Posting mengikut label

Tuesday, March 20, 2012

Bolehkah berpendirian atas pagar?


APAKAH pandangan dan nasihat Tuan Guru kepada golongan orang Islam atas pagar, yang sengaja tidak mempedulikan hal politik, hatta ada yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Ini kerana pada mereka PAS atau KeADILan atau Umno, sama sahaja, berkepentingan sendiri-sendiri, dan tidak memberi keuntungan apa-apa kepada orang ramai, melainkan sekadar ala kadar sahaja. Mohon Tuan Guru béri pandangan dan nasihat.

ZULKIFLI MAARUF, KUALA LUMPUR

ALLAH SWT mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. Ditunjuk jalan kepadanya dengan jelas dan terang, iaitu satu jalan yang ditunjukkan, dengan beriman sepenuhnya kepada Allah SWT dan mematuhi segala titah perintah-Nya. Yang akhirnya mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan bahagia mereka buat selama-lamanya.

Satu lagi, jalan melawan atau menderhakai Allah, yang akhirnya terseksa mereka selama-lamanya.

Untuk ke syurga, tidak mungkin hanya dengan berangan-angan, tanpa amal dan jihad. Perjuangan dan pengorbanan adalah tuntutan Islam.

Sama dengan soal penghidupan di dunia, jika kita tidak berusaha bersungguh-sungguh, mana mungkin kehidupan yang sementara ini, akan memperolehi kesenangan, kemewahan dan kebahagiaan.

Demikian dengan balasan syurga di akhirat. Mana mungkin tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, berjuang dan berjihad kerana Allah SWT, yang memungkinkan kita mendapat balasan yang baik di akhirat kelak.

Allah SWT dalam al-Quranul Karim mengingatkan kita dengan firman-Nya (mafhumnya):
"Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?"

"(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan."

"Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak."     (Surah al-Kahfi ayat 103-105)

Orang atas pagar menyangka mereka sudah betul dan tidak perlu campur hal-hal politik, sedangkan mereka telah diperintah Allah melalui lidah Rasul-Nya, dalam sebuah hadis yang sahih (mafhumnya):
"Sesiapa yang melihat perkara mungkar, hendaklah diubah (ditentang) kemungkaran itu dengan tangannya (kuasanya), jika tidak boleh, hendaklah ditentang dengan lidahnya (kata-katanya) dan sekiranya tidak boleh juga, hendaklah dilawan dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."

Kemungkaran berlaku dengan berleluasa dalam negara kita. Khasnya apa yang dilakukan pemerintah, kerana membelakangi Islam yang syumul, sedangkan PAS berjuang untuk melaksanakan Islam yang syumul, memerlukan sokongan dan dukungan orang Islam.

Sekarang, ramai orang tidak Islam, menjadi penyokong PAS sehingga tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS, yang terdiri daripada kalangan bukan Islam.

Sedangkan orang Islam sendiri, berdiri di atas pagar. Cuba renung-renungkan.

Orang atas pagar, seolah-olah tidak termasuk langsung di kalangan tiga golongan seperti soalan saudara.

Ada satu hadis lain, Nabi s.a.w bersabda (mahfumnya):
"Kalau sudah tidak diperjuangkan untuk mengubah kemungkaran tadi, dengan semua atau salah satu dari tiga usaha, maka iman seseorang itu tidak tinggal padanya, meskipun sebesar bijian yang terkecil."

Persoalannya, bolehkah kita masuk syurga Allah dengan iman yang sedemikian? Oleh kerana itu, nasihat saya, insafilah diri dan tanamlah dalam hati, bahawa beramal dengan amalan yang salih, khasnya berjihad pada jalan Allah untuk memartabatkan Islam, adalah suatu kewajipan asas, yang wajib ditanggung oleh setiap orang Muslim.

Seperti mana yang ditanggung pada zaman awal Islam dahulu, tugas menyebar Islam, memperjuangkannya, sehingga melibatkan peperangan demi peperangan, ditanggung oleh umat Islam seluruhnya, dengan keupayaan masing-masing.

Yang terkorban kerana mempertahankan agama Allah, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga Allah. Yang menentang hukum Allah, atau yang berdiam diri, atau hanya sebagai penonton, mereka akan rugi dengan amalan mereka ini. Kelak, mereka akan bertemu dengan hukuman Allah SWT di akhirat. Sekian, wallahua'lam.

Dipetik dari - Harakah, 19-22 Mac 2012.

Semoga intipati tulisan ini dapat diambil pengajaran dan memberi manfaat kepada warga NDP.

Posting berkaitan sebelum ini,
--> BILAKAH SULTAN MENJADI BAYANGAN ALLAH DI BUMI?
--> AGAMA SERING MENJADI MANGSA
--> Sombong bukan akhlak ahli PAS
--> TINDAKAN DISIPLIN SATU TARBIAH
--> Hijrah Pengajaran Untuk Perjuangan
--> Hukum dakwa hudud 'out-of-date'
--> KEHIDUPAN MUNAFIK SENTIASA SEMPIT
--> Akhlak dan disiplin berorganisasi (Siri Akhir)
--> Akhlak dan disiplin berorganisasi (Siri 1)
--> ANBIYA HADAPI KEJAHATAN PEMBESAR NEGARA

No comments: