Posting mengikut label

Monday, March 14, 2016

Bajet $5.6B




BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, hari ini, telah membentangkan cadangan Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2016/2017 berjumlah $5,600,000,000 atau $5.6 bilion bagi mendukung empat fokus utama iaitu memudah cara perniagaan, meningkatkan produktiviti negara, membina kapasiti dan modul insan, serta memelihara kesejahteraan awam.

Anggaran ini mengambil kira akan keupayaan kewangan kerajaan berdasarkan unjuran hasil pendapatan kerajaan bagi tahun kewangan berkenaan, dan keperluan bagi kerajaan untuk membiayai keperluan-keperluan perbelanjaan operasi, serta mendukung pelaksanaan projek-projek yang selaras dengan fokus perbelanjaan yang ditetapkan.

Yang Berhormat Pehin berkata, pada hakikatnya, jumlah perbelanjaan yang dicadangkan ini adalah lebih tinggi berbanding Anggaran Hasil Kerajaan bagi Tahun Kewangan 2016/2017 yang berjumlah $1,764,930,000 berdasarkan prospek ekonomi global dan negara, terutamanya pasaran minyak global yang tidak menentu pada masa ini.

Ini bermakna kedudukan fiskal kerajaan dijangka akan terus mengalami defisit belanjawan, oleh yang demikian, setiap kementerian dan agensi kerajaan diperingatkan untuk memberikan kerjasama penuh dan menyejajarkan usaha pada mengawal perbelanjaan kerajaan berasaskan keutamaan atau priority spending.

Langkah ini, jelas beliau, juga bertujuan untuk membantu pihak kerajaan mengawal keperluan pengeluaran dari dana-dana rizab yang diwujudkan agar ia berdaya tahan dalam mendokong pembangunan negara ini.

Menyebut mengenai perbelanjaan kerajaan, kira-kira 70 peratus daripadanya merupakan perbelanjaan yang tidak fleksibel. Sebagai contoh, peruntukan yang diperlukan bagi membiayai Gaji Kakitangan Perkhidmatan Awam telahpun mencapai kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan peruntukan.

Dengan hasil pendapatan kerajaan yang jauh menurun, keupayaan kerajaan untuk membiayai perbelanjaan lain sudah setentunya akan terhad, ini bermakna ruang fiskal (fiscal space) untuk melaksanakan Perbelanjaan Kapital dan Kemajuan yang diperlukan bagi projek-projek pembangunan juga akan terbatas, kerana sejumlah besar perbelanjaan tersebut telah diperuntukkan bagi menampung tanggungan-tanggungan operasi yang tidak fleksibel ini.

Oleh itu, tekan beliau, kerajaan perlu tegas dalam mengawal tahap perbelanjaannya bagi maksud mengurangkan pembaziran sumber kewangan dan tenaga.

Ini antara lainnya termasuklah dengan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di bangunan-bangunan kerajaan dan awam termasuk ‘street lighting’ dengan sasaran penjimatan sehingga 30 peratus; mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan operasi dan pemeliharaan aset yang kurang berkeutamaan; meneliti perkhidmatan yang boleh ‘dioutsource’ kepada pihak swasta sebagai langkah menggalakkan Public-Private Partnership dan lain-lain.

Begitu juga agensi-agensi kerajaan juga diarah untuk mengukuhkan pengurusan kutipan hasil masing-masing terutama bagi tunggakan perkhidmatan kerajaan daripada sektor swasta dan orang ramai yang mana pada masa ini adalah berjumlah kira-kira $390 juta.

Berkaitan penggunaan tenaga elektrik, beliau menyeru orang ramai dan pihak swasta di negara ini agar sama-sama turut mengambil langkah-langkah penjimatan dalam penggunaan tenaga elektrik bagi membantu mengurangkan beban subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Di samping keperluan berhemah dan berjimat cermat, ujar Yang Berhormat Pehin lagi. pihak kerajaan juga perlu untuk melaksanakan perubahan cara berbelanja dan dalam membuat perancangan perbelanjaan.

Menurutnya, langkah ini adalah perlu untuk memastikan dalam jangka masa sederhana dan panjang, kerajaan akan mempunyai struktur sumber kewangan yang berdaya tahan dan mengawal sebarang bentuk pembaziran.

Bagi mencapai hasrat kerajaan telah melaksanakan reformasi dalam kaedah penyediaan belanjawan, yang mana mulai Tahun Kewangan 2016/2017 ini, penyediaan belanjawan kerajaan telah dibuat berasaskan kepada ‘Programme and Performance Budgeting‘ (PPB) bagi menggantikan kaedah ‘input based budgeting’ yang telah sekian lama diguna pakai.

Beliau menjelaskan, langkah melaksanakan reformasi ini tepat pada masanya, yang mana melalui kaedah ini, fokus perbelanjaan kementerian dan jabatan akan dipertimbangkan berdasarkan ‘outcome’ berpandukan kepada program atau core functions kementerian dan jabatan masing-masing.

Menyentuh mengenai tema belanjawan, Yang Berhormat Pehin berkata, bagi tahun kewangan ini dirancang berdasarkan tema ‘Mengukuhkan Iklim Perekonomian bagi Mendokong Pembangunan Berterusan’ dengan matlamat untuk mencapai Kemapanan Fiskal dan mendukung dasar mempelbagaikan sumber ekonomi negara.

Yang Berhormat Pehin berkata, tema ini memberikan mesej yang cukup jelas akan penekanan kerajaan kepada memudah cara aktiviti perniagaan dan pelaburan negara, dengan didokong oleh modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi; peningkatan produktiviti negara; dan kesejahteraan awam.

Kesemua ini, tambahnya lagi, merupakan faktor-faktor penting dalam menyumbang dan mendokong pembangunan negara secara berterusan.

“Seyogia, semua kementerian dan agensi kerajaan akan memberikan penekanan dan tumpuan perbelanjaan kepada menyediakan prasarana perniagaan dan pelaburan yang lebih kondusif; memudah cara aktiviti perniagaan; meningkatkan produktiviti sektor awam; dan sebagainya.”


Sumber - Media Permata

No comments: