Posting mengikut label

Thursday, December 12, 2013

PERBINCANGAN FOKUS GROUP BERSAMA TEMAN-TEMAN FB NDP HQ BRUNEI MENGENAI ISU PENGGANGURAN



ANJUNG SYURA LIMBARUH HUJAU, 2 Disember 2013: Seramai 20 orang     teman-teman FB NDP HQ Brunei termasuk beberapa orang  ahli NDP  telah menghabiskan masa lebih dua jam bagi membincangkan isu 18,000 belia yang menganggur, yang menjadi kebimbangan Kebawah DYMM seperti Titah Baginda sempena Sambutan Hari Belia Ke-8 Tahun 2013 pada 20 November 2013 yang lalu.

Turut Hadir  ialah Presiden NDP Saudara Mahmud Morshidi Othman dan Timbalan Presiden Sdra. Hj. Juned bin Hj. Ramli. Moderator Sembangsaran Kumpulan Fokus Siri Kedua tersebut ialah Sdra Malai Hassan Othman Mantan Pemangku Presiden NDP .

Sesi Pertama Kumpulan Fokus yang membincangkan Isu sama ialah pada 29 September 2013 yang lalu.

Perbincangan kali ini tertumpu kepada Isu 18,000 belia menganggur dan cara mana untuk menanganinya. Isu yang menyentuh kebimbangan Kebawah DYMM ini turut dikongsikan oleh NDP justeru, akan diadakan lagi sembangsaran kumpulan fokus pusingan ketiga dalam masa terdekat.





Inn Syaa Allah, dapatan-dapatan pandangan itu nanti akan di persembahkan Kehadapan Majlis Kebawah DYMM untuk dikongsikan dengan Baginda.

Pada Sambutan Hari Belia ke-8 Kebawah DYMM telah bertitah “Isu Pengangguran jika tidak ditangani secara bersepadu akan mungkin sahaja menyebabkan kestabilan sesebuah Negara turut tergugat….”

“Negara kita tidaklah terkecuali dari mengalami perkara yang sama, dimana seramai lebih kurang 18 ribu belia adalah dalam kategori mencari pekerjaan…..” demikian Titah Baginda.

Pada sesi sembangsaran tersebut perbincangan dibahagikan kepada 3 aspek iaitu Cabaran-Cabaran yang dihadapi oleh pasaran tenaga kerja (employment market), availability peluang pekerjaan dan langkah-langkah kehadapan.

Yang membimbangkan ialah perkembangan ekonomi yang tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak banyak perubahan iaitu sekitar 20 – 21 billion sedangkan perbelanjaan Negara semakin meningkat.

Walaupun bagi sesetengah kalangan bertanggapan kadar pengangguran masih dilihat rendah namun jumlah 18,000 belia yang menganggur dan mungkin beberapa ribu lagi diluar kategori belia yang menganggur sudah cukup untuk meletakkan asas kebimbangan Kebawah Duli tersebut.

Jumlah 18,000 penganggur dari kalangan belia seperti yang disebutkan adalah bersamaan 9% pengangguran , nisbah diantara yang tertinggi di rantau ini.

Dapatan kajian SPS (Think Tank Negara) 2012 pengangguran di kalangan keluarga berpendapatan rendah adalah 80% .

Bertitik tolak daripada ini, Majlis Sembangsaran mengenal pasti beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan oleh pihak berkenaan, antara lain meletakkan hala tuju atau direction pembangunan ekonomi selain minyak dan gas seperti kearah Negara Pertanian, Negara Industri Asas Tani, Negara Pembuatan , Negara Berteknologi Tinggi dan seumpamanya. Jesteru, orentasi dan hala tuju pendidikan dan latihan , dasar pembangunan dan dasar perdagangan dalam negeri dan luar negeri hendaklah disejajarkan dengan hala tuju tadi.

Kedua kita menyedari bahawa tidak ada kerajaan yang boleh menampung seluruh tenaga kerja untuk diserapkan ke dalam sektor awam. Oleh yang demikian pihak berkenaan hendaklah menyediakan prasarana yang mantap untuk menarik pelabur-pelabur asing (FDI) untuk melabur ke Negara kita.

Melalui usaha berkenaan dengan sendirinya Negara akan melahirkan masyarakat usahawan tempatan  dari kalangan usahawan SMI/SME yang akan menjadi syarikat- syarikat sokongan  kepada syarikat-syarikat besar yang melabur di Negara ini.

Antara lain perkataan Kemasukan Pelabur Asing dengan sendirinya akan mewujudkan pekerjaan disamping melahirkan ramai usahawan-usahawan SMI/SME.

Ketiga, belia-belia yang berminat untuk membuka perusahaan atau perniagaan sendiri perlulah dibantu dengan menyediakan khidmat mentorship, selain itu pihak berkenaan juga disaran agar menyediakan kemudahan bengkel operasi , peralatan dan modal pusingan secukupnya secara percuma untuk satu tempoh yang munasabah.

Keempat, Majlis Sembangsaran sependapat tanggungjawab kerajaan ialah untuk mensejahterakan kehidupan rakyat. Kearah itu menyediakan pekerjaan bukanlah satu jawapan mutlak. Kerajaan masih berupaya untuk membukakan peluang pelaburan kepada seluruh rakyat untuk melabur di dalam perusahaan-perusahaan besar Negara seperti disektor minyak dan gas, Agensi Pelaburan Brunei dan lain-lain syarikat-syarikat kerajaan (GLC). Melalui partisipasi pelaburan rakyat seperti yang dimaksudkan dengan sendirinya akan meningkatkan pendapatan mereka melalui agihan keuntungan atau dividen.

Kelima, Peserta-peserta kumpulan focus bersependapat sesuai dengan tanggungjawab kerajaan untuk mensejahterakan rakyatnya, penganggur-penganggur yang dikenal pasti hendaklah diberikan elaun sementara sehingga mereka memperolehi pekerjaan sekurang-kurangnya pada kadar BND300 sebulan bagi mengurangkan tekanan kehidupan ibu bapa yang menanggung mereka dan bagi menampung keperluan mereka yang menganggur tadi.

Pemberian elaun sara hidup bagi yang menganggur dan yang sedang mencari pekerjaan bukanlah satu amalan yang asing bagi Negara-negara maju seperti Australia, Kanada, Finland, Germany, Ireland, New Zealand dan Arab Saudi.


Majlis Sembangsaran Kumpulan Fokus bermula pada kira-kira  jam 2 petang dan berakhir jam 6 petang. (PeNA)

No comments: