Posting mengikut label

Friday, October 25, 2013

Kenyataan Presiden NDP berkenaan Pewartaan Kanun Jenayah Islam


KENYATAAN MEDIA


Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Menyokong sepenuhnya Titah Perkenan Kebawah DYMM mewartakan Kanun Jenayah Islam pada 22 Oktober 2013.

1. Seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan limpah rahmat, taufiq dan hidayahNya serta kekuatan dan keazaman yang kental ke atas Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah mengumumkan titah perkenan mewartakan Kanun Jenayah Islam (Hudud) pada 22 Oktober 2013 yang akan dilaksanakan secara berperingkat enam bulan dari sekarang, Insya Allah.

2. NDP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda di atas keputusan mewartakan Kanun Jenayah Islam ini. Kami amat tersentuh dengan keberanian, ketegasan dan hikmah Kebawah DYMM dan berikrar untuk terus berdiri di belakang Kebawah DYMM bagi memperkasa dan mempertahankan syariat Islam di bumi Brunei Darussalam ini.

3. Bermula tahun 1912, iaitu di era pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Alam II, telah dikuatkuasakan Enakmen Undang-Undang Islam 1912 (No.1/1912). Selanjutnya pada tahun 1948 Sultan Ahmad Tajudddin telah melantik Penasihat Jama'ah Syari'ah dalam usaha melaksanakan sistem perundangan Islam dengan lebih kemas dan teratur. Usaha murni tersebut kemudian diteruskan oleh Sultan Omar Ali Saifuddien III melalui penguatkuasaan Undang-Undang Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi pada tahun 1956 dan memaktubkan di dalam Perlembagaan 1959, Islam sebagai Ugama Rasmi Negara Brunei Darussalam.

4. Kini seratus tahun telah berlalu, Alhamdulillah, dapatlah dikira bahawa pewartaan ini adalah kemuncak kepada sebuah hasrat dan cita-cita Institusi Kesultanan Brunei untuk mengunggulkan syariat Islamiyah di Negara Brunei Darussalam.

5. Bertitik tolak daripada lakaran sejarah murni ini, kita memandang ke hadapan bahawa keadilan dan ihsan akan tetap tegak mengungguli sistem pemerintahan negara yang dicintai ini. Demikian itulah jalan paling lurus menuju negara aman makmur dan mendapat keampunan Allah.

6.Memetik titah Kebawah DYMM mengenai pewartaan Kanun Jenayah Syariah ini, "Tidak diragukan lagi, ia adalah sebahagian dari sejarah besar kita dan negara. Dengan ini, Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggungjawab kita di hadapan Allah telahpun tertunai.", adalah bertepatan dengan sistem pemerintahan raja mutlak di mana, kebertanggungjawaban di sisi Allah SWT adalah sepenuhnya terletak di pundak bahu Ulil Amri.

7. Justeru bagi setiap rakyat yang beriman dan cintakan keadilan adalah wajib untuk mentaati Baginda sebagai Ulil Amri selagi mana Baginda tidak mengajak rakyat ke jalan syirik. Presiden NDP dalam ucapannya di Kongres ke-8 NDP pada 21 Jun 2013 merakamkan, "Kesungguhan Baginda untuk melaksanakan Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah adalah suatu yang luar biasa kerana tidak ramai pemimpin Negara umat Islam yang mempunyai komitmen setinggi kesungguhan Baginda itu. Dalam hal ini, NDP telah menegaskan hukum WAJIB mentaati Baginda Kebawah DYMM."

8. Dalam ucapan yang sama, Presiden NDP juga menggesa agar kerajaan menyediakan sarana yang selengkapnya bagi menjamin perlaksanaan kanun tersebut mencapai matlamat tuntutan Islam yang sebenarnya. Beliau menekankan betapa perlunya ada persiapan yang sempurna dan rapi dari aspek kerangka perundangan, pengamal dan pelaksana bagi menjamin keutuhan tututan syariah itu sendiri.

9. Dengan berkuatkuasanya Undang-Undang Kanun Jenayah Islam ini, insya Allah dengan inayahNya akan wujud masyarakat yang yang benar-benar gerun untuk melakukan sebarang bentuk jenayah. Contohnya, apabila seseorang itu takut dipotong tangannya, lalu dia akan terhalang dari mencuri dan sebaliknya ia akan mendorongnya supaya bekerja dan berusaha untuk mencari rezeki yang halal, natijahnya negara zikir ini akan melahirkan rakyat yang rajin dan bebas dari meminta-minta.

10. Insya Allah, sebarang sungutan dan keraguan mengenai Kanun Jenayah Islam ini pasti akan terhurai apabila nikmat keamanan dan kemakmuran sejati itu dapat dirasakan oleh setiap rakyat, sebab undang-undang jenayah Islam adalah berpaksikan keadilan dan perikemanusiaan, dan menjaga kepentingan dan maslahah yang lebih besar.

11. Kanun Jenayah Islam antara lain bertujuan memberikan pembalasan yang setimpal dengan kesalahan, bertujuan untuk mendidik dan mengajar masyarakat seluruhnya, sebagaimana hikmah perlaksanaan hukuman di khalayak ramai.

12. Islam menekankan peri perlunya melakukan pencegahan terhadap apa jua perkara yang boleh mendorong masyarakat melakukan jenayah dan maksiat. Umpamanya menutup pusat kegiatan maksiat, memudahkan urusan berpoligami, meningkatkan ekonomi dan pendapatan masyarakat dan sebagainya (amr ma'ruf nahi munkar).

13. Insya Allah bemulanya dari Kanun Jenayah Islam ini akan tertegaklah keadilan yang lebih luas yang diredhai oleh Allah SWT seperti yang diungkap oleh Allahyarham Prof Dr Saedon, "Setiap orang adalah sama di sisi undang-undang. Tidak ada orang yang di atas undang-undang tetapi memang ada yang dikecualikan oleh undang-undang ini, bukan kerana keistimewaannya tetapi kerana kekurangannya".

"Dan di dalam hukum qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagi kamu, wahai orang yang berakal supaya kamu bertaqwa." (al-Baqarah: 179)

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." (al-Baqarah: 208)


Mahmud Morshidi Othman
Presiden NDP
Limbaruh Hijau
Spg 323, Jln Jerudong,
Brunei Darussalam.
24 Oktober 2013M / 19 Zulhijjah 1434H


~ TAMAT ~

_________________________________________________________________________________


Berikut merupakan petikan sebahagian daripada ucapan Presiden NDP di Kongres ke-8 NDP pada 21 Jun 2013.

Saudara saudari sekalian,

Falsafah MIB merupakan asas kepada pembentukan Negara Brunei Darussalam. Islam adalah tunjang kepada falsafah ini, justeru amat perlu diperkasa dan diberigakan. Kearah itu, kesepakatan dan dokongan segenap lapisan rakyat adalah paling utama.

Salah satu aspek terpenting dalam gagasan sebuah negara Islam adalah perlaksanaan undang-undang syariah. Sebagai seorang  Islam yang beriman dengan Al-Quran,  kita mestilah menjunjung sepenuhnya perintah Allah SWT. Selaras dengan peringatan Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Al-Baqarah: 208)

Begitu juga pada masa yang sama, kita tidak mahu digolongkan sebagai orang yang kafir, zalim ataupun fasiq akibat tidak melaksanakan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT. Amaran ini ditegaskan melalui firmanNya yang bermaksud:

“...dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.” (Al-Maidah: 44)

“...dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Maidah: 45)

“...dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Al-Maidah: 47)

Saudara saudari sekalian,

NDP amat bersyukur dan menjunjung kasih kepada Kebawah KDYMM, yang telah memperkenankan perlaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah di negara ini. Saya percaya perlaksanaan kanun tersebut dibuat bukannya kerana inginkan kemegahan dan kemasyhuran ataupun mencari populariti. Saya juga yakin keputusan ini adalah manifestasi dari sifat ketaqwaan Kebawah DYMM dan Ulil Amri dan sebagai ‘ubudiyyah’ terhadap Allah SWT semata-mata atas fitrah  sebagai hamba yang mentaati segala perintahNya.

Kesungguhan Baginda untuk melaksanakan Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah adalah suatu yang luar biasa kerana tidak ramai pemimpin  Negara umat Islam yang mempunyai komitmen setinggi kesungguhan  Baginda itu. Dalam hal ini, NDP telah menegaskan  hukum Wajib  mentaati Baginda Kebawah DYMM.

Dalam pada itu kita berharap kerajaan menyediakan sarana yang selengkapnya bagi menjamin perlaksanaan kanun tersebut mencapai matlamat tuntutan Islam yang sebenarnya. Kita semestinya mengakui Islam itu sempurna lengkap, dan terpelihara dari segala kekurangan. Justeru kita memohon pertolongan daripada Allah SWT, supaya perlaksanaan kanun ini tidak dicemari oleh sebarang kekurangan dan kelemahan.

Inilah sebabnya mengapa kita  tegaskan   perlunya ada persiapan yang sempurna dan rapi dari aspek kerangka perundangan, pengamal dan pelaksana bagi menjamin keutuhan tututan syariah itu sendiri. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga tidak mahu perlaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah tersebut dilengah-lengahkan atas alasan persediaan belum menckupi.

Kita amat menginsafi akan peringatan Kebawah DYMM pada Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Tahun 1432H / 2011M, yang menitahkan,

“Kerana selaku orang Islam, kita wajib melaksanakannya, sebagai memenuhi tuntutan Allah Subhanahu Wata’ala. Apabila Undang-Undang Syari’ah terlaksana, maka barulah bumi yang permai ini dapat diungkap sebagai ‘negeri yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun’...

...Kerana kita tidak boleh lagi berkata tidak atau tunggu dulu, sebab kita sudah cukup segala-galanya, ada kemampuan dan ada kuasa untuk melaksanakannya. Kalau kita masih juga berkata tidak atau tunggu dulu, ini adalah tidak kena.

Siapalah kita di hadapan Allah untuk berkata  tidak atau tunggu dulu, sedang undang-undang bukanlah baru digubal tetapi telah termaktub di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadis, semenjak dari seribu empat ratus tahun lagi. Di manakah kita dengan Al-Qur’an dan Al-Hadis itu?”


No comments: