Posting mengikut label

Saturday, October 19, 2013

KDYMM: Pelihara Keimanan, Kawal Dari Sebarang Unsur Negatif


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan mengurniakan Titah Sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1434 Hijrah/2013 Masihi. (Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor)

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan, keimanan bukanlah benda remeh-temeh, tetapi benda agung dan besar yang menentukan bagi syurga atau neraka seseorang.

Menurut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, orang beriman dijamin kedudukannya di dalam syurga, sementara orang-orang tidak beriman adalah sebaliknya.

Kebawah DYMM menekankan perkara itu dalam Titah  Sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1434 Hijriah/2013 Masihi yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.

Kerana itu, menurut titah baginda, kita tidak boleh bermudah-mudah dengan perkara keimanan dan kita mesti tegas dan istiqamah dengannya.

Tambah titah baginda lagi, hari ini kita ditakdirkan menjadi orang beriman, sehingga kita dijemput oleh Allah pun, kita wajib jadi orang beriman.

Berasaskan inilah, titah baginda, kita wajib memelihara keimanan kita dengan mengawal dan menjaganya dari sebarang unsur negatif yang boleh mencacatkannya.

Keimanan yang diterima oleh Allah, adalah bersumber dari akidah yang betul yang menentukan kedudukan kita di sisi-Nya.

Terdahulu, baginda bertitah melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat menyambut Aidiladha yang mubarak, yang terdapat di dalamnya beberapa ibadat yang digalakkan kita melakukannya.

Ibadat-ibadat tersebut, titah baginda, ialah Sembahyang Sunat Aidiladha dan Ibadat Korban menyembelih binatang yang mana kedua-dua ibadat ini, sekali gus, menjadi tanda aras kepada keimanan kita.

“Memang, hanya orang beriman sahaja, hatinya akan terikat kepada sembahyang dan kepada melakukan ibadat korban. Walaupun kedua-duanya itu hanya sunat, namun ganjarannya di sisi Allah adalah lumayan,” titah baginda.


Dipetik dari : PELITA BRUNEI

No comments: