Posting mengikut label

Monday, December 23, 2013

Nelayan, petani demo bantah TPP


MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
18 Disember 2013

KUALA LUMPUR - Solidariti Utara Untuk Kedaulatan Makanan (Sukma) hari ini mengadakan satu demonstrasi bantah perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTP) di hadapan Central Market, di sini.

Menurut bendaharinya, Radzi Said, demonstrasi bertujuan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak perjanjian ini serta berusaha melindungi Dasar Sekuriti Jaminan Makanan Negara (DSJMN) dan mempromosi usaha-usaha ke arah mempertahankan kedaulatan makanan negara.

Sebahagian peserta demonstrasi membantah perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
"DSJMN seharusnya menumpukan peningkatan bekalan makanan domestik untuk keperluan negara dan kedaulatan makanan negara...

"Ianya juga harus menjamin hak rakyat untuk memperoleh makanan hasil setempat yang bersih, sihat dan bebas daripada unsur-unsur kawalan korporat dan spekulasi pasaran.

"Perjanjian TTP seharusnya menumpukan usaha mempromosi perdagangan yang benar-benar bebas, adil dan selamat, namun melalui laporan-laporan yang boleh dipercayai dan kajian-kajian ekonomi, perkara sebaliknya yang berlaku, oleh itu kita tuntut PM supaya jangan memeterai perjanjian ini," katanya.

Perjanjian TPP menjadi isu yang cukup kontroversi sejak idea pembentukannya yang ketika itu dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Strategik Ekonomi Trans-Pasifik atau P4 bermatlamat meliberalisasi ekonomi rantau Asia Pasifik yang digerakkan oleh Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura pada 2005.

Malaysia menyertai rundingan perjanjian TPP pada 2010. Rundingan tersebut kini diperluaskan meliputi 12 anggota.

Negara lain yang turut menyertai rundingan perjanjian TPP ialah Australia, Vietnam, Mexico, Kanada, Peru, Amerika Syarikat dan Jepun.

Hampir 50 orang yang terdiri daripada nelayan dan petani dari Kedah menyertai demonstrasi ini.

Dipetik dari - Sinar Harian

No comments: