Posting mengikut label

Tuesday, March 6, 2012

Warga asing masih kuasai sektor minyak dan gas negara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac - Menurut peratusan terkini bagi pekerja-pekerja yang berkhidmat dalam Industri Minyak dan Gas Negara bagi 2012, di antara 30 hingga 40 peratus dari jumlah pekerja keseluruhan adalah warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam dan selebihnya adalah warganegara asing.

Pekerja-pekerja warganegara luar yang berkhidmat dalam industri minyak dan gas itu adalah dari peringkat buruh kasar sehingga ke tahap profesional.

Peratusan warga tempatan yang bertugas di sektor berkenaan adalah tidak menyenangkan kerana industri minyak dan gas sudah bertapak di Brunei selama lebih 80 tahun dan peratusan pekerja warga tempatan masih lagi tidak mencecah dan melebihi 50 peratus.

Perkara itu disuarakan oleh Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar ketika menjawab persoalan mengenai jumlah pekerja tempatan dan usaha untuk meningkatkan jumlah pekerja tempatan di Industri Minyak dan Gas semasa Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

"Keadaan ini bukanlah satu perkara yang menyenangkan atau membanggakan. Berbagai-bagai sebab telah diberikan bagi keadaan ini tetapi yang jelas ianya tidak memuaskan dan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya."

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Mohammad Yasmin menyatakan demikian ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman.

Beliau seterusnya berkata bahawa Jabatannya telah mengenal pasti beberapa inisiatif-inisiatif yang difikirkan perlu untuk menangani isu berkenaan bagi menarik minat para majikan untuk mengambil berkhidmat rakyat dan penduduk Brunei di mana mereka perlu dilengkapkan dengan kelulusan dan kemahiran yang diperlukan.

Di antara inisiatif yang dikenal pasti adalah mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah teknikal dan vokasional dalam menyelaraskan kurikulum bagi kursus yang ditawarkan supaya ia selaras dengan keperluan dalam bidang kepakaran yang dikehendaki di dalam industri minyak dan gas.

Sehubungan itu, satu rangka kerja kompetensi tenaga sedang dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga dengan melibatkan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan seperti Kementerian Pendidikan dan pihak swasta.

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Mohammad Yasmin berkata, "Objektif utama rangka kerja bagi kompetensi ini adalah bagi membolehkan adanya penyediaan program-program khusus dan latihan-latihan yang mampu memenuhi keperluan industri.

Ini akan memudahkan lagi lepasan-lepasan peserta kursus dan latihan memperoleh pekerjaan dan bagi para majikan pula bagi memperoleh tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang diperlukan. Framework ini dijangka akan siap pada hujung tahun ini."

Sementara itu menyentuh mengenai dengan penubuhan Pusat Latihan Minyak dan Gas Swasta, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa jabatannya telah mengambil inisiatif untuk menjemput institusi-institusi luar negara yang terkenal sebagai pemimpin dalam penyediaan kemudahan-kemudahan pendidikan dan latihan di bidang kejuruteraan dan teknologi seperti Institut of Technical Education, Singapore, Robert Gordon University, United Kingdom, bagi menjalankan kajian untuk mengenal pasti cara untuk mengurangkan jurang di antara kursus-kursus yang ada di Brunei dengan keperluan industri minyak dan gas.

Beliau menerangkan lagi bahawa hasil daripada kajian awal, beberapa cadangan telah diterima termasuk membuka sebuah institut teknikal yang khususnya bagi mengeluarkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang kejuruteraan teknologi yang bersesuaian dengan keperluan industri minyak dan gas melalui Public-Private Partnership.

Jabatan Tenaga dengan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan dan institusi pendidikan serta pihak swasta juga telah mengadakan Karnival Kerjaya Minyak dan Gas dan Jerayawara yang memberikan peluang kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan serta untuk mengetahui peluang-peluang yang ada dalam industri minyak dan gas termasuk di dalam sektor perkhidmatan.

Di samping itu, ia juga memberikan peluang untuk memaklumkan kepada penuntut-penuntut dan ibu bapa mengenai dengan prospek pekerjaan dalam industri berkenaan serta kelulusan-kelulusan yang dikehendaki.

Bagi tujuan itu, Jabatan Tenaga telah mengaturkan program-program seperti Karnival Kerjaya Minyak dan Gas sekurang-kurangnya sekali setahun di mana daripada hasil Karnival Kerjaya (Job Fair 2011) yang diadakan pada Disember 2011 lalu, lebih 5 ribu CV telah diterima di mana 60 telah diambil bekerja dan 300 masih dalam pertimbangan dengan sasaran bagi 2012 adalah untuk mengambil pekerjaan 1,000 orang.

Jerayawara Minyak dan Gas ke Sekolah-Sekolah akan diadakan sebanyak 3 kali setahun dengan jerayawara pertama diadakan pada 29 Februari hingga 1 Mac lalu bagi Sekolah-Sekolah Rendah di Daerah Tutong dan Belait. Perancangan seterusnya ialah untuk mengadakan jerayawara serupa pada Mac dan April 2012.

Jabatan Tenaga juga memberikan sokongan sepenuhnya kepada skim-skim pembangunan sumber tenaga manusia yang dilaksanakan di bawah Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), di mana tiga skim di bawah Dana Sumber Tenaga Manusia telah diperkenankan iaitu Skim Latihan Pekerjaan di mana semasa mengikut Latihan Sambil Bekerja (On Job Training) para peserta akan dibayar gaji 60 peratus oleh pihak kerajaan dan 40 peratus oleh pihak majikan, selepas tamat latihan itu, jika kalau peserta masih bekerja selepas setahun insentif dalam bentuk kewangan akan diberikan.

Skim pembangunan keupayaan sumber tenaga di sektor swasta di mana skim memberi peluang kepada individu di dalam sektor swasta untuk memohon bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Manakala itu Skim Biasiswa dalam negeri bagi pendidikan teknikal dan vokasional di institut pengajian swasta pula menumpukan perhatian kepada penuntut-penuntut lepasan O dan A Level di mana pihak kerajaan akan membiayai pengajian di institusi swasta di dalam negeri seperti di peringkat diploma kebangsaan.

"Jabatan Tenaga juga terus memberikan tekanan kepada syarikat-syarikat yang memberikan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat minyak dan gas utama di negara ini bagi memberikan keutamaan kepada pengambilan rakyat dan penduduk di negara ini bagi bekerja di syarikat-syarikat mereka."

"Baru-baru ini, Jabatan Tenaga telah mengeluarkan satu arahan yang berkaitan dengan Pembangunan Perniagaan Tempatan di mana di antara lain memerlukan syarikat-syarikat perkhidmatan berkenaan untuk mempunyai rancangan-rancangan pengambilan kakitangan dari kalangan rakyat dan penduduk tempatan dengan terutama sekali kepada peratus dan kedua dalam tempoh yang ditetapkan jika kalau mereka ingin terus memperoleh kontrak atau ikut serta di dalam tendering proses di masa hadapan."

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Mohammad Yasmin juga telah menyatakan bahawa Sektor Minyak dan Gas selain dari sektor kerajaan merupakan sektor yang banyak menyediakan peluang pekerjaan bagi rakyat dan penduduk Brunei di mana mengikut sasaran Kertas Putih Tenaga yang sedang dilaksanakan menjelang 2035, sebanyak 50 ribu peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas akan disediakan di mana 40 ribu peluang pekerjaan akan diisikan oleh anak-anak tempatan termasuk 5 ribu di dalam kalangan profesional.

Dipetik dari - Media Permata Online

No comments: