Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof |
Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan meningkatkan pemantauan penerima Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) seterusnya mengenal pasti garis panduan pemberian bantuan kebangsaan dengan menggunakan kadar kos minima keperluan asas.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata, garis panduan itu akan diguna pakai sebagai sukat-sukat bagi pemberian apa jua bantuan dan penyejajaran dasar serta prosedur yang diguna pakai bagi agensi seperti Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) Kementerian Pendidikan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof seterusnya menjelaskan, program bantuan kebangsaan baru akan dirangka menggunakan garis panduan yang dipersetujui itu dengan mengadakan dua program bantuan berasingan iaitu program bantuan bagi mereka yang benar-benar tidak dapat bekerja atau mencari pekerjaan seperti orang kurang upaya, uzur, tua dan mereka yang berisiko terjerumus kepada kemiskinan, seperti penjaga kepada orang-orang kurang upaya dan lain-lain.
Kedua ialah program insentif pekerjaan yang memberi fokus kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara kehidupan harian dan persekolahan anak-anak, melalui pemberian insentif agar mereka akan dapat terus bekerja, tambah Yang Berhormat Pehin lagi semasa Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang buat hari kesembilan, hari ini.
Yang Berhormat Pehin menekankan perkara ini ketika menjelaskan pembaharuan-pembaharuan yang dirancang oleh Majlis Kebangsaan Isu-isu Sosial yang dipengerusikan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, untuk meningkatkan keberkesanan tindakan bagi mengatasi dan membantu warga yang mudah atau terdedah risiko-risiko kemiskinan atau masalah sosial untuk keluar daripada kepompong kesusahan dan juga kemiskinan.
Menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman, Yang Berhormat Pehin berkata, pihak kementerian juga akan memberikan fokus kepada 100 orang penerima BKB.
Menurutnya, permasalahan mereka akan diambil tindakan secara bersepadu oleh semua jawatankuasa khas untuk dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan dengan kaedah-kaedah yang sesuai.
Selain itu, pihak kementerian turut merancang mengadakan sumber kewangan yang lebih berdaya tahan untuk membiayai program-program bantuan melalui pelan tindakan yang berkaitan ke arah menangani isu kemiskinan dalam beberapa buah jawatankuasa khas diterajui oleh kementeriannya.
“Misalnya jawatankuasa khas isu kemiskinan dan jawatankuasa khas institusi keluarga dan isu wanita hendaklah dipastikan tindakan-tindakan yang dinyatakan dalam pelan tersebut akan dikemaskinikan lagi ke arah memastikan keberkesanan pelaksanaannya.”
Katanya lagi, dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik, program yang diungkayahkan pada tahun-tahun sebelumnya juga diteruskan pada tahun ini dan seterusnya dengan hala tuju program ini ke arah meningkatkan penyertaan para belia terutamanya kumpulan sasaran program.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa kementeriannya juga menghadapi cabaran dalam memastikan sejauh mana bantuan kebajikan akan dapat diberikan secara lebih berdaya tahan memandangkan terdapatnya peningkatan jumlah penerima bantuan dari semasa ke semasa.
Daripada beberapa permuzakarahan dengan pelbagai pihak, cabaran utama yang dikenal pasti dalam menangani isu kemiskinan serta cabaran dalam mengungkayahkan apa saja program-program pembasmian kemiskinan ialah mentaliti masyarakat yang masih bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.
“Sehubungan dengan ini juga, koala mengalu-alukan pandangan dan pemikiran dari ahli-ahli Yang Berhormat mengenai kaedah yang lebih berkesan bagi mengubah mentaliti khususnya penerima-penerima BKB atau bantuan kebajikan bulanan ini.”
Yang Berhormat Pehin turut melahirkan harapan, dengan adanya garis panduan dalam program baru bantuan kebangsaan ini nanti akan lebih fokus untuk membantu golongan atau kumpulan yang benar-benar perlu dibantu dari segi kewangan dan juga akan diberikan latihan dan program kemahiran dan pekerjaan.
“Diharapkan jua program seumpama ini akan mengurangkan budaya terlalu suka bergantung kepada kerajaan di kalangan masyarakat, sekali gus menggalakkan budaya berdikari,” tambahnya lagi.
Sumber - Media Permata
No comments:
Post a Comment