Posting mengikut label

Wednesday, March 23, 2016

Menteri jelas perkiraan bantuan zakat


Oleh Syahmi Hassan & Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Mengikut perkiraan Jabatan Perancang Kemajuan Ekonomi (JPKE), Haddul Kifayah iaitu had minima perbelanjaan bagi keperluan asasi seseorang adalah sebanyak $253 sebulan bagi seorang.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (gambar) berkata, had berkenaan masih terpakai sampai sekarang bagi Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

“Jika pendapatan bulanan seseorang berjumlah $1,000 dengan anggota keluarganya seramai lima orang termasuk dirinya, maka $1,000 itu dibahagi kepada lima, jumlahnya adalah $200, maka ia di bawah daripada $253, orang itu dan keluarganya adalah tergolong dalam kategori miskin.

“Manakala fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa kecukupan pada hariannya pada satu hari untuk belanjanya yang tidak mempunyai barang untuk dijualnya bagi mencukupkan keperluannya, ertinya fakir.

“Had minima itu perlu difahamkan, ia digunakan bagi perkiraan menentukan kadar agihan zakat kepada fakir dan miskin. Ia diguna pakai pada masa ini dengan penerima-penerima daripada kalangan asnaf fakir dan miskin berserta tanggungannya menerima pemberian selama 12 bulan, 24, 36, ataupun 60 bulan, setahun, dua tahun, tiga tahun dan lima tahun.


MENTERI Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat, Pehin Udana Khatib Dato Paduka
Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengiran Dato Paduka Haji Othman

“Berdasarkan dengan perkiraan ini, maka bermakna penerima-penerima itu sudah cukup untuk perbelanjaan asasinya,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan demikian sebagai menjawab pertanyaan Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, semasa sesi soal jawab persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari ini.

Yang Berhormat Haji Sulaiman yang juga Ketua Kampung Belingus, Mukim Bangar, Daerah Temburong, bertanya mengenai perkembangan pengagihan zakat kepada golongan asnaf fakir dan miskin.

Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menjelaskan bahawa sebahagian mereka yang memerlukan perumahan pun juga telah disewakan rumah yang bayarannya antara $350 hingga $500 sebulan. Hal ini menepati tujuan syarak yang mewajibkan zakat itu dibayar, dikutip, dikumpul dan diagih-agihkan kepada yang berhak supaya mereka yang berhak itu dan kalangan fakir miskin tidak perlu keluar meminta-minta dan mengemis.

Mengenai program-program bantuan kepada golongan miskin, Yang Berhormat Pehin berkata, selama ini memang program-program sedemikian seperti bantuan modal berniaga, bantuan mesin jahit umpamanya untuk mengambil upah menjahit, bantuan peralatan seperti pukat dan perahu bermotor untuk menangkap ikan dan usaha pengangkutan perahu tambang.

Ia bagi memungkinkan para asnaf zakat pada akhirnya tidak lagi bergantung kepada agihan zakat.

Di samping itu ada juga bantuan bayaran yuran sekolah atau bayaran belajar di pusat-pusat pengajian tinggi bagi asnaf yang bukan rakyat iaitu penduduk tetap. Kesemua itu adalah dalam usaha untuk mengupayakan mereka untuk berdikari pada akhirnya.


Sumber - Media Permata

No comments: