dalam
sebuah surat khabar tempatan pada
ruang "letter to editor" yang
mempertikaikan bahawa terdapat klausa dalam deraf TPPA yang memberi ruang
mencabar kedaulatan undang-undang negara kitani. Kalau ini terjadi, maka ia
adalah suatu yang malang buat Brunei yang bakal menjadi signatorinya. Macam
mana kemungkinan sesebuah multinational
company itu boleh mendakwa negara kitani, boleh mencabar undang-undang
kitani.
Seperti
saya sebutkan tadi, bayangkanlah jika ada
dua tiga multinational compenies
membuka perusahaannya di Brunei, lalu mencabar Kementerian Hal Ehwal Agama,
"kami tidak mau menutup dua jam
hari Jumaat, kerana ia merugikan kami…" Jika berlaku keadaan sedemikian, bolehkah kita mengatakan ini titah? Tidak!.
Maaf cakap, "tidak laku" alasan kerana ia adalah titah. MNCs masih boleh mendakwa kerajaan. Kerajaan Kebawah
DYMM boleh saja disaman dan dimalukan oleh syarikat asing kerana
terdapatnya peruntukan perjanjian yang
mungkin boleh dimanipulasi sebagai tidak menepati perjanjian.
Penolakan
keatas "permintaan" mereka itu bermakna mengundang risiko campur
tangan negara-negara asing kedalam pemerintahan kitani. Kalau begini ceritanya,
saya bimbang Brunei ini tidak akan
kemana-mana. Kedaulatan negara entah kemana nantinya. Hasrat menuju Brunei maju 2035 tidak mungkin akan tercapai, kalau pun
tercapai mungkin ianya tidak akan memakai baju MIB. Ketika itu hasrat Kebawah
DYMM untuk menjadikan Brunei sebuah Negara Zikir juga mungkin tinggal rethorik.
Sepatutnya
gagasan Komuniti ASEAN dan deraf
Perjanjian Perdagangan Trans Pacifik (Trans Pacific Partnership Agreement -
TPPA) ini telah dibincangkan masak-masak tiga tahun dahulu di dalam MMN,
diwar-warkan kepada rakyat, dijerayawarakan,
dibahas dan dirungkai apa untung
ruginya kitani melibatkan diri dan menjadi signatori dalam kelompok
perdagangan kommuniti serantau ini.
Malangnya ini tidak berlaku bukan?
Kerana
itulah kitani maukan perubahan, mahukan sebuah kabinet dan MMN yang efisyen dan efektif, yang bekerja
untuk rakyat bukan untuk beberapa kerat
individu tetapi untuk membantu Kebawah DYMM, membantu pedagang, peniaga dan
pengusaha kitani, institusi yang
berupaya menghurai masalah rakyat dan menyediakan jalan keluarnya, pada umumnya
membantu melonjakkan prestasi negara biar setanding anggur dengan anggur.
Lain-Lain Isu Keselamatan
Hari
ani saja saudara-saudari sekalian, kitani sibuk melayani tetamu-tetamu, baru
mesyuarat-mesyuarat dan persidangan-persidangan bersekala kecil, seperti
mesyuarat-mesyuarat Pegawai Tinggi ASEAN, menteri-menteri luar Asean,
menteri-menteri Pertahanan Asean. Minggu depan Menteri-Menteri Dalam Negeri
ASEAN akan datang bincang mengenai dadah
dan sebagainya. Cuba bayangkan entah macam mana pula sibuknya kitani jika
beberapa multinasional companies
membuka syarikatnya di sini bersama 20-30 ribu pekerjanya kelak?.
Baru
menjadi hos mesyuarat dan persidangan besar sikit pun, pengurusan keselamatan diluar Bandar Seri
Begawan semacam kelamkabut. Habis kitani punya resources keselamatan tertumpu
di Bandar Seri Begawan. Berapa saja tenaga keselamatan Di KB yang tinggal
menjaga daerah yang luas ini?, melopong sempadan-sempadan
kitani.
Akibatnya,
kerana kekurangan tenaga penguatkuasa,
ancaman bahaya dan bising pelumba haram kereta dan motosikal seperti
tidak terkawal lagi sedangkan kegiatan tersebut mempunyai aktiviti berantai,
dari suka-suka boleh membawa kepada maksiat, judi dan gengsterisme. Kenapa jadi begitu?
Saudara
saudari sekalian, kitani difahamkan, antara Januari - April tahun 2013 ini
sahaja berlaku 1,500 kes jenayah berbagai katogeri di negara kitani. Walaupun kebanyakan kes-kes
tersebut dapat diselesaikan, tabek NDP buat Pasukan Polis Diraja, namun
tidakkah itu merupakan isyarat awal yang amat membimbangkan. Sememangnya banyak
faktor yang menyumbang ke arah peningkatan jenayah tersebut. Salah satunya
tidak mungkinkah kerana Pasukan Polis
Diraja kitani kekurangan tenaga kepolisian? Kalau ya, sejauhmana usaha untuk
menambah tenaga kepolisian dan usaha meningkatkan tahap profesionalisma di
kalangan mereka?
Adakah
isu sepenting ini dibincangkan di dalam
MMN. Pernahkah keperluan bajet, tambahan tenaga polis dan peningkatan latihan professioanalisma kepolisian dibincangkan secara terperinci di dalam
Kabinent dan diperingkat Jawatankuasa Keselamatan MMN dan diperingkat
Jawatankuasa Pengurusan Kewangan MMN? Mungkin ada, tapi kitani tidak tahu,
tidak tahu banyak perkara kerana mereka tidak telus. Maklumat tidak sampai
kepada rakyat. Namun begitu jika sekiranya ada dibincangkan, apa kesudahannya?
Rakyat juga ingin tahu.
Hari
ini lagi kitani mendapati pengangguran terlalu tinggi di Brunei, di antara
tertinggi di rantau ani. Tahukah biskita
berapa kadar pengangguran yang
dianggap rahsia tapi terbuka ini (open secret)?. Apa yang sampai kepengetahuan kitani, kini
terdapat 9% penduduk Brunei berumur 18 tahun keatas yang menggangur. Maknanya
dari segi angka, lebih 18 ribu penganggur.
Malah ada yang menyebut peratusan dan angka pengangguran lebih dari itu. Samada pengangguran ini ada
kaitan dengan kes-kes jenayah yang tinggi itu, inda kitani tahu. Polis saja
yang tahu.
Dalam
Islam kalau ada seorang saja inda bekerja, inda ada pendapatan sudah dikira
asnaf miskin dan layak menerima zakat.
Tetapi tahun 2012 di "declare"
hanya 1,286 orang sahaja menerima zakat. Inda kan pembohongan besar namanya
tu?. Inda kan manipulasi angka namanya tu? Inda kan mengelirukan rakyat tu?.
Nah di sini kitani minta supaya MMN merungkai masalah pengangguran ini untuk
sekurang-kurangnya menunjukkan keperihatinan terhadap kesulitan rakyat.
Faktor Kejatuhan Sebuah Regime
Kalau
biskita mengikuti Ucapan Presiden sempena Hari Raya Edul fitri lalu, tentu
biskita masih ingat di mana dalam ucapan itu turut menyentuh faktor penyebab
kejatuhan banyak regime di Timur Tengah. Saudara saudari sekalian, para
penganalisis keselamatan sepakat merumuskan sekurang-kurangnya empat faktor penyumbang kejatuhan
regime-regime itu.
Pertama
ialah harga bahan makanan yang semakin tinggi, yang inda mampu dibeli oleh
rakyat. Kedua berleluasanya amalan
korupsi, kronisme dan nepotisme, ketiganya kadar pengangguran yang tinggi dan
keempat ternafinya hak kebebasan rakyat bersuara dan memilih sistem
pemerintahan yang dikehendaki majoriti rakyatnya.
Pada
pandangan kitani, keempat-empat faktor ini sebenarnya wujud di negara ini,
cumanya kadar dan peratusannya saja masih di bawah kawalan. Ia masih terkawal
kerana regime hari ini kuat dan minyak masih mengalir dibumi kitani. Namun demikian, harga barang dan inflasi
tetap dirasai semakin meningkat oleh rakyat yang berpendapatan kecil. Korupsi
wujud tapi inda nampak, kronisme wujud tapi inda ketara, nepotisme wujud tapi
inda nampak dan inda ketara. Pengangguran
di negara kitani dinilai terlalu
tinggi mencecah 9% atau lebih, semua bentuk kebebasan pula dikawalselia oleh undang-undang
dharurat sejak 1962 lagi.
Cuba
biskita bagi rating, bagi markah,
nilai secara jujur berapa ‘percent' skala faktor-faktor yang disebutkan itu sudah
berlaku di bumi tercinta ini?. Secara teorinya, jika semua faktor ani mencapai
tahap maksimum, maka akan berlakulah satu perubahan radikal yang keras - apa
yang disebutkan kebangkitan menyeluruh rakyat atau "total revolution" atau "complete revolution".
Apabila terjadi complete revolution ini, maknanya bukan sahaja inda lagi ada
legetimiasi regime yang dijatuhkan untuk kembali berkuasa malah inda ada lagi
legasi baik regime tersebut yang tinggal untuk dikenang. Anak bini, anak pinak,
ipar duai, sepupu sepapat habis menjadi mangsa anarki - kena sembelih atau kena
halau keluar dengan aib seperti yang berlaku dengan regime Shah Iran, Saddam
Hussein, Muaamar Ghadafi dan lain-lain. Ini yang kitani bimbang. Ini yang NDP
selalu peringatkan jangan sampai berlaku
kejadian yang menakutkan ini terjadi di negara kitani yang tercinta ini,
ketikamana regime kitani bertukar lemah. Semoga di Lindungi Allah.
Na'uuzubillahminzalik!!!
Maaf,
kalau lontaran ini suatu yang tidak disenangi... Hakikatnya, NDP tiada pilihan,
kitani terpaksa mengangkat kebimbangan
dan kerisauan ini. Suara ini ialah suara kebimbangan akar umbi. Justeru kitani
berseru, jangan gadaikan masa depan negara, keselamatan negara dan keselamatan
rakyat semata-mata kerana kedegilan kitani inda mau mendengar
dan meraikan suara dan pandangan rakyat. Jangan pertaruhkan nasib masa depan
Institusi Kesultan Melayu Islam Brunei, nasib masa depan negara dan bangsa
semata-mata kerana hendak menjaga hati beberapa orang, kerana awar galat yang
inda bertempat, atau kerana tiada strategic
planning - perancangan strategik
masa depan yang rapi.
Justeru
itu, kitani berpandangan bahawa Negara kini amat perlu kepada sistem pembuatan
dasar, perlaksanaan dasar dan sistem penyampaian yang efisyen dan efektif.
Keperluan itu amat mendesak sekali. Kita
tidak lagi boleh sambil lewa dan bermain-main dengan masa, kerana yang rugi adalah rakyat
dan negara jua sedangkan kitani sudah
menghampiri garisan merah, berada pada masa kecederaan "injury time". Mungkin inilah kebimbangan Cikgu Sulaiman
tadi ditakutinya kalau-kalau nikmat aman sejahtera Brunei Darussalam ini tidak
lagi mendapat redha Allah.
Di
sinilah letaknya asas dan titik tolak mengapa kitani mahukan perubahan. Mengapa
kitani mahu partisipasi rakyat untuk
sama-sama membincangkan masalah rakyat dan membuat keputusan demi
rakyat. Yakinlah, kitani menyuarakan hal
ini bukannya kerana mahu kuasa. Bukan kerana kitani mahu pilihan raya atas nama
pilahan raya semata-mata, apabila menang
kitani kan jadi pemerintah, kitani kan jadi Perdana Menteri, NO! bukan! Bukan
kerana itu.
Tugas Menjaga Raja dan Negara
Tanggungjawab Semua
Dalam
pada itu, abis kita jangan lupa. Dalam perlembagaan NDP, kitani berikrar untuk
menyukong dan mendukong pemerintahan
Kebawah DYMM dan zuriat baginda. Kearah itu kitani mesti terus berkerja
keras disamping sentiasa berdoa mohon supaya institusi kesultanan Brunei ini,
Insyaallah akan kekal karar sampai bila-bila.
Namun
demikian, tugas menjaga negara, menjaga bangsa dan menjaga institusi kesultanan Melayu Islam
Brunei ini bukan hanya tugas NDP dan
rakyat biasa tetapi juga tugas golongan
ningrat, golongan elit dan tugas semua. Kita semua mesti menjaga Kebawah DYMM dan institusi
Diraja dari ditimpa oleh apa jua bentuk
krisis keyakinan dan pencemaran imej.
Banyak
sebenarnya masalah yang menjadi perhatian kitani dari kacamata NDP. Terlalu
banyak sangat. Dengan bertawakkal kepada Allah SWT, kitani zahirkan jua apa-apa
yang kitani dengar dari bawah pada sebilang kesempatan waima pun
pandangan-pandangan tersebut dilihat sebagai menongkah arus, tidak berasas atau
tidak sesuai kerana terlalu kritikal dan mencabar. Mungkin saja andaian dan
fakta kitani tidak betul, justeru perbetulkanlah kami, redakanlah kegelisahan
rakyat ini. Bukalah ruang dialog. Berlaku telus dan tuluslah ketika berhadapan
dengan rakyat agar rakyat menjadi
rakyat yang bermaklumat dan boleh berperanan sesuai masyarakat sivil.
Mohon Maaf Kalau Tersuruk Langkah
Saya
tidak terjumpa lagi saudara-saudari sekalian akan bahasa lunak yang boleh
diungkapkan yang boleh menyedarkan kitani semua. Yang mendengar suara lubuk
hati NDP ini boleh saja memanipulasi dan
mereversenya yang barang sudah tentu boleh membahayakan diri dan
parti lebih lagi jika ia ditakrif sebagai mencemarkan
Institusi Kesultanan, hasutan, ugutan kepada kerajaan, ancaman keselamatan dan
sebagainya.
Cakap
ikhlas kitani orang boleh putar belit sebagai cakap-cakap kebencian, kecintaan
kitani pada raja orang boleh pusing sebagai derhaka. Kalau sesiapa yang mau
memusing pusing tah, niat kitani tetap ikhlas, cinta kasih kitani kepada
Kebawah DYMM tetap ikhlas kerana Allah SWT.
Percayalah,
kitani tidak mengejar sesuatu selain redha Allah. Apa yang kitani ungkapkan ini
termasuk dalam misi perjuangan amar
makruf nahi mungkar. Kalau bukan kitani yang memberikan peringatan ini siapa
lagi dan kalau bukan sekarang bila lagi? Kitani bercakap macam ani atas
pelantar parti politik.
MPM,
MPK, persatuan-persatuan belia mungkin juga akan bercakap, namun tentulah tidak
sama cakap-cakap dari pentas parti
politik dengan lain-lain pentas, lebih-lebih lagi jika masing-masing takut
tersuruk langkah, masing-masing mau menjaga kepentingan diri dan kelompok,
walhal takut tidak bertempat itu sebenarnya boleh merosakkan negara dan bangsa sendiri.
Jadi,
kitani mohon ampun maaf jika tersuruk langkah dan mohon kehaderat Allah SWT
mudah-mudahan kitani terlepas daripada sebarang fitnah dan mudah-mudahan Allah
SWT melorongkan segala kebaikan kepada negara dan kitani semua.
Sebelum
saya mengakhiri ucapan ini, saya minta saudara saudari perhatikan lontaran
isu-isu kitani pada malam ini, justeru
saudara-saudari akan menemui suatu kesimpulan bahawa kitani inda ada masa
hendak berkelahi, bergagut sama-sama
kitani. Inda ada masa kan beraju-rajuan, hendak bermasam-masam muka, boikot
memboikot, ugut mengugut, inda ada masa kan melayani dan memujuk orang yang
akan letak meletak jawatan dan keluar dari parti. Inda ada masa berkelahi
merebut jawatan. Tugasan kitani di hadapan adalah besar, kalau tidak mau
menggalas beban ini jangantah masuk NDP, kerana suatu hari biskita pasti akan
disoal oleh Allah SWT apa yang biskita lakukan semasa biskita memimpin NDP dan
menjadi ahli NDP.
Rasullullah SAW bersabda, "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan
atas kepimpinannya" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Saudara
saudari sekalian, apabila kitani mendaftar sebagai ahli NDP dan berbaiah dengan
perjuangan parti, maka kitani kenalah
berani menghadapi kebenaran, kerana
kebenaran itu milik Allah SWT. Rapatkanlah persaudaraan dan ukhuwah
sesama kitani berbekalkan suntikan semangat pada malam ini, khususnya suntikan
dari Mantan Naib Presiden Belait yang juga ahli Lembaga Penasihat parti. "Biduk Lalu Kiaambang Bertaut",
"Air dicincang tidak akan putus", bulat air kerana pembetung, bulat
kitani kerana muafakat.
Saya
ulangi, bahawa tanggungjawab di hadapan kitani adalah besar yang menuntut
berbagai bentuk pengorbanan dari kitani semua. InsyaAllah, bertitik tolak
daripada semangat kemangan Edul Fitri ini, Insyaallah, kitani akan
beroleh kejayaan yang diharapkan, kejayaan yang bukan untuk dinilai dan
dilihat oleh manusia tetapi kejayaan yang akan dinilai dan dilihat oleh Allah SWT.
Penyuntik
semangat juang yang selalu saya ungkapkan ialah kisah iktibar nabi Nuh AS yang
berdakwah selama 950 tahun namun cuma 13
orang saja yang menjadi pengikut baginda. Di kaca mata manusia 950 tahun
berjuang hanya 13 orang pengikutnya
adalah perjuangan yang gagal. tetapi
pada pandangan Allah SWT, itu tetap satu kejayaan lantas mengangkat baginda
sebagai rasul bertaraf ulul azmi. Jadi luruskan niat kitani berjuang
membantu Kebawah DYMM, menyayangi negara
kitani, menyangi rakyat kitani sekarang dan akan datang kerana Allah SWT jua.
Semoga ianya dinilai baik dan diredhai oleh Allah SWT.
Rabbana
La Taj'alna Fitnatan Lilqaumizzalimin, Wanajjina Birahmatika minal Qaumil
Kafiriin.
Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ALLAH
HUAKBAR WALILLAHIILHAMD
No comments:
Post a Comment