Posting mengikut label

Monday, December 23, 2013

Brunei model terbaik


Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Dis – Menteri Besar Kelantan Darul Naim, Yang Amat Berhormat Ustaz Dato Haji Ahmad Yakob menganggap Negara Brunei Darussalam sebagai model dan contoh terbaik sebuah negara Islam pertama di Asia yang melaksanakan undang-undang Syar’iah dan dapat dicontohi oleh Kelantan khususnya dan negara Islam serantau yang lain.

Sambil menyembahkan ucapan tahniah ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas keputusan Baginda melaksanakan Kanun Jenayah Syar’iah di negara ini, beliau menyifatkan langkah Baginda itu merupakan satu titik bersejarah dan pembakar semangat kepada Negara Brunei Darussalam untuk selalu beristiqamah dalam mendaulatkan syariat Islam.

YAB Ustaz Dato Haji Ahmad menyatakan perkara ini semasa mengetuai rombongan delegasi kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim mengadakan kunjungan ke Jabatan Mufti Kerajaan hari ini.



Beliau menyifatkan lawatan ke sini telah memberi semangat kepada Kelantan kerana dapat melihat dan mengetahui keadaan sebenar keupayaan Brunei ke arah melaksanakan Perintah Kanun Hukum Jenayah Syar’iah dan mencari halangan-halangan yang terdapat di Malaysia supaya dapat terus dilaksanakan di negeri  itu.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Dato Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned ketika berucap mengalu-alukan  lawatan  Ustaz Dato Haji Ahmad dan 14 pegawai kanan kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim ke Darulifta hari ini berkata, hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan Kelantan Darul Naim sebagai tali persaudaraan yang terjalin kerana Allah SWT yang tidak akan berganjak daripada menjadi pencinta dan pembela umah.

Yang Berhormat Pehin Mufti berkata, persaudaraan kerana Allah itu benar-benar dirasai semasa majlis menghadap rombongan itu ke hadapan Majlis Baginda Sultan dua hari lalu.

“Saya melihat raja kami begitu ramah dan mesra dengan Dato-Dato, begitu juga di pihak Dato-Dato terhadap Baginda Sultan dan amat mengharukan sekali apabila mendengar ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan atas keputusan Baginda melaksanakan Kanun Jenayah Syar’iah di Negara Brunei Darussalam,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Dato Haji Ahmad dalam ucapan balasnya berkata, selain dapat mewujudkan perasaan mahabbah dan kasih sayang di antara Kelantan Darul Naim dan Negara Brunei Darussalam, pengalaman yang diperoleh daripada lawatan itu merupakan pengalaman yang sangat berharga, sambil menjelaskan beliau akan terus menghantar rombongan pegawai-pegawainya untuk sebaik saja Perintah Kanun Jenayah Syar’iah itu dilaksanakan di negara ini untuk melihat dan mendapat pengalaman dan bukti jelas bahawa hukum hudud dapat dilaksanakan di negeri itu.

Ujarnya lagi, hasil pelaksanaan hukum hudud akan memastikan keamanan dan  menghapuskan ketakutan masyarakat untuk berada di negara masing-masing terutama daripada ancaman-ancaman jenayah, sekali gus akan mengurangkan perbuatan jenayah yang mengancam keamanan jiwa umat Islam hari ini

“Ini menjadi satu cabaran kepada kami di Negeri Kelantan Darul Naim yang pada 1993 telah meluluskan di Dewan Undangan Negeri Kanun Jenayah Syar’iah tetapi masih menghadapi halangan-halangan untuk melaksanakannya,” kata beliau.

Jelasnya lagi, setelah negara ini dapat melaksanakan hukum berkenaan kelak diharap akan memberi kesedaran kepada pemimpin negaranya untuk melaksanakan perintah Allah SWT itu.

Beliau menegaskan pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh setelah menziarahi empat jabatan iaitu Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Peguam Negara dan  pertemuan serta perbincangan dengan hakim-hakim Mahkamah Syariah dan Jabatan Mufti Kerajaan sangat berfaedah untuk dibawa balik.

Antara tujuan lawatan tersebut ialah untuk mempelajari serta mendapatkan maklumat dengan lebih jelas lagi mengenai perlaksanaan Hukum Hudud sebagai undang-undang di Negara Brunei Darussalam dalam proses untuk melaksanakan Hukum Hudud di Kelantan khususnya.

Pada kunjungan itu beberapa program diaturkan antaranya ialah perbincangan dan muzakarah dengan Jabatan Mufti Kerajaan yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Mufti Kerajaan dan rombongan kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai oleh Dato Haji Ahmad.

Beberapa pertanyaan menarik dikemukakan oleh ahli rombongan terutama mengenai perkembangan terkini di negara ini terhadap pelaksanaan Kanun Jenayah Syar’iah, di samping mengenai pengaruh dan kesannya terhadap pentadbiran dan kehidupan umum di negara ini.

Kunjungan rombongan kerajaan Negeri Kelantan itu berakhir dengan lawatan ke Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Darul Ifta.

Sementara itu, petang ini Menteri Besar Kelantan berserta rombongan berkesempatan melawat ke Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. Kunjungan mereka dialu-alukan oleh  Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hishambin Haji Masri serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Semasa lawatan tersebut, para rombongan ditayangkan dengan video mengenai Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan seterusnya menunaikan solar Asar berjemaah, sebelum dibawa meninjau di persekitaran luar dan dalam bangunan masjid itu.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: