Posting mengikut label

Monday, March 14, 2016

$564 juta untuk pertahanan




BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Belanjawan Kementerian Pertahanan bagi tahun kewangan 2016-2017 berjumlah $564,650,540 dengan tumpuan memastikan kedaulatan dan keselamatan yang dinikmati selama ini akan kekal terjamin melalui pengurusan pertahanan yang dinamik dengan mengambil kira pelbagai elemen dan langkah-langkah utama seperti perkembangan sains dan teknologi, mengurangkan dokumentasi, perkongsian sumber yang ada, mencekapkan proses Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta mengukuhkan keupayaan pertahanan selari dengan perkembangan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim ketika membentangkan mukadimah Kementerian Pertahanan pada sesi petang Mesyuarat Pertama bagi Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung hari ini menjelaskan, tumpuan kedua ialah meningkatkan keupayaan ketenteraan yang meliputi alat kelengkapan ketenteraan, mobiliti dan pengangkutan, institusi-institusi latihan yang masih diteruskan dan diambil perhatian bagi memastikan di tahap yang tinggi.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan juga akan mengambil peranan penting ke arah usaha mencapai Wawasan Negara 2035 iaitu membentuk satu strategi keselamatan yang robust untuk memelihara kestabilan dan kedaulatan negara.

Secara ringkas, katanya peruntukan Kementerian Pertahanan bagi gaji kakitangan ialah sebanyak $330,626,780 iaitu penurunan sebanyak 1.6 peratus berbanding tahun kewangan lalu.

Perbelanjaan berulang-ulang diperuntukkan sebanyak $139,433,520 iaitu penurunan sebanyak 17.7 peratus manakala perbelanjaan khas disediakan sebanyak $94,590,240 bagi membiayai 12 projek baru berjumlah $24,208,000 dan 19 projek pengambilan semula berjumlah $70,382,240 yang termasuk peruntukan bagi projek peningkatan keupayaan Kementerian Pertahanan yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Yang Berhormat Pehin menambah kata, fokus Kementerian Pertahanan seterusnya ialah Dokumen Kertas Putih Pertahanan 2011 dan Perancangan Strategik Pertahanan 2012 serta Hala Tuju Dasar yang digariskan bagi strategik keselamatan negara terus menjadi panduan dalam perancangan perkembangan Kementerian Pertahanan dan (ABDB) bagi melaksanakan dengan berkesan misi pertahanan, iaitu bagi mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan mendukung perlembagaan dan Falsafah Melayu Islam Beraja.

“Fokus keempat ialah langkah-langkah diplomasi pertahanan telah meningkatkan sumbangan negara dalam keselamatan serantau dan dunia seterusnya mewujudkan persekitaran keselamatan yang kondusif bagi memastikan keamanan akan terus terjamin,” kata beliau.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman berkata, ini termasuk penglibatan negara secara aktif dalam inisiatif-inisiatif membina keyakinan, kerjasama pertahanan serta misi-misi pengaman dan bantuan kemanusiaan yang dipikul oleh negara ini.

Pembinaan kapasiti dan pembangunan keupayaan akan dijuruskan kepada pelaksanaan berkesan empat keutamaan operasional bagi misi pertahanan iaitu meningkatkan diplomasi pertahanan, memastikan tahap kesediaan dan siap siaga yang tinggi, mengukuhkan hubungan dengan agensi keselamatan tempatan dan meningkatkan perlindungan kepentingan-kepentingan dalam lingkungan wilayah negara.


Sumber - Media Permata

No comments: