Posting mengikut label

Wednesday, March 23, 2016

Mesin padi belum sesuai digunakan




Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Mesin-mesin penanaman padi telah pun diperkenalkan di ladang-ladang padi di Daerah Temburong sejak tahun 2009.

Bagaimanapun, ujian-ujian kesesuaian yang dilaksanakan mendapati bahawa keseluruhan penanaman padi di Daerah Temburong belum lagi sesuai untuk menggunakan mesin kerana kawasan-kawasan tersebut mempunyai jenis tanah gambut (thick soil) dan ditambah lagi keadaan dan struktur tanah yang belum stabil yang tidak mempunyai sistem perairan dan saluran air yang teratur.

Maka penggunaan mesin adalah terhad, jelas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong semasa mengulas persoalan yang disuarakan oleh Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad pada permesyuaratan hari kelapan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

Yang Berhormat Dato Haji Ali menambah, hanya Ladang Padi Selapon, Daerah Temburong yang dapat menggunakan mesin traktor yang telah mula digunakan pada akhir tahun 2015.

“Ini kerana ladang ini mempunyai tanah yang sesuai dengan menggunakan mesin dan ini diikuti dengan mesin penanaman juga sesuai digunakan,” ujarnya.

Manakala itu, mesin-mesin lain seperti mesin pengirik dan mesin pengering padi telah pun diperkenalkan kepada peladang-peladang padi di Daerah Temburong tetapi hanya sebilangan peladang padi sahaja yang mampu memilikinya, yang mana mesin-mesin ini telah disenaraikan dalam Skim Insentif Pertanian dan Agrimakanan, di mana peladang-peladang ini boleh membelinya secara subsidi.

Beliau seterusnya menggalakkan para peladang padi yang berkeinginan memiliki mesin-mesin yang berkesesuaian dengan penanaman padi ini bolehlah membuat permohonan dan berhubung terus ke Unit Perkembangan Pertanian di Daerah Temburong.


Sumber - Media Permata

No comments: