Posting mengikut label

Thursday, December 5, 2013

Ucapan Presiden NDP sempena Ulang Tahun ke-9 Penaikan Sang Setia


UCAPAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) SEMPENA ULANG TAHUN ISTIADAT PENAIKAN BENDERA SANG SETIA KE 9 PADA 27 MUHARRAM 1435 BERSAMAAN 1 DISEMBER 2013

Bismillah hirrahman nirrahim
Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Ala Ummuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa'alaa 'Alihee Wasahbihee Ajma'een Waba'du.

Yang Berusaha Pengerusi JK Penaikan Bendera Sang Setia Ke 9 2013, Yang Di Hormati TYT Timbalan Presiden, Yang Berbahagia Naib-Naib Presiden, Yang Di Hormati Tuan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap, Ahli-Ahli Lembaga Penasihat, Ketua Himpunan Non Muslim, Ketua Himpunan Pemuda, Ketua Himpunan Wanita, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Pemimpin-pemimpin Parti di peringkat Perhubungan dan Ranting, ahli-ahli NDP, Hadirin dan Hadirat Sekalian.

Assalamualaikum WBR,

1. Alhamdulillah kita Bersyukur kehaderat Allah SWT, dengan limpah rahmatNya dapatlah kita berkumpul sekali lagi diIstiadat Penaikan Bendera Sang Setia kali ke 9 di Laman Markas Pusat NDP dipagi yang indah permai ini.

2. Perhimpunan kita pada hari ini dibawah limbayong Sang Setia ialah bagi membaharui ikrar kesetiaan kepada nusa bangsa dan kecintaan kita terhadap kehidupan sejagat yang aman damai dan harmoni seperti takrif warna hijau didalam panji kita.

3. Demikian juga Sang Setia yang kita kibarkan pada pagi ini turut membawa mesej ketulusan dan keilkhlasan kita mendukong Ketuanan Kesultanan Melayu Brunei dan tanpa berbelah bahagi menyukong Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam usaha-usaha Baginda membangun negara dan membina keutuhan bangsa seperti takrif garis kuning yang mengelilinginya.

Saudara saudari sekalian,

4. Hari ini Sang Setia diuji oleh Allah SWT dengan meletakkan tanggung jawab menggalas amanah yang amat berat, iaitu, bukan sekadar menyukong dan mendukung Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kerajaan Baginda tetapi ikrar untuk rebah bangun bersama Baginda mempertahankan Syariat Islam di bumi yang bergelar negara zikir, yang sewajibnya berpaksikan kebenaran dan keadilan.

5. Hayatilah dengan sesungguhnya makna dan simbol Bendera dan Panji Parti Pembangunan Bangsa ini sebagai sumber penyuntik semangat juang kita menuju keredhaan Allah SWT.

6. Jangan lah saudara saudari rasa segan silu untuk mempamirkan lambang-lambang kita ini kepada khalayak yang membawa sebuah idealisma perjuangan murni.

7. Kita tidak perlu merasa asing dan rendah diri untuk memakai dan mempamirkan selempang dan lencana parti kepada khalayak kerana ia bukannya suatu kesalahan atau jenayah lebih-lebih lagi bendera dan Panji NDP ini telah kita daftarkan dengan pihak berkenaan.

8. Kita seharusnya bersyukur dan bangga sebagai seorang ahli parti kerana mermpunyai bendera dan panji sendiri. Sesungguhnya, tidak banyak pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai bendera rasmi yang mendapat kelulusan pihak berkenaan.

9. War-warkanlah visi, misi dan objektif utama parti yang terangkum didalam bendera dan panji kita ini kepada mereka diluar parti supaya sekurang-kurangnya mereka memahami hala tuju pergerakan kita justeru, kalaupun tidak menyokong kita Insyaallah, mereka tidak akan memusuhi kita.

Saudara saudari sekalian,

10. Tuntutan politik menghendaki supaya kita menterjemahkan ikrar taat setia kepada raja dan pemerintah untuk mempertahankan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara. Tuntutan itu kini telah sampai dipuncaknya apabila Kebawah DYMM memperkenankan pewartaan Kanun Jenayah Syariah baru lalu.

11. Seperti yang saudara saudari maklumi, reaksi awal musuh-musuh Islam ialah dengan memperlekeh Kanun Jenayah Syariah ini dituruti dengan ugutan dan serangan memburukkan Imej Kebawah Duli dan Ahli Kerabat.

12. Percayalah, musuh-musuh Islam ini tidak akan berhenti setakat itu. Mereka pasti mengatur strategi untuk terus “menyerang” Islam, Kebawah Duli dan Negara Brunei tercinta ini.

13. Kita berharap dan berdoa, semoga Allah memberikan segala kekuatan dan ketabahan kepada Kebawah DYMM untuk menghadapi cabaran-cabaran getir itu.

14. Kita berseru, seluruh apparatus Negara hendaklah digembeling bagi menggalas tanggungjawab mempertahankan perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah ini seterusnya menjayakannya sehingga benar-benar diterima oleh kawan dan lawan.

15. Hal ini amat penting untuk direalisasikan sebagai cerminan sebenar keadilan Islam yang manjadi maqasid syariah menuju keamanan dan kemakmuran rakyat. Kita berharap semoga Negara Brunei Darussalam akan menjadi model sebuah Negara Islam yang maju dan perkasa, yang aman dan sejahtera mengatasi top ten Negara termaju dunia dan mampu menjadi contoh ikutan Negara-negara Islam dan bukan Islam lainnya.

16. Kearah itu, bukan hanya kalangan cendikiawan dan para elit, malah lebih-lebih lagi rakyat jelata yang merupakan stakeholder terbesar Negara sewajarnya siap siaga dibarisan depan untuk berjihad mempertahankan syariat Islam ini.

17. Kita tidak ada pilihan selain membulatkan perpaduan dan mencurahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda disamping berterusan mengisi jiwa kita dengan ilmu dan keimanan.

18. NDP mendidik ahlinya supaya mendasari kesetiaan kepada Ulil Amri diatas kefahaman bahawa mentaati Baginda Sultan itu adalah wajib hukumnya selagi mana Kebawah Duli dan pemerintah tidak melakukan syirik dan menghalang berkembangnya syariat.

19. Pewartaan Kanun Jenayah Syariah baru-baru ini adalah kemuncak pengabdian Baginda sebagai seorang makhluk kepada Khaliq. Kebawah Duli telah menghadiahkan kepada umamah apa yang sewajibnya Baginda tunaikan justeru, apa pula hadiah kita yang selayaknya untuk dipersembahkan kepada Baginda melainkan taat setia yang setulusnya.

20. Tuntutan syarak yang mendasari pegangan kita meletakkan hukum wajib mentaati Baginda dan pemerintah. Pegangan inilah yang membezakan nilai kesetiaan yang kita hayati itu dengan kesetiaan mereka yang didasari oleh kepentingan dunawi.

21. Kesetiaan yang dijana melalui anugerah pangkat gelaran, pemberian kemewahan, imbuhan-imbuhan dan bantuan kebajikan tidak menjamin kesetiaan sebenar seseorang itu kepada raja, nusa dan bangsanya. Ikrar taat setia seseorang kepada raja dan pemerintah yang tidak didasari atas asas menuju keredhaan Allah adalah kesetiaan yang palsu belaka.

Saudara saudarai sekalian,

22. Hari ini kita berhadapan dengan ancaman keselamatan yang pelbagai dan sewajarnya disambut sebagai cabaran yang menuntut seluruh rakyat untuk bersatu dan berdiri teguh dibelakang Kebawah DYMM dan rebah bangun bersama Baginda.

23. Semua pihak, dari atas sampai kebawah, dari ningrat hingga kerakyat jelata hendaklah berkerja keras dengan tulus ikhlas bersama Baginda menjaga dan membangunkan nilai-nilai kebangsaan iaitu survival rakyat, keutuhan wilayah, kemerdekaan politik dan kekuatan ekonomi.

24. Jika kita leka dan “malas tah kan ingau”, boleh saja intergeriti nasional akan tergugat, dan boleh saja penjajahan bentuk baru akan menguasai Negara dan rakyat kita.

25. Selain cabaran yang dihadapi bersabit pewartaan Kanun Jenayah Syariah yang disebutkan tadi, keberangkalian, Negara dan pemimpin utama kita juga akan menjadi sasaran spy gate scandal – pengintipan maklumat antara negara yang seolah-olahnya tiada seutas benang lagi yang tinggal menutupi dan melindungi maklumat keselamatan sesebuah negara dan pemimpinnya.

26. Ancaman siber atau cyber threat Ini adalah ancaman keselamatan bentuk baru yang boleh meruntuhkan sebuah regime justeru tidak boleh dipandang ringan oleh pihak-pihak berkenaan.

27. Dalam konteks ini, kita amat kesal jika benar laporan media antarabangsa yang mengaitkan sebuah Negara sahabat paling akrab dengan Brunei turut dijadikan pangkalan Amerika untuk memantau dan mengitip maklumat rahasia Negara sahabat yang lain.

28. Keadaan ini sudah cukup untuk dijadikan iktibar dan menyedarkan kita agar sentiasa waspada betapa Negara realist dan Negara yang tidak beriman dengan kebanaran, hatta yang bergelar sahabat pun akan meletakkan kepentingan nasionalnya diatas lain-lain kepentingan.

Saudara saudari sekalian,

29. Bagi golongan realist, mereka boleh saja meremehkan sesuatu yang hak dan penting bagi orang lain dan sebaliknya mementingkan yang remeh. Justeru atas pendekatan dan premis inilah mereka akan menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal, semudahnya mencetuskan krisis, konflik dan peperangan asalkan ia ada kaitan dengan kepentingan nasional mereka.

30. Disinilah perbezaan besar antara idealist dan umat Islam sejati, dimana umat Islam sejati akan tetap berpegang dengan hak dan kebenaran walau dalam keadaan apa sekali pun. Kita berpegang bahawa kebenaran itu adalah milik Tuhan yang tidak dapat dirobah, diputar dan dimanipulasi sehingga ia “menjadi halal” atau “kelihatan halal”.

31. Jika ada sesiapa dikalangan umat Islam yang sedia memutar belitkan atau mentarbalikkan yang hak menjadi batil dan yang batil sebagai hak, maka orang itu adalah orang-orang yang fasiq dan bukanlah dari kalangan orang-orang yang beriman.

32. Mengintip dan mencungkil rahasia orang lain yang tidak dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya kerana ianya boleh saja menimbulkan fitnah, membawa kerosakan dan menggugat kemaslahatan ummah.

33. Allah SWT memberi peringatan “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya” (Surah Al-Baqarah, ayat 42).

34. Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang bermaksud, “Bahkan kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya maka dengan serta merta hilang lenyaplah ia (kebatilan)…” (Surah al-Anbiya', ayat 18).

35. Demikianlah sewajibnya pegangan kita umat islam dan Negara-negara umat Islam untuk menolak fahaman realist yang rakus yang bersedia untuk melakukan apa saja, menghalalkan cara untuk mencapai matlamat mereka.

36. Sejarah telah memboktikan bahawa kumpulan ini adalah dominant didalam hubungan antarabangsa dengan pegangan tiada musuh yang kekal, yang ada hanyalah kepentingan nasional sekalipun memukul sahabat dari belakang.

Saudara saudari sekalian,

37. Hari ini kita sedang menyaksikan pengaruh Syiah semakin mengasak dinegara-negara umat islam. Mereka tergamak menghalalkan darah umat Islam selain Syiah dengan menyeret umat islam supaya bertelagah, berkelahi dan berperang hingga terbuka pintu-pintu kezaliman, dan semudahnya dimasuki musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam sendiri.

38. Syiah menyebarkan doktrin yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Waljemaah. Mereka juga tergolong kedalam kelompok mereka yang terlalu idealist bercita-cita besar untuk menguasai dunia bermula dengan agenda penghapusan umat Islam yang berpegang selain Syiah.

39. NDP ingin saling ingat mengingati betapa sibuknya kita menumpukan perhatian keatas perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah, kita jangan pula alpa akan ancaman keselamatan yang boleh ditimpakan oleh doktrin Syiah ini.

40. Pergerakan dan modes operandi kumpulan ini amat licik, sebagai contoh tiada angin, tiada hujan, lalu tiba-tiba saja kita mendengar bahawa terdapat lebih 300 ribu penganunt Syiah di negara jiran. Kita akan terperdaya jika menganggap air yang tenang itu tiada buaya.

Saudara saudari sekalian,

41. Yang turut membimbangkan kita ialah ancaman ideologi baru yang dinamai Human Rights atau “Hak Asasi Manusia (HAM)”. Ham merujuk kepada hak-hak individu atau kumpulan individu semata-mata kerana mereka adalah manusia.

42. Fahaman ini bertitik tolak dari latar sejarah tamadun Rom dan Greek. Magna Carta (1215), Bill of Rights di England (1688), periystiharan hak asasi manusia di Perancis (1789 dan Amerika (1766).

43. Selepas itu terbentuklah beberapa buah piagam, konvensyen, dan instrument antarabangsa berhubung dengan hak serta kebebasan manusia. Yang terpenting dan menjadi rujukan promoter Hak Asasi Manusia ialah Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB (UDHR) 1948.

44. UDHR telah membahagikan hak asasi utama, iaitu kebebasan daripada ketakutan, kebebasan daripada kemahuan, kebebasan bersuara dan, kebebasan kepercayaan. Dari empat bentuk kebebasan utama itu, tersenarailah puluhan hak-hak asasi manusia dari hak sivil dan politik sehinggalah hak ekonomi, agama, social dan kebudayaan.

45. Kita diingatkan oleh para cendikiawan Islam supaya jangan semberono menerima bulat-bulat doktrin Hak Asasi manusia yang diasakkan pada kita. Hak asasi Manusia pegangan dan fahaman kita ialah, ia mestilah diasaskan pada realiti setempat, sejarah, budaya, tradisi Islam dan Syariat Islam.

46. Kita tidak menolak akan adanya kebaikan-kebaikan dari doktrin Hak Asasi Manusia dari segi memelihara kepentingan awam atau maslahah umum seperti hak bersuara dan menentukan sistem pemerintahan sendiri, hak pendidikan dan hak-hak perlindungan keselamatan dan seumpamanya.

47. Namun demikian, seperti peringatan para cerdik pandai, kita tidak seharusnya terperangkap dengan doktrin dan anjuran-anjuran hak asasi manusia yang kelihatan lunak dan meyakinkan itu dan menerimanya seratus peratus.

48. Mengambil contoh isu-isu hak kebebasan beragama, Hak kebebasan amalan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, inter-sex, & Queer Persons (LGBTIQ), hak pemeliharaan kanak-kanak yang melibatkan ibu/bapa murtad dan hak-hak wanita adalah antara isu yang memerlukan tumpuan para ilmuan dan agamawan kerana banyak perkara di dalamnya yang ada kaitan dengan syariat dan dilihat terdapat perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat sendiri.

49. Sehubungan itu, NDP menyarankan agar Brunei yang dikenali sebagai Negara Zikir ini mengkaji semula dan merectify semua protocol, konvokysen, deklarasi dan apa jua bentuk persetujuan yang telah ditanda tangani dengan mana-mana pihak bertujuan memurnikan natijah perjanjian/permuafakatan/persetujuan itu selaras dengan syariat.

50. Pada tempat-tempat perlu dibatalkan, batalkanlah, pada tempat-tempat perlu ada reservation, reservelah, pada tempat-tempat perlu diamend/directify, amend dan rectifylah.

51. Negara Brunei Darussalam sewajarnyalah mendepani isu-isu Hak Asasi Manusia ini dengan menggembeling tenaga-tenaga pakar Islam/ulama bertaraf dunia sehingga berupaya menterjemahkan kemurnian syariat kedalam international instruments ini.

Saudara saudari sekelian,

52. Suatu hal yang kita insafi ialah, Perlembagaan Negara itu adalah asas terbentuknya undang-undang dan peraturan, justeru jika Perlembagaan tidak kukuh maka lain-lain yang bertinggik diatasnya pasti akan goyah.

53. Justeru itu jika di dalam Perlembagaan Brunei sendiri, masih ada lompongan yang tidak selaras syariat maka hendaklah kita perbaiki, amend dan rectify. Jika terdapat klausa-klausa pada perlembagaan, undang-undang dan peraturan-peraturan yang tidak selari dengan syariat hendaklah dibatalkan atau diperhalusi sesuai kehendak syariat dan maqasid syariah itu sendiri.

54. Manifesto Parti Permbangunan Bangsa 2006-2016 turut menyeru agar Kerajaan Kebawah DYMM “mempertimbangkan saranan pemansuhan undang-undang yang memberikan imej negatif kepada Negara Brunei Darussalam, lebih-lebih lagi undang-undang yang bertentangan dengan hak-hak asasi kemanusiaan mengikut syariat Islam”.

Saudara saudari sekelian,

55. Kesimpulannya, kita hendaklah melihat isu-isu serangan musuh Islam keatas Pemimpin dan Negara kita berikutan pewartaan Kanun Jenayah Syariah, pencurian maklumat oleh Amerika dan keberangkalian Negara kita turut diintip oleh Negara sahabat sendiri, ledakkan pengaruh Syiah yang membawa bencana perpecahan, konflik dan peperangan, dan doktrin Hak Asasi Manusia yang banyak bertentangan dengan syariat adalah merupakan pontential national security threat, justeru langkah-langkah pendidikan, penerangan, pencegahan dan kawalan hendaklah dirangka dengan rapi dengan mengambil iktibar dan pengalaman Negara-negara lain.

56. Kita berdoa semoga Allah SWT meredhai perjalanan NDP ini untuk berperanan sebagai penampan/buffer di barisan hadapan dalam menghadapi serangan-serangan musuh sama ada dari kalangan orang Islam atau bukan Islam, sama ada dari dalam negeri atau dari luar Negara, dan semoga Allah mengurniakan taufeq hidayahnya kepada kita semua sehingga dapat melihat mana kawan dan mana lawan, mana yang hak dan mana yang bathil agar perjalanan kita menuju kerdehaan Allah itu tidak disampiri oleh perkara-perkara yang dipandang keji oleh Allah SWT.

57. Rabbana La Tajalna Fitnatan Lil Qaumizzalimin. Wanajjina Birrahmatika Minal Qaumil Kafirin

58. Akhirnya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga JASA yang menjadi Ahli Jawatankuasa Istiadat Penaikan Bendera Sang Setia Ke 9 yang di pengerusikan oleh Adinda Pengiran Shahrilan bin Pengiran Ahmad yang juga Ketua Himpunan Pemuda yang telah menyempurnakan dengan jayanya majlis beristiadat dan bersejarah ini.

Allah hu Akbar ! Allahhu Akbar ! Allahhu Akbar ! Walillahil Hamd !

Sekian - Wabillahi Taufeq Wassalammualaikum WBR

No comments: