Posting mengikut label

Wednesday, December 4, 2013

KDYMM: Usah terperangkap dalam kerugian




Oleh Imelda Farrah Zohre HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, negara memerlukan golongan belia yang berdisiplin untuk mempertahankan negara serta memastikan pembangunan yang berjaya.

Titah Baginda, golongan belia, tidak syak lagi, adalah pemimpin. Mereka inilah yang mencorakkan masa depan bangsa.

Baginda turut mengingatkan golongan belia bahawa dunia hari ini memang penuh dengan pelbagai cabaran globalisasi di mana mereka sentiasa berhadapan dengan bermacam-macam bentuk cubaan yang dicetuskan oleh kemajuan teknologi info-komunikasi.

“Apabila ia tidak ditangani dengan baik, bukan saja akan melalaikan malah juga boleh melemahkan para belia. Belia selaku aset negara, janganlah terperangkap dengan perkara-perkara yang merugikan lebih-lebih lagi merugikan negara,” tegas Baginda.

Baginda Sultan menekan perkara ini dalam titah Baginda di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Pengambilan Pertama yang berlangsung di Padang Perbarisan Kem Latihan Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut bersyukur dan gembira kerana dapat menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Pertama yang berjumlah seramai 125 orang pagi ini.

“Kepada mereka yang telah berjaya mengikuti program ini, Beta sukacita mengucapkan syabas dan tahniah.”

Baginda Sultan seterusnya bertitah, dalam mencorakkan masa depan bangsa, kita elok melihat kepada sebahagian negara di dunia, sama ada di Eropah mahupun di Asia dan Asia Tenggara yang telah sedia mempunyai program kebeliaan mereka dalam bentuk Khidmat Bakti Negara atau seumpamanya.

Program seperti ini, titah Baginda turut membawa mereka mencapai pertubuhan ekonomi yang tinggi, walaupun setengahnya itu tidak mempunyai sumber asli dan bahkan tergolong sebagai negara yang cuma mempunyai pendapatan per kapita yang rendah.

“Kerana itulah, Beta dengan tidak ragu-ragu telah memperkenankan supaya beberapa projek rintis Program Khidmat Bakti Negara diadakan, yang pada peringkat awalnya diterajui oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

“Program ini mempunyai syllabus latihannya yang bercalak keBruneian berasaskan konsep Melayu Islam Beraja. Ia dipanggil dengan sebutan pendeknya PKBN. Program ini dihasratkan akan menjadi sebagai sebuah program pembangunan belia yang terulung, unik dan berkesan.

“Beta telah pernah menekankan bahawa dalam melaksana program ini, perlulah dipastikan kurikulumnya, infrastruktur, kesesuaian jurulatih dan penyelia serta peralatannya. Semua itu biarlah yang terbaik, sempurna dan terjamin selamat,” titah Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap selama tempoh tiga bulan menjalani latihan cara intensif, para pelatih program ini akan menjadi warga yang baik dan berhemah tinggi.

“Apabila pulang nanti ke pangkuan keluarga dan masyarakat, mereka akan mempamerkan sikap lebih matang untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Dunia hari ini memang penuh dengan pelbagai cabaran globalisasi. Para belia khususnya sentiasa berhadapan dengan bermacam-macam bentuk cubaan yang dicetuskan oleh kemajuan teknologi info-komunikasi.

“Apabila ia tidak ditangani dengan baik, bukan saja akan melalaikan malah juga boleh melemahkan para belia. Belia selaku aset negara, janganlah terperangkap dengan perkara-perkara yang merugikan lebih-lebih lagi merugikan negara.”

Dalam titah Baginda Sultan juga menjelaskan, berdasarkan kajian yang dikendalikan baru-baru ini oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam dan Pusat Pengkajian Dasar dan Strategik (CSPS), beberapa masalah sosial di kalangan belia dalam lingkungan umur antara 15 ke 26 tahun telah dikenal pasti.

Di antara kategori masalah tersebut yang memerlukan perhatian serius ialah perlakuan ganas (Violence), gangguan awam, ponteng sekolah, buli dan penderaan.

Walaupun masalah ini belum di tahap kritikal, tidak seperti yang telah dialami oleh sebahagian negara luar, namun ia tetap membimbangkan, kerana sifat penyakit, ia boleh melarat atau menjangkit pada bila-bila masa sahaja, titah Baginda lagi.

“Negara, perlu ada pendekatan atau cara untuk membendungnya. Di antara cara itu ialah melalui Program Khidmat Bakti Negara yang telah diperkenalkan. Melalui PKBN ini kesedaran dan kefahaman akan dapat ditingkatkan dikalangan para belia.

“Mereka akan menjadi tonggak harapan dan cita-cita kita bersama Baginda seterusnya bertitah, berdasarkan maklum balas yang diterima, program ini telah berupaya untuk membawa perubahan positif kepada para pelatih, sekalipun masa yang diperuntukkan untuk mempelajari banyak perkara adalah sangat pendek, cuma tiga bulan sahaja. Ini menunjukkan betapa para pelatih itu adalah mempunyai kesungguhan dan kemampuan untuk maju.

Menurut kaji selidik yang dibuat oleh Universiti Brunei Darussalam, lebih daripada 80 peratus para ibu bapa dan juga bekas pelatih telah melahirkan rasa puas hati mereka dengan hasil dari program ini. Para ibu bapa pada khususnya, ada yang menyatakan bahawa anak-anak mereka selepas tiga bulan mengikuti program ini, telah banyak berubah, seperti lebih hormat kepada orang tua dan lebih suka membantu orang lain.

“Pada keseluruhannya, Beta turut gembira mengetahui, bahawa program pembangunan belia ini telah mencapai sasarannya. Beta berharap dengan tertubuhnya sebuah pusat dan kem latihan PKBN di Batu Apoi, Daerah Temburong nanti, Insya Allah akan dapatlah kita menerima lebih ramai lagi kemasukan para pelatih yang dianggarkan kira-kira 700 orang pada setiap satu pengambilan.

“Orang ramai, khususnya para ibu bapa dan belia diharapkan akan terus memberikan sambutan dan sokongan kuat lagi pada bagi memenuhi hasrat Kerajaan Beta untuk melahirkan belia-belia cemerlang dinamik dan progresif, yang berbakti kepada Raja, bangsa, agama dan negara”, titahnya lagi.

Di samping itu, Baginda Sultan juga ingin melihat bekas-bekas pelatih yang sekarang ini berjumlah hampir 500 orang, akan terus dapat memainkan peranan mereka di dalam masyarakat.

Dipetik dari - Media Permata

No comments: